Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Tuesday, December 23, 2008

Puisi untuk SAZ

Siti Aisyah Binti Zakaria.
Nama yang tetap harum menwangi.
Pada kami, anak-anak dan sanak saudara
Pada suami kau tentu akan dirindui



Kepada Allah kita bermunajat
Berubat, solat hajat, Yaa Sin dan Mathurat.
Bersama doa sanak saudara juga sahabat.
Moga Siti Aisyah kembali sihat


Jiman suratanmu telah berlaku.
SAZ yang disayangi telah mendahului mu.
Kering sudah airmata mengiringi sendu
Pada malam Jumaat yang penuh sayu


Blog jendela hatiku kaku tidak terpahat
Ilhamku kelu walaupun untuk sebaris ayat
Blogmu warna nostalgia sungguh menyayat
Coretan insan marhaen penuh tersirat


Jendela hatiku lama menyepi
Ilhamku kelemasan jiwa menangisi
Cuba ku bangunkan sebuah puisi
Agar jendela hatiku terus berseri.


Berserta kasih cinta setia
Ke hujung hayat tidak dilupa
Berbahagialah dikau damai di sana
Segugus doa ku iring bersama

Al Fatihah buat mu SAZ.

Thursday, December 18, 2008

Sedangkan Nabi Ampunkan Umat.

Sumbangan kerusi roda kepada yang memerlukan. Sebagai seorang insan ciptaan Tuhan beliau juga layak menikmati keadilan dan kasih sayang bermasyarakat walaupun beliau seorang India beragama Hindu.

Menerima maaf daripada seseorang amat dialu-alukan. Namun bak kata pepatah, "Walaupun luka sudah sembuh tetapi parutnya masih kelihatan". Jadi berhati-hati selalu apabila membuat sesuatu percakapan atau perbuatan yang melibatkan orang lain. Apatah lagi yang akan membuatkan orang lain tersinggung. Sebab itu apabila kita sendiri dalam keadaan marah jangan membuat sesuatu tindakan lagi. Tangguh dan alihkan perhatian kepada yang dapat memberi ketenangan seperti mengambil wudu' atau solat sunat.

Mari kita ambil iktibar hadis ini. "Jangan kamu saling dengki dan iri dan jangan pula mengungkit keburukan orang lain. Jangan saling benci dan jangan saling bermusuhan serta jangan saling menawar lebih tinggi atas penawaran yang lain. Jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara kepada muslim lainnya dengan tidak menzaliminya, tidak mengecewakannya, tidak membohonginya dan tidak merendahkannya. Letak takwa ada di sini (Nabi saw menunjuk ke dada beliau sampai diulang tiga kali). Seseorang patut dinilai buruk bila merendahkan saudaranya yang muslim. Seorang muslim haram menumpahkan darah, merampas harta, dan menodai kehormatan muslim lainnya." (Riwayat Imam Muslim)

Mungkin kita kita pernah melakukan kesilapan secara sengaja mahupun tidak sengaja tetapi yang pentingnya kita boleh mengakuinya dan bersedia meminta maaf. Itu tindakan yang terbaik. Manakala di pihak yang lain sedia memaafkan dan berlapang dada untuk berbaik semula. Alangkah indah hidup ini kerana kita tidak keseorangan.

Tuesday, December 16, 2008

Rehlah Keluarga JIM SPT Disember 2008.

Adik Nurul Izzah Bt Darus berkain merah di sebelah Ketua Wanita JIM SPT Kak Mon, bercita-cita untuk menjadi doktor pakar bedah. Gen -Z di kanan sekali kakaknya Nabilah bakal ustazah.

Seramai 10 keluarga JIM SPT berbincang mengenai Ucapan Dasar Ketua Wanita dan Presiden JIM.

Sabtu 13 Disember 2008, selepas bersama meraikan kenduri kahwin anakanda sahabatku Hj Rashid dan Kak Zah, kami warga JIM SPT bergegas ke program "Rehlah Kaluarga JIM SPT" di Sedim Eko Theme Park Resort. Program dimulai sejak jam 3.00 petang hingga 5.00 petang untuk melapor diri, mandi manda dan persiapan BBQ. Aku sampai lebih kurang jam 6.00 petang, lewat kerana perlu menguruskan beberapa perkara terlebih dahulu. Kemudian kami makan malam BBQ hingga 7.00 malam. Solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Hj Isa dan Tazkirah Perdana disampaikan oleh Hj Atan TYPD JIM SPT yang ditugaskan sebagai JK TPSM (Tarbiah& Pembangunan Sumber Manusia) dengan pengisiannya tentang perjuangan sahabat-sahabat Rasulullah saw, seperti Muaz Al Jabar & Umar Al Khatab. Siap dengan tangkap syahdu apabila menceritakan perihal Umar pada zaman jahiliahnya.

