Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Friday, January 30, 2009

Boleh melepak jika …

Diriwayatkan daripada Abu Sai’d Al Khudri ra katanya: Dari Nabi saw sabda baginda: “Hindarilah daripada duduk-duduk di pinggir jalan!” Jawab para sahabat, “Kami terpaksa duduk-duduk di situ membincangkan hal-hal yang perlu.” Sabda Rasulullah saw, “Jika memang perlu kalian duduk-duduk di situ berikan hak jalanan.”

Mereka bertanya: “Apa haknya, ya Rasulullah?” Jawab baginda. “ Tundukkan pandangan, jangan menggangu, jawab salam (orang yang lalu) menganjurkan kebaikan dan mencegah yang mungkar.” Hadis riwayat Muslim.

Wednesday, January 21, 2009

Lapan Ribu Risalah Boikot Telah Diedar.

Lapan ribu risalah telah diedar di sekitar kawasan Seberang Perai Tengah dalam tempoh tujuh hari oleh ahli, rakan dan keluarga Jamaah Islah Malaysia. Mudah-mudahan akan ada 8000 orang yang akan bersama memboikot barangan Amerika Syarikat dan Israel. Sasaran utama operasi ini ialah terus menemui pengujung dan pengusaha pasar malam. Hasrat murni operasi ini bertunjangkan keinginan untuk bersama dan tidak hanya berpeluk tubuh demi menyelamatkan Gaza dan sekali gus rakyat Palestin . Objektifnya sangat jelas dan tepat, pertama untuk melahirkan kesedaran di kalangan masyarakat untuk membantu Palestin dan keduanya untuk meningkat amal dan motivasi para sukarela. Boikot barangan Amerika Syarikat dan Israel ini janganlah dipandang sepi kerana jika semua umat ini bersatu impaknya sangat besar kepada ekonomi negara terbabit. Kita tidak mahu dan jangan sekali-kali merelakan hasil pembelian kita itu akan mereka gunakan untuk menghancurkan rakyat Palestin. Tidak ! Jangan sekali-kali kita bersekonkol dengan perbuatan keji dan hina ini. Mungkin ada yang menyatakan selain boikot barangan ini apa lagi yang boleh dibuat. Sebenarnya ada lebih 21 langkah atau perkara yang boleh kita laksanakan. Mari kita telitikan. Berdoa, solat hajat, sebar risalah, buat banner, hadir demonstrasi, buat salinan risalah, beri sumbang RM, ujudkan tabung, beri ceramah, dengar ceramah, jual buku, buat persembahan multimedia, boikot barangan US dan Israel, buat kempen bantahan tanda tangan, menulis blog, kempen RM1 seorang untuk Palestin, pasang pelekat kereta, pakai lencana, pakai kemeja-T, sertai badan atau pertubuhan yang berkenaan, baca Qunut Nazilah dan mungkin banyak lagi. Jika tidak mampu melaksanakan sebahagiannya janganlah ditinggal kesemuanya.
Hari ini hari mereka hari esok mungkin hari kita pula, mana tahu. Semoga kita tidak berdiam diri. Terima kasih kepada mereka yang telah membantu. Mudah-mudahan Allah terima usaha kita.

Tuesday, January 20, 2009

Mengapa Tidaknya Kita?

"Abang tolong setkan alarm handphone awal sikit Ida nak goreng mee pagi esok untuk PATT", kata isteriku sambil menarik selimut yang berwarna biru hingga ke paras dadanya pada malam itu. Rugilah aku kerana perlu pergi ke Bengkel Penulisan Kreatif di USM Sri Ampangan, Nibong Tebal pada awal pagi Ahad itu juga. Namun memang kehendak aku ingin benar menghadiri bengkel ini untuk menimba sedikit sebanyak ilmu mengenai penulisan ini. Ingin juga aku tahu bagaimana mereka yang mampu menulis dengan begitu hebat.

Masih segar diingatan semasa aku berumur 12 tahun telah terpilih bagi mewakili sekolah ke pertandingan menulis karangan peringkat negeri Pulau Pinang. Wah! Aku telah berjaya mendapat tempat ketiga. Itu pun aku dipilih sebab murid yang mendapat markah tertinggi dalam sekolah kami tidak dapat hadir ke pertandingan itu. “Tempat ketiga peringkat sekolah rendah satu Pulau Pinang.”

Kami, ahli, keluarga dan rakan Jamaah Islah Malaysia (JIM) di daerah Seberang Perai Tengah ini biasalah kalau hari Ahad lazimnya akan ke Mengkuang Dam untuk suatu program mingguan keluarga yang dipanggil PATT yang memberi maksud Pagi Ahad Tidak Tidur. Ini satu peluang untuk bersama sambil beriadah dapat juga berbincang beberapa perkara mengenai keluarga, kerjaya dan juga dakwah. PATT ini yang paling menarik ialah masing-masing akan membawa juadah samada dimasak sendiri mahupun dibeli dari tempat tertentu. Jadi makan ini menjadi agenda tradisi yang sungguh meriah. Agenda ini juga telah digelar "senaman perut".

"Ida pi dengan Cik Mat, abang tak sempat nak hantar". Sebaik sahaja aku keluar dari bilik air, aku menyapa isteriku yang sibuk sejak 5.30 pagi lagi di dapur. Kami pun bergegas membuat persediaan masing-masing. Aku merasakan aku tiba paling awal tetapi bila melihat bilik kuliah telah siap teratur tentu Dr Roslan sebagai tuan rumah dan Inayah sebagai penganjur telah tiba lebih awal lagi.

Aku merasa sungguh teruja bila dapat menyiapkan beberapa tugasan-tugasan dengan agak baik juga. Empat gaya atau tajuk penulisan sempat kami karyakan. Pertama "Larian Mata Pena" telah memaksa kami menulis secara bebas tanpa boleh mengangkat pena kami’ dengan beberapa tajuk yang diberi pilihan.


Keduanya "Bermain Kata-kata", menulis secara kreatif sesuatu perkara itu untuk mereka yang tidak pernah megambarkan atau melihat perkara itu. Terpaksalah kami menulis dari sudut atau dimensi yang banyak menghurai. Di sebelah petang kami diminta keluar dari bilik kuliah, tugasan "Kembara Bisu" telah mengajar kami melihat di luar beberapa ragam manusia di destinasi-destinasi tertentu. Belajar membuat catatan, belajar membuat sinopsis, belajar menulis episod. Menyampaikan karya dan bersedia untuk dikomen.

Paling syahdu ialah menyampaikan hasil karya kami yang keempat dalam tugasan "Cerita Tidak Bertuan". Menghidangkan satu kisah sebenar pengalaman hidup di masa silam dengan mengimbau seseorang yang amat terkesan di dalam sanubari kita. Ramai telah menyampai karya mereka dengan begitu "sentimental" sekali malah saya yakin ada yang menangis jauh di dalam hati mereka. Kata pensyarah kami Prof Madya Dr Umi Kalthum Ngah yang sebenarnya dari Fakulti Kejuruteraan Letrik USM, “Kalaulah di tempat lain sudah berbakul-bakul air mata yang mengalir.” Kalaulah tidak aku ini dikenali sebagai guru silat, sudah barang tentu akan aku layani perasaan sebak dan syahdu itu sehingga tercapai “makam kepuasan”. Makam ini pernah aku nikmati semasa bersama sahabat Division Rajawali sembilan tahun yang sudah, dalam misi “Mengapai Awan Di Puncak Tahan” semasa kami sungguh asyik berqiamulai pada suatu awal pagi di tepian sebuah sungai di kaki Gunung Tahan.

Di dalam bengkel ini kami juga telah diminta memberi pandangan kepada 5 cebisan atau potongan karya mereka yang telah menghasilkan novel yang dianggap sungguh baik dalam dunia penulisan. Rupa-rupanya bukan semua penulis-penulis yang hebat itu datang dari bidang penulisan. Ramai di kalangan mereka mempunyai kerjaya lain tetapi mampu hebat menghasilkan penulisan. Cuma bakat dalaman perlu dicungkil, ide yang kreatif dan berdisiplin dalam penulisan.

Jadi kenapa tidaknya kita?

Friday, January 9, 2009

RIWAYAT HIDUP AL HASAN AL BASRI

Hasan Al Basri nama penuhnya ialah ; Abu Sa'id al-Hasan ibn Abi-Hasan Yasar al-Basri. dilahirkan di Madinah pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab pada tahun 21 Hijrah (642 Masihi). Ibunya bernama Khairah merupakan seorang bekas hamba kepada isteri Nabi Muhammad saw (Ummu Mukminin) yang bernama Hindun binti Suhail atau lebih dikenali sebagai