Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Thursday, October 30, 2008

Hormatilah ibubapa, orang tua dan pimpinan.

Dalam perjalanan hidup ini tiada terlepas daripada membuat kesalahan. Ada kesalahan yang dapat kita kesan dan ada juga kesalahan yang tidak kita sedari. Namun pasti sebagai seorang hamba kita perlu banyak kita beristighfar. Nabi Muhammad saw beristighfar sebanyak 100 kali sehari. Itu baginda yang telah diampuni dosanya yang dahulu dan kemudian. Maka sudah wajar kita sebagai hamba biasa perlu lebih banyak beristighfar. Sebagai seorang insan kita tidak akan sunyi daripada membuat kesalahan mahupun disengajakan atau tidak. Kesalahan yang tidak disengajakan diantaranya ialah tidak beradap kepada mereka yang sepatutnya.

Ibuku Hajjah Umi Salamah Binti Hj Kantan bergambar pada pagi Hari Raya sebelum ke Surau Kg Lubuk Katak, Tapah, Perak untuk Solat Aidil Fitri.

Percakapan mahupun perbuatan dan tindak-tanduk kepada ibubapa harus sentiasa lunak dan baik. Walaupun kepada perkara-perkara yang dirasai kita ini betul. Namun kita tidak perlu disampaikannya dengan herdikan yang tidak berasas. Penyampaian dan gaya bahasa harus sentiasa baik dengan nada suara yang sesuai. Sebarang pertengkaran dan 'menegak benang basah' harus dielakkan. Beralah selalu adalah tindakan bijak. Begitu juga halnya kita dengan orang lain yang lebih tua atau dengan ketua dan kepimpinan. Mereka harus kita hormati. Sebarang perumpamaan yang menyindir apatah lagi mengutuk harus dijauhi.

Sikap merasai diri sendiri sahaja yang betul harus diselidiki dan dihapuskan. Jangan sekali-kali menutup ruang perbincangan dan hanya menyuruh orang menerima sikap jumud kita. Kononnya kita ini tegas dan ada pegangan hidup tersendiri. Bukalah sedikit ruang untuk orang lain memberi pandangan mereka. Mungkin ianya lebih menguntung kita. Mana tahu !

Monday, October 27, 2008

Senyumku Tak Dibalas.

Kaki ini masih terasa gatal-gatal dek gigitan pacat yang tidak kurang 10 ekor kerana dua hari dua malam bermuqayam (camping) di Lata Celak dalam program ‘tracking’ ke air terjun. Muqayam anjuran Ustaz Rosli bekas mudir Sek Agama Islah Tikam Batu, Sungai Petani projek syarikatnya Celak Management Services. Namun Tasik Mengkuang ku kunjungi pagi ini untuk membuktikan kesetian dan melepas rindu yang telah lama terpendam. Inilah diantara tempat latihan pertama kami Divisyen Rajawali JIMSPT berlatih dalam siri persiapan ke Gunung Tahan pada tahun 2000. Mengkuang Dam ini juga merupakan destinasi berhimpun sahabat-sahabat kami JIM pada hujung minggu dalam sesi tarbiah yang amat disukai iaitu PATT (Pagi Ahad Tidak Tidur).

Ida, Sobri dan Syuhadah menemani aku ke Mengkuang Dam, tasiknya sungguh tenang. Aku berdoa mudah-mudahan kehidupanku juga setenang tasik ini. "Wahai Tuhan yang membolak-balik hati-hati, tetapkan hatiku ini dalam agama Mu".

Pagi ini aku cuma mahu berjalan-jalan sahaja kerana perlu menyimpan sedikit tenaga untuk beberapa aktiviti yang menanti selepas ini. Diantaranya untuk menyahut panggilan SMS dari Ketua DERU (Disaster & Emegency Respond Unit) Ir Haji Abdullah Shabri untuk membungkus dan membalut hamper-hamper di rumahnya untuk sumbangan mangsa banjir di Jitra Kedah tengahari nanti. Membungkus hamper mungkin dapat aku menolongnya tetapi ke Jitra terasa agak jauh. Lagi pun ada beberapa perkara perlu aku bereskan pada hari ini.

Baju dan seluar merah segaja aku pakai untuk zahirkan semangat aku yang tinggi untuk beriadah bersama keluarga. Mana Hj Atan dan Ustaz Rozee tidak sampai-sampai lagi.

Suasana di Tasik Mengkuang ini sungguh indah dan nyaman sekali. Ramai yang mundar-mandir berlari atau berjalan dengan cara tersendiri. Tidak kurang ada yang menolak kerusi roda untuk orang yang tersayang menghirup udara nyaman di sini agar dapat sedikit sebanyak membantu meningkatkan daya kesihatan masing-masing. Ramai yang berbangsa Cina jika dibandingkan dengan orang melayu. Orang India memang tiada mungkin kerana hari ini Hari Depavali.