Anak-anaklah yang paling seronok bermain air di Sungai Sedim ini

Isyak berjemaah diimamkan oleh sdr Zulkar9. Kemudian kami berbincang mengenai ulasan Ucapan Dasar Ketua Wanita dan Presiden JIM yang dibentangkan oleh Hjjh Zabedah dan saya sendiri. Pada penutupnya pula Ustazah Saliza & sdr Harryzan memberi penyampaian mengenai HPA pelan perniagaan dan banyak penerangan terkini. Semua penyampaian pada malam itu menggunakan projektor & PC. Siap PA System JIM SPT yang dibawa khas dari PKJ (Pusat Komuniti JIM) dan tamat kurang lebih jam 11.59 malam.

Hj Atan dengan Tazkirah Perdana memberi sentuhan yang istimewa kepada semua. Ada satu ketika beliau terhenti kerana terlalu sebak mencerita mengenai sahabat Umar Al Khatab menanam anaknya hidup-hidup sewaktu zaman jahiliahnya.


Along berihat kerana kakinya sakit. Dia melompat terus dari beranda rumah terus ke sungai. Anak Gayong katakan.

4.30 pagi hari Ahad 14 Dis 2008 dimulakan dengan qiam di kediaman masing-masing. Sebuah banglow untuk akhawat (wanita) dan anak-anak. Dua buah rumah berkembar untuk ikhwah (lelaki), remaja dan aulad (anak-anak lelaki) yang lain. Subuh diimamkan oleh Ust Hj Rozee, JK Ulamak dan sedikit penerangan mengenai pengharaman "yoga" oleh Fatwa Kebangsaan. Terus dengan sesi taaruf generasi Y & Z. Anak-anak ini telah diberi peluang bercakap meperkenalkan diri, ibu bapa & cita-cita mereka.
Inilah sebahagian besar keluarga JIM SPT. Selepas senaman pagi.

Senaman pagi dibawa oleh sdr Ahmad Baharuddin. Selepas sarapan sesi PATT (Pagi Ahad Tidak Tidur) bermula dengan aktiviti air dan sebagainya. Rata-rata program ini memang menyeronokan. Tempat bagus, BBQ pun sedap, Tazkirah menginsafkan dan memotivasikan, mandi sungai pun puas dan penganjuran yang baik dan amat sesuai untuk semua. 10 keluarga dan beberapa yang bujang satu jumlah yang agak besar juga. Jzkk (terima kasih) kepada Kak Mon dan akhi Zulkar9 diatas penganjuran program ini dan juga akhawat sekalian yang menyediakan makanan. Lepas itu pergi kenduri adik Rahimie Che Yen pula di Penaga.


Hj Atan dok main 'Tai Chi' nya. Beliau terkenal dengan panggilan 'Prof Tai Chi'. Sekali sekala berenang macam spesis jerung. Nak tahu tanya Ahmad Baharuddin.

Sampai ke rumah jam 6.00 petang telah menghatar keluarga Ust Zulkifli di Pematang Janggus dan Naimah di Kubang Semang. Alhamdulillah terasa puas dikurniakan kesempatan bersama sahabat-sahabat tercinta. Terima kasih Allah kerana mengizinkan aku bersama mereka ini.

Friday, December 12, 2008

Aku mungkin tidak akan ada di sisi mu nanti.

Anak-anak mudah dibawa arus kehidupan. Kita sebagai orang tua harus sentiasa mengawasi agar mereka tidak akan hanyut . Luangkan masa yang sesuai untuk mereka.
Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Semoga dicucuri rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan di alam ini.

Anakku! Carilah beberapa wadah yang membina modal insan. Pelihara dan sayangi apa yang kamu ada. Imbangi yang hak kepada yang berhak dan ketahuilah tiada cuti bagi seorang pejuang.
Inilah Sungai Batang Padang yang pernah aku minum airnya entah berapa baldi semasa aku dibesarkan di Kampong Lubuk Katak, Tapah, Perak.
Anakku! Ada mereka yang tiada negara ada mereka yang menumpang di negeri sendiri maka pertahan tanah airmu sendiri. Anakku jangan yang diburu tak dapat yang dikendung berciciran. Jauhi fitnah kerana ianya akan merosakan kamu. Carilah rakan dan teman yang boleh dijadikan cermin diri. Jika kau memilih tukang besi sebagai kawan maka kau akan selalu merasakan bahang kepanasan dapurnya bila dia kau dekati. Tetapi jika kau memilih bersahabat dengan si penjual minyak wangi, kau akan sentiasa menghidu wanginya walaupun kau tidak memakai minyak wangi itu.

Anakku! Bersilaturrahimlah, imbangi yang hak kepada yang berhak. Dirimu ada haknya, keluargamu ada haknya. Ayah dan ibu pun ada haknya. Jiran, masyarakat, negara dan agama ada haknya. Tunaikan ia sebaik mungkin. Ingat anakku jangan kau leka dan asyik lena daripada menunaikan hak-hak ini. Kau mungkin masih muda dan mahu bersiar-siar dan berseronok. Jawab ayah boleh tetapi ada hadnya anakku. Habiskan masa-masamu dengan memberi sedikit ruang untuk dirimu bermunajat kepada Allah SWT. Jangan dikau habiskan dengan sembang-sembang kosong di tepi-tepi jalan. Rihatlah dengan cukup dan tidurlah bilamana semua orang tidur kerana tenagamu amat tinggi harganya untuk diguna pakai pada keesokan hari.

Anakku! Jaga auratmu kerana ayah tidak berupaya berada di sisimu setiap masa dan setiap tempat. Jagalah maruah ayah dan ibu. Senangkan hati kami dan jadikanlah diri kamu anak yang baik. Tidak memeningkan kepala ayah ibu. Tidak menyusahkan ayah ibu dan sentiasa menghormati kami berdua. Rumah kita dan kereta yang ayah beli mungkin menjadi milikmu satu hari nanti kerana ayah tidak akan mampu membawanya ke dalam kubur ayah kelak. Kemungkinan wang simpanan KWSP ayah pun tidak tahu sama ada ayah sempat menggunakannya untuk pergi ke Tanah Suci atau membayar kembali pinjaman peribadi ayah kepada bank.
Along nama penuhnya Mohd Saiful Nizam Bin Rusli, menjadi harapan aku untuk meneruskan perjuangan yang mungkin tidak aku kesampaian.
Anakku selalulah berdoa. Berdoalah agar Allah SWT sentiasa melindungi mu. Pintalah semoga dikekalkan hati mu sentiasa di jalan yang benar. Pintalah semoga diterangkan hati mu dengan cahaya rabbani yang tidak kunjung malap. Pintalah agar dilapangkan hati mu dengan Nur Iman, keyakinan dan keteguhan tawakkal. Pintalah dalam doamu itu kehidupan seorang pejuang dan kematian mu sebagai syuhada dalam memperjuangkan agama Mu.

Anakku! Dengarlah betul-betul dan fikir-fikirkan. Ini adalah kerana ayah mu tidak akan sentiasa di sisi mu nanti.

Thursday, December 4, 2008

Takut tidak sempat.

Membuat kerja amal memang digalakan dalam Islam.
Peluang kadang-kala tidak boleh dilepaskan dengan begitu sahaja kerana dikhuatiri ianya tidak akan ada atau berulang untuk sesekian kalinya. Rebutlah peluang itu pada masa sihat, muda, lapang, senang, kaya dan semasa hidup. Jangan sampai bila sudah sakit, tua, sempit, susah, miskin dan mati baru hendak membuat kebajikan. Baru hendak cari tikar sembahyang, baru hendak ke surau masjid, baru hendak bersedekah, baru hendak berpuasa, baru hendak memberi zakat dan baru hendak ke Mekah. Baru ingat adanya Tuhan.
Asuhlah mereka dari kanak-kanak agar biasa membuat kebajikan untuk orang lain.
Kehidupan harian boleh diteruskan sesuai untuk memenuhi keperluan dan tanggung-jawab yang terpikul. Sebagai seorang pelajar, jadilah seorang pelajar muslim yang tekun dan memberi keutamaan kepada perkara menuntut ilmu. Sebagai pekerja jadilah pekerja yang gigih, rajin dan beramanah kerana itu sememangnya kehendak Islam. Sebagai seorang anak, jadi anak yang soleh dan solehah, taat dan bertangung-jawab serta membantu keluarga. Sebagai ibu dan bapa laksanakan hak dan tuntutan keibubapaan, mengasihi, melindungi, mendidik anak-anak, peka mengambil tahu dan sentiasa memandu arah kepada keselamatan mereka. Sebagai pimpinan masyarakat berlaku adil dalam semua tindak-tanduk, membantu dan memberi khidmat sebaik mungkin tanpa dipinggirkan seorang pun. Pergaulan yang sihat akan membari manfaat yang amat besar untuk masa depan.
Jika telah melakukan kesalahan jangan teragak-agak meminta kemaafan. Jangan ditunggu pada pagi Hari Raya sahaja baru mahu bermaafan takut nanti tidak berkesempatan. Masa tidak akan menunggu sesiapa dan ajal tidak akan dapat ditolak-ansurkan. Berubahlah dari keadaan sekarang kepada yang lebih baik. Jangan ditunggu-tungu untuk melakukan perkara-perkara kebaikan. Takut tidak sempat.

Tuesday, December 2, 2008

Ku Cari Damai Abadi


Dalam kedinginan dakapan usia senja
Sempat aku renungi redupan sinar mata
Banyak menyimpan rahsia suka dan duka
Menunggu menanti kehadiran entah siapa
Yang kononnya sibuk sekali tiada terkata

Sayu sungguh hembusan sang bayu
Membelai lembut kerutan wajahmu
Lemah longlai langkah kaki mendahulu
Tiada rela sentiasa menjadi perindu
Meniti kesunyian persis penunggu

Suratan takdir Ilahi telah tiba
Mengundang satu perjalanan jauh sehala
Yang tidak mungkin mampu menahan hiba
Lantaran cuma doa dan tangisan airmata
Merelakan perpisahan kita seketika cuma

Ku pohon dikau sejahtera dan dikasihi
Perjuanganmu pasti akan ada yang susuli
Ingatan tulus doaku tiada putus di sanubari
Damaikan kami bersama golongan diampuni
Dirahmati dan tenang menjadi tetamu Illahi