Hj Atan bersama puteri-puterinya mahu terus ke hujung tasik untuk membuktikan pada dirinya pun boleh, mampu ke hujung tasik dan terus patah balik. Dari kanan, Hj Atan, Nurul Izzah, Nabilah dan Balqis.

Aku cuba memberi senyuman kepada setiap orang melayu yang berselilih di hadapan ku. Tapi hampir semua senyuman aku tidak dibalas. Ramai yang lebih suka mengalih pandangan mereka ke arah lain. Mungkin keletihan atau mungkin malu berhadapan muka dengan orang lain atau mungkin … Ya banyak alasan atau kemungkinan yang boleh kita andaikan. Tapi aku harus tetap mencuba. Teringat aku waktu berkempen PRU12 dahalu, kita langsung tidak segan-silu bersalaman dengan berbagai bangsa yang berbeza semata-mata ingin merayu undi. Alangkah baiknya jika sikap dan semangat itu dapat aku teruskan.

Aku harus lebih memberi senyuman kepada semua tidak kira bangsa, mungkin akan lebih banyak senyuman yang aku terima nanti. Alangkah indahnya dunia yang penuh dengan senyuman ini.

Sunday, October 26, 2008

Sampan telah di air dan pengayuh telah ditangan …

Semua kita sudah maklum bahawa terdapat banyak aliran bela diri di negara kita ini. Semuanya sudah arif banyak juga aliran silat di negara kita ini. Maka kita seharusnya berusaha meningkatkan mertabat silat ini kepada satu tahap yang lebih tinggi. Sejarah telah membuktikan silat satu ketika dahulu memang disanjung tinggi samada orang kebanyakan mahupun di peringkat istana.
Masa berlalu berbagai pertukaran dan peristiwa berlaku. Silat dipinggirkan dan bukan lagi menjadi agenda utama. Kemudian ia dilupakan dan penumpuan tidak lagi dijuruskan kepada silat. Sayang kenapa budaya lain diagongkan-agongkan? Kenapa tidak kita naikan sekali lagi nama silat ke puncaknya semula?
Biar orang kembali tercari-cari silat kerana silat itu istimewa. Biar orang mencari silat kerana silat pilihan utama. Kita tidak mahu menjadikan ia sesuatu yang bila tiada seni bela diri yang lain baru mahu ambil silat. Jadikan silat ini pilihan utama. Penuhi semua sekolah-sekolah, IPT-IPT, surau-surau, masjid-masjid dan dewan-dewan orang ramai dengan aktiviti-aktiviti silat. Untuk memenuhi harapan ini kita perlu bersatu mengorak langkah memperbaiki diri dan pertubuhan kita. Tiada masa untuk berihat lagi. Sampan telah di air dan pengayuh telah ditangan hanya menunggu penumpangnya naik saja.

Alhamdulillah di celah-celah guru-guru tua ini masih ada putera-puteri yang yang sudi bersama memberi masa dan tenaga mengamal dan membudayakan silat.

Thursday, October 23, 2008

Wanita Oh Wanita Jagalah Diri Mu

Wanita sering diperlakukan dengan sesuka hati dan dipandang lemah. Mana tidaknya apabila berlaku perzinaan akibatnya akan ditanggung oleh wanita itu sendiri. Kaum lelaki mudah melepas diri dan lari dari tanggung-jawab. Akhirnya berlaku keguguran dan perbuatan buang bayi. Masyarakat akan menuduh si wanita yang jahat dan sebagainya.

Kedatangan Islam telah memberi satu kemuliaan bagi kaum wanita. Mereka dilayan dengan baik sesuai dengan sifat dan naluri kewanitaan itu. Menutup aurat melambangkan satu tahap harga diri yang tinggi. Tidak dibenarkan sebarangan orang melihat dan menyentuh tubuhnya tanpa ikatan yang sah. Tanggung-jawab, keutamaan hak dan kasih-sayang mesti dicurahkan dengan sebaik mungkin. Sebagai permaisuri rumah-tangga, sebagai teman setia, sebagai pembela maruah, sebagai penunduk nafsu, sebagai ibu dan penasihat keluarga. Sebab itu pernah kita dengar, "syurga di bawah tapak kaki ibu" dan ibu ini adalah seorang wanita bukan lelaki. Ini hakikatnya.

"Syurga itu di telapak kaki ibu" Maka santunilah mereka dengan penuh hormat dan kasih sayang. Jangan sekali-kali dilukai hati mereka. Jangan jadi seperti, "kacang lupakan kulit".

Oleh itu wahai kaum wanita, bersyukurlah dengan kejadian mu itu. Jagalah maruah mu dan maruah keluarga mu. Tutuplah auratmu kerana ianya akan menyelamatkan diri mu dunia dan akhirat. Hargailah sifat dan naluri yang Allah SWT kurniakan kepada mu. Beribadahlah dengan bersungguh-sungguh. Tuntutlah ilmu semampu boleh. Belajarlah sedikit sebanyak seni mempertahankan diri agar dirimu tidak mudah dicemari. Kerana aku kuatir kau tidak mungkin dalam penglihatan ku pada setiap tempat dan setiap masa. Pasti kau akan keseorangan pada masa-masa yang tertentu. Maka persiapkanlah diri mu. Semoga Allah memelihara mu dalam penglihatanNya yang penuh Rahman dan RahimNya.

Tuesday, October 21, 2008

SILAT SATU YANG LUAR BIASA.

"Tak bestlah silat ini tak ada terbang-terbang" Itulah jawaban seorang rakan apabila aku mengajak dia melihat latihan silat di perkarangan Masjid Al Huda di Sungai Ara. Aku juga pernah sependapat dengannya satu ketika dahulu sebelum aku mempelajaran silat Gayong ini. Ingin sungguh berkebolehan melompat tinggi kesana-sini. Berkebolehan berjalan di atas air. Mampu melentur besi dengan tangan. Mempunyai kekuatan yang luar biasa menumpaskan ramai orang sekali jus. Macam cerita-cerita di layar perak.
Kenalkah anda mereka ini? Dari kiri; Cikgu Rusli, Cikgu Ismail Abdullah, hafinah, Dr Danial, Cikgu Fuzi, Jiman & Ust Ahmad Fahmi Abu Bakar dalam satu majlis Anugerah Sandang Silat Pusaka Gayong di sebuah hotel terkemuka di Pulau Pinang.

Aku masih berkeyakinan ini semua tidak mustahil jika diamalkan latihan dengan betul dan dengan izin Allah SWT. Namun adakah itu sahaja matlamat kita belajar silat? Untuk dijadikan jaguh dan mempunyai kekuatan luar biasa? Mungkin ada yang menjawab "Ya". Aku sanjungi jawaban itu, tapi bagi aku "Tidak". Kerana bagi aku silat mempunyai agenda yang lebih besar dari itu. Ianya adalah wasilat atau alat untuk kita berinteraksi diantara satu sama lain. Tidak boleh seorang seorang. Ianya adalah satu bentuk tarbiah atau cara mendidik insan. Agar berpegang teguh dengan tali Allah (Al- Quran dan As Sunnah) dan jangan bercerai-berai. Ianya adalah satu perjuangan yang berterusan. Mempertahankan aqidah, diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Silat mempunyai tolakan yang luar biasa. Muridnya sungguh taat kepada guru. Sanggup berlatih dengan keras tanpa memperhitungkan penat, lelah, sakit, cedera dan segala natijah (hasil) dari risiko latihan keras tadi demi mendapat kemahirannya. Sabar bila diuji guru. Sabar bila dicabar orang untuk berkelahi mahupun untuk menguji kekuatan. Lagi tinggi ilmunya lagi tunduk dia merendah diri. Ini memang luar biasa.

Disamping disiplin yang tinggi, rasa hormat pengamal silat ini kepada guru amat luar biasa. Ada malah ramai dikalangan pesilat ini mengamalkan mencium tangan tok guru, berpelukan kiri dan kanan sebagai amalan biasa. Tetapi kekok jika berhadapan dengan kedua orang tua sendiri malah hendak menunggu hari raya pun belum tentu ada yang mengamalkannya.

Mana silapnya, tepuk dada tanya selera.

Seni Gayong Payung Pusaka
Naungan anika hikmat mulia
Rahsia tersimpan di Purba kala
Ilham menyusun lahir semula

Monday, October 20, 2008

Sediakan Payung Sebelum Hujan.

Bersilat merupakan suatu aktiviti yang amat berfaedah. Pada zaman dahulu mereka yang pandai bersilat digelar pendekar. Merekalah yang akan dilantik menjadi orang ternama samada Penghulu, Demang, Orang Kaya, Panglima dan berbagai gelaran sesuai dengan kehendak masyarakat pada ketika itu. Silat dicari dan dipelajari dengan bersungguh-sungguh walaupun terpaksa merempuh beberapa dugaan dan rintangan.
Anak-anak muda kita perlu dibekalkan dengan kemahiran bersilat agar dapat membantu mereka dalam menghadapi kehidupan yang mencabar ini. Adat warisan perisai diri penyambung tradisi.

Dengan arus berubahan semasa silat telah kurang diberi perhatian. Namun masih ada unsur-unsur yang mahu dan masih mempertahankannya. Silat telah didaftarkan sebagai pertubuhan agar ianya dapat bergerak dan boleh dipantau oleh pihak berwajib. Jangan cuba samakan silat dengan seni bela diri yang lain. Mungkin aspek kekuatan jasmani, rohani dan minda agak serupa tetapi silat mempunyai ikatan aqidah yang jitu. Ikatan inilah yang membezakan yang haq dan yang batil. Ikatan inilah yang menjulang semangat tidak gentar walaupun kepada sesiapa. Cuma yang Maha Esa yang ditakuti dan disembah. Keyakinan dan tawakal yang sangat tinggi

Saya ingin menarik perhatian semua, tidak akan rugi jika kita belajar silat ini. Disamping ilmu seni mempertahankan diri, silat mendidik kita bersilaturahim, menghormati guru dan orang tua, berdisiplin dan memantapkan kesihatan diri. Ayuh carilah silat yang sesuai untuk diri sendiri dan anak-anak kita, nescaya kamu tidak akan menyesal. Sediakan payung sebelum hujan. Hubungi kami jika berminat.

Matahari terbit di Palembang Si Guntang
Tanahnya subur ditaman padi
Keris dipegang dihunus dijulang
Kesatriaan Malayu timbul kembali

Saturday, October 18, 2008

Mengapa mesti datang lewat?

Penyakit selalu datang lewat ini sebenarnya boleh diubati. Kita pun tahu, bila ianya berkaitan dengan masa berbuka puasa, kita boleh bersungguh-sungguh menepati waktunya. Begitu juga dengan perkara-perkara yang melibatkan kerjaya kita. Boleh datang ikut masa, makan dan balik ikut masa dengan penuh ketaatan. Mungkin ada yang mendorong kita begitu.

Gabungan mesyuarat bersama wakil-wakil dari JIM Pusat, negeri dan daerah.

Begitu juga sepatutnya dengan kerja-kerja dahwah atau jamaah. Bagi yang telah faham, kerja-kerja jamaah adalah penting sama seperti dengan kerjaya kita. Jika kerjaya kita itu diawasi oleh majikan dan beliau akan memarahi atau bertindak sesuatu apabila kita melanggar peraturannya. Maka ketahuilah kerja-kerja jamaah di awasi oleh Allah SWT. Kita sepatutnya takut akan murka Allah SWT. Apatah lagi, kita patut takut jika Allah kenakan tindakanNya kepada kita kelak.

Saya sungguh terharu, masih ada dikalangan kita yang walaupun sibuk dengan mengajar di masjid dan surau tetapi sanggup hadir ke mesyuarat. Walaupun beliau lewat sedikit tetapi tidak pernah uzur untuk bersama dalam program atau aktiviti yang telah diputuskan. Ada juga yang terus dari pejabat dengan pakaian kerja kerana tidak sempat balik ke rumah untuk melihat anak isteri lantas terus ke program. Lambat ke cepat ke diserahkan kepada Allah.

Kadang-kadang jalan sesak kadang-kadang lancar. Ada yang mesti balik ke rumah mengurus makan minum atau keperluan lain anak dan keluarga dahulu. Namun yang penting dia masih datang. Bagi mereka yang sentiasa mampu datang awal alhamdulillah syukur, Allah mengizinkan begitu dan teruskanlah. Jangan buat apa-apa. Beri semangat agar yang lain boleh ikuti. Jangan menjadi seperti yang tidak datang terus atau tidak mahu datang dan tiada khabar berita.

Pegang jawatan bukan untuk seronok-seronok tetapi amanah orang. Takut-takut jadi orang munafik jika tak tunai amanah. Datang mesyuarat itu amanah. Tetap aktif dalam mesyuarat pun juga amanah. Jangan kita bila rasa tidak selesa oleh sebab sesuatu kepincangan, merajuk terus balik atau keluar dari mesyuarat, walaupun mesyuarat belum habis atau masih tidak bermula lagi. Ada dikalangan kita yang membaca buku semasa mesyuarat. Kononnya beliau ini tidak membuang masa. Bayangkan kalaulah kita yang menjadi pengerusi mesyuarat itu apakah perasaan kita?

Menjadi pimpinan bukan senang kena tangani orang yang tidak aktif, yang sederhana aktif malah yang terlebih akt. Ini juga memeningkan kepala. Kasihani mereka dengan kita memberi sokongan penuh, membantu dan seiring dengan mereka.

Wednesday, October 15, 2008

Jangan lari dari medan Perang.

Kesungguhan dalam melakukan kerja amal amatlah dituntut. Apatah lagi didalam suasana yang amat kritikal dimana keruntuhan akhlak amat terasa. Arak, zina, merampik, mencuri, merompak, membunuh dan salah guna dadah menjadi bahan semasa di dada akhbar. Di manakah nilai kepekaan, penghayatan nilai hidup murni, pencegahan dan penguat-kuasaan?

Semua perlu terlibat untuk menyediakan ruang alternatif kearah pembaikan. Maka tugas ini harus diberi perhatian oleh pimpinan yang berwajib termasuk NGO, pertubuhan dan persatuan setempat. Isu ini kalau ditangani dengan bersepadu tentu lebih berjaya. Tetapi kita sungguh hairan kerana pimpinan-pimpinan tadi masih ada beberapa individu yang tidak ambil indah. Bila ada mesyuarat tidak datang. Bila berlaku sesuatu yang tidak sesuai dengan pendapat dan citaranya terus balik meninggalkan majlis.


Sanggupkah seorang itu berhadapan dengan beberapa kereta kebal ?

Terlintas di hati perbuatan sebegini sama macam mereka yang lari dari medan perang. Tentu yang tinggal akan berhempas-pulas bekerja memastikan majlis berjalan lancar. Ini satu kesalahan yang amat besar. Adakah perbuatan sebegini dapat menyelesaikan masalah? Amanah yang dipikul tidak semuanya seronok dan indah belaka. Tentu ada yang betentangan dengan naluri peribadi yang penting kita tetap bersama dalam satu kesatuan walaupun berbeza pandangan.

Menganalisa Dan Membuat Teguran.

Kepada yang sudi membuat analisa dan terus memberi teguran dalam sesuatu perkara yang dirasakan pincang, mereka ini adalah tergolong kepada satu kumpulan insan yang mempunyai tahap kedua dalam membuat amal. Tahap Pertama ialah mereka yang hanya melihat dan tidak membuat apa-apa. Mungkin hati sahaja yang berugut-rugut atau tidak setuju namun tiada membuat sebarang tindakan. Mereka ini datang dan pergi begitu sahaja.

Tahap Kedua, mereka yang menganalisa dan terus membuat teguran. Kumpulan ini tidak mengambil kira impak atau kesan yang akan berlaku. Mungkin dengan niat tulus bersih semata-mata telah mendorong mereka secara terus membuat teguran. Mereka ikhlas agar berlaku perubahan atau pembaikan. Tetapi tidak merancang susulannya pula.
Tahap Ketiga ialah mereka yang membuat analisa dan cuba memahami sesuatu perkara yang berlaku dan mencari jalan dan masa terbaik untuk membantu pada ketika perkara itu berlaku. Tanpa disuruh-suruh membantu untuk bersama memperbaiki keadaan semampu boleh. Kemudian sekiranya ada masa yang sesuai mereka akan membuat teguran berdasarkan peluang atau peruntukan yang sedia ada seperti sewaktu mesyuarat bedah siasat program tersebut dan sebagainya.

Adakah kita akan membuat andaian bahawa orang yang berbaring ini langsung tidak menghormati mereka yang sedang membaca Al Quran di dalam masjid ini? Tidakkah kita akan terfikir bahawa tentu ada sesuatu yang berlaku menyebabkan beliau sebegini?

Alangkah moleknya digunakan masa atau peluang yang sesuai dengan bijaksana. Berhikmahlah dan buatlah teguran sesuai dengan masanya. Jangan selepas bermesyuarat baru hendak kritik itu dan ini. Tinggalkan budaya, "Rumah dah siap pahat masih berbunyi".

Sunday, October 12, 2008

Bila Dua Blogger Bertemu.


Kemarin pagi, 11 Oktober 2008 di Dewan Seminar Masjid Negeri Pulau Pinang telah berlansung Majlis Perwakilan Negeri JIM Pulau Pinang (MPN2008). Dimana para pewakilan, pemerhati dan jemputan telah hadir untuk melaksanakan tugas di dalam mesyuarat agong tahun JIM Pulau Pinang.

Bagi aku disamping melaksakan tangung-jawab sebagai ahli pertubuhan dan perwakilan, ini juga merupakan kesempatan atau medan untuk bertemu sahabat-sahabat lama. Diantara mereka yang aku temui ialah Jiman penulis blog “WARNA NOSTALGIA”. Nama sebenarnya ialah Arif Budiman Bin Hj Zainal Abidin. Adik kepada Dr Danial Hj Zainal Abidin yang merupakan penceramah dan motivator yang tersohor bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga ke negeri-negeri lain. Malah beliau telah biasa ke luar negara membuat penyampaian beliau. Dr Danial juga merupakan ‘Sifu’ aku dalam dunia tarbiah dan dakwah. Diantara mereka yang pertama yang membentuk fikrah dan aliran pemikiranku.

Terlalu banyak kenangan aku bersama Jiman. Sejak JIM belum ditubuhkan lagi. Kami bersama di dalam mempelajari Silat Pusaka Gayong bermula di Masjid Sungai Ara awal tahun lapanpuhan. Orang lain mungkin berlatih silat secara fizikal di Alam Nyata, tetapi kami pernah berlatih silat di dalam Alam Mimpi. Satu dimensi yang di luar dugaan, pada suatu malam yang sama. Tidak percaya tanya Jiman sendiri. Kali akhir kami pernah membuat demo silat bermain seni pisau di PESKOM, Pesta Komunikasi di Padang Kilat Perai anjuran bersama JIM dan TNB pada ketika itu. Aku masih ingat masa itu kami sama-sama tali pinggang ‘merah’ tahap jurulatih. “Waduuh terlalu banyak yang nak aku ceritakan”.

Kemudian kami juga pernah pusing kawasan utara dengan kumpulan nasyid ‘Al Muhajjir’. Alor Setar, Taiping, Lumut dan beberapa tempat lain kami jelajahi (macam Osman Jalaini atau Kassim Selamat) didalam era nasyid baru-baru berkembang di tanah air, dengan niat berdakwah melalui nasyid. Disamping lagu-lagu sendiri seperti; ‘Ku pohon hidayahMu’, ‘Islam Warisan’, ‘Ibu’ dan ‘Warna Kehidupan’, 'Nada Murni’ merupakan diantara kumpulan nasyid yang menjadi pujaan hati kami. Banyak lagu-lagu nasyid mereka kami alunkan.

Jiman adalah benar-benar orang seni. Disamping seni silat, Jiman juga pengubah lagu, pemain bongo dan penulis lirik nasyid. Beliau juga adalah diantara vokalis kumpulan Al Muhajjir.

Begitu juga hafinah, “saudara kembar aku” …..
Alangkah baiknya ….

Thursday, October 9, 2008

5 Syawal; 12 rumah ku ziarahi (satu rekod)

Pada pagi Ahad itu aku bersiap awal, terus ke pasar di Penanti, membeli ikan keli 2 kilo yang dipesan Ida isteriku untuk 'stock' di rumah, kami sekeluarga memang suka makan ikan keli. Tidak kira masak apa pasti berebut-rebut. Begitu juga dengan arwah abah. Bunga kantan dan salad untuk persiapan laksa, hendak aku jamu untuk kumpulan baraan yang akan ke rumah nanti. Nasi lemak 4 bungkus dan murtabak 2 keping untuk sarapan pagi kami sekeluarga 4 beranak kerana Muhammad Sobri yang kecil masih di kampong manakala Nurhidayah telah balik ke kolejnya di Ipoh. Ida tidak ikut aku ke pasar kerana sedang sibuk membuat persiapan untuk menerima kunjungan "Baraan Raya YDP PP" yang dijangka pada jam 12.00 tengahari nanti.

Pada mulanya Ida tidak mahu turut serta kerana mahu kemas rumah, namun aku pujuk juga akhirnya kami pergi bersama. Rumah pertama baraan ini kami ziarahi ialah rumah Ir Abdullah Sabri, Bendahari JIM PP. Pernah aku ke sini satu ketika dahulu selepas beliau dan keluarganya terselamat dari pukulan Tsunami semasa di Batu Feringhi dan kemudiannya beliau membuat kenduri doa selamat. Selepas itu kami ke rumah YDP JIM SPU, Yusuf Zaki dan begitulah seterusnya Cikgu Nan, Mustafa, Hj Taupek. Dari daerah SPU kami ziarahi 5 buah rumah, Baraan Raya kami turut ke daerah SPT 2 rumah termasuk rumahku dan rumah Ustaz Rozee. Kemuadian ke daerah SPS satu rumah iaitu Dr Rizal, kami terus naik Jambatan. Terkandas 2 jam ada kemalangan di atas jambatan. Kemudian 6 buah rumah di pulau; Aidi, Isahak, Latifah, Yusni, Mohd Tuah dan Hj Rashid. Kesemuanya 14 buah rumah. Tolak rumah Hj Taupek di Pokok Tampang dan rumah aku sendiri, menjadi 12 buah rumah satu rekod bagi diriku ini.

(Di rumah Mustafa Basri TYDP JIM PP dengan hidangan Laksa Johor)



(Di rumah Cikgu Nan & Kak Mardiana KW JIM PP dengan dadihnya)

Rasa letih tetapi puas dapat aku bersama YDP JIM Negeri, Ir J menemani beliau bersama-sama Ir Abdullah dan Ida. Kami sampai di rumah jam sudah 1.00 pagi. Bersihkan badan terus tidur. Esok hendak mulai puasa 6. Lupa hendak ucapan terima kasih kepada isteriku Ida kerana sudi menemani aku. Pasti beliau juga amat letih. Semoga diganjari usaha murni kita ini.

Jangan tunggu hingga terlewat bas.

Kehidupan manusia di dunia ini bukan semuanya sama tarafnya. Ada yang kaya boleh memiliki apa sahaja yang dia inginkan. Ada pula yang miskin kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada yang bergaji besar tapi hutang keliling pinggang. Ada yang bergaji kecil tetapi sentiasa tenang, ada masa untuk ke masjid. Ada masa untuk menghadiri kuliah agama dan membawa keluarga bersiar-siar demi menguatkan ikatan kekeluargaan.

Bagi yang tidak berada janganlah rasa kecewa dan putus asa. Sesungguhnya setiap yang berlaku itu tentu ada hikmahnya di sisi Allah SWT. Bagi mereka yang sentiasa memandang positif, kesusahan hidup akan menyebabkan mereka selalu mengingati Allah, berdoa dan berusaha untuk memperbaiki dirinya.

Kalau dia kaya, belum tentu dia ingat untuk mensyukuri nikmat Tuhan lantaran terlalu sibuk dengan urusan dunianya. Dia terlalu sibuk dengan kerja atau mesyuarat hingga tertinggal waktu sembahyang. Ada pula oleh kerana hendak menjaga hati kawan hingga merelakan dirinya berseronok di tempat yang terlarang.

Asal kita sebenarnya dari tiada apa-apa. Semua kita sama darjatnya. Tiada siapa yang melebihi dari sesiapa. Firman Allah, hanya orang-orang yang bertaqwa sahaja yang Dia pandang tinggi dan mendapat tempat mulia di sisiNya.

Masa semakin pantas berlalu. Sehari, seminggu, sebulan dan setahun terus juga mengisi kalendar hidup tanpa menekan brek atau menukar stereng ke belakang. Dahulu kita sihat dan kuat kini kita sudah mula lemah dan sakit. Ini fitrah dunia. Semua manusia tidak terkecuali. Semalam mata cerah, hari ini mata mulai rabun. Semalam rambut hitam berminyak hari ini dah mula memutih dan gugur. Semalam kulit muka gebu elok tetapi hari ini mula berkedut.

Jangan tunggu terlewat bas. Selagi masih ada nafas turun naik, selagi itu masih ada peluang untuk meneroka kelemahan diri dan memperbaikinya. Allah tidak tanya apakah kamu telah berjaya. Dia akan tanya apakah kamu telah berusaha mengubahnya. Jadilah hambaNya yang bersyukur bukan takabbur!

Friday, October 3, 2008

2 Syawal 1429 Ziarahi Pusara “Tok Biah”.

Walaupun pada masa ini, baru Hari Raya ke-2, aku telah berada di atas lebuh raya. Aku harus akur dengan rancangan kami (bersama isteriku) akan balik beraya di Pulau Pinang khususnya ke Teluk Kumbar, Balik Pulau dan kemudian Pematang Damar Laut. Beraya ke tempat keluarga isteriku pula. Keluarga isteri keluarga aku juga.

Suasana di lebuhraya pada ketika itu, banyak kenderaan namun lancar. Dalam perjalananku cuma ada satu kemalangan, dua buah kereta terbabas masuk ke dalam parit. Pemanduan di situ agak sesak kerana ramai yang perlahankan keaderaan untuk melihat apa yang berlaku. Nasib baik telah ada pihak-pihak tertentu yang sedang membantu dan masih ada mangsa yang cuba dikeluarkan. Allahu Akbar.

Setelah singgah menziarahi beberapa rumah sanak-saudara aku dan keluarga pun bersolat Asar di Masjid Sungai Burung, Balik Pulau. Aku jadi imam, abang ipar dan anak-anak kami ikut di belakang. Terasa syahdu dapat solat berjamaah dengan keluarga sebegini. Mudah-mudahan dapat dikekalkan suasana ini. Selesai solat kami menziarahi pusara “Tok Biah” ibu mertuaku Salbiah Binti Hj Darus. Aku cacakan seranting pohon bunga cempaka segar di atas pusaka Tok Biah. Siap dengan beberapa kuntum bunganya sekali. Moga-moga ranting ini turut berzikir dan berdoa untuk Arwah Tok Biah. Ya Allah cucuri rahmat dan kasih-sayangMu kepada Arwah Tok Biah.

(Aku cacakan setangkai ranting bunga kemboja di Pusara Tok Biah)


Tok Biah banyak menolong dan membantuku diawal beberapa tahun aku mendirikan rumah-tangga. Pada masa itu beliau bekerja sebagai tukang masak di sebuah kilang di Bayan Lepas. Apabila beliau bertambah uzur aku mengajak beliau tinggal bersama kami di Bayan Baru. Aku sangat senang dengan kehadirannya dan beliau tidak pernah memberi apa-apa masalah kepada kami. Malah beliau ada juga menasihati kami didalam beberapa perkara mengenai alam berumah-tangga ini. Beliau hidup agak susah dan pernah bersuamikan empat kali kerana mereka semuanya meninggal dunia seorang demi seorang. Suami-suami Tok Biah mengikut urutan ialah Musa, Hussein, Jamaluddin dan Saad. Saad adalah ayah kepada Rahidah isteriku. Semoga mereka semua dicucuri rahmat.

Begitu hebat orang dulu-dulu sanggup mengambil janda untuk membantu menyambung kehidupan. Aku pernah terfikir sanggupkah kita berbuat macam ini? Mengambil janda sahabat dengan niat sekadar untuk membantu semata-mata. Tentu ada berbagai pendapat dengan situasi dan syarat yang berbeza-beza. Aku serahkan kepada kalian jika sudi memberi komentar yang baik dan membina dan semoga jangan ada yang marah.


Allahualam.

Wednesday, October 1, 2008

1 Syawal 1429H Ziarah Pusara Abah.

Alhamdulillah, selesai sudah sebulan berpuasa kini tiba berhari raya Aidil Fitri. Semoga Madrasah Ramadhan telah sedikit sebanyak mendidik kita supaya menjadi insan bertaqwa. Mudah-mudahan dirahmati di awal Ramadhan. Diampunkan dosa-dosa kecil atau besar di pertengahannya dan di akhir Ramadhan dijamin bebas dari api neraka di akhirat kelak.


Aidil Fitri semoga kita rayakan dengan masing-masing kembali kepada fitrah asal kita ini. Suci bersih laksana kain putih yang tanpa corak. Bersih dan suci hati, akhlak dan perbuatan kita. Mari kita hadapi hari-hari yang mendatang dengan lebih bertenaga, bersemangat dan bersama dalam tindakan yang mengikut lunas-lunas agama. Paling penting bagi kita yang mempunyai jamaah, sentiasa mengikut keputusan-keputusan yang jamaah telah syurakan dengan penuh ketaatan. Walaupun kadang-kala kita merasakan pendapat kita lebih baik. Tetapi percayalah keputusan jamaah mengatasi pendapat kita sendiri.


Pagi 1 Syawal, selepas solat sunat Aidil Fitri kami berkesempatan menziarahi beberapa rumah temasuk rumah Tok Imam, mengikut jemaah surau. “Baraanlah kut, macam akhi Zulkar9 nak buat dengan gang JIM SPT 18 Oktober 2008 nanti.” Semoga budaya ini dapat mempereratkan silaturahim bersama antara kita.
(Dari kanan; Yop, Along, Mak, Kak Long dan Fuzi anak Yop di Pusara Abah)

Saya sempat bersama keluarga pergi menziarahi pusara Abah pada pagi itu. Abah meninggal dunia pada 31 Mac 2000 setelah 2 tahun setengah tidak mampu gerakan sebahagian kanan badannya akibat ‘stroke’ sehari sebelum Hari Raya. Pusaranya agak semak-samun kerana lokasinya agak ke dalam dan di sebelah tepi kiri. Kami bersama emak, Yop abang sulungku, Kak Long isteri Yop, Along anakku dan anak bongsu Yop bersama membersihkan pusaka Abah.


Emak, Yop dan Kak Long kemudian membaca Surah Yaa Sin. Along bersihkan pusaka Atoknya manakala aku tercari-cari ranting pokok kayu segar untuk aku pacak di atas pusara abah. Pernah aku mendengar selagi pokok ini masih segar ia akan terus berzikir untuk kita. Mudah-mudahan roh Abah akan tenang di sana di bawah naungan kasih-sayang Allah SWT. Terima kasih Abah yang telah membesar dan mendidik kami lima beradik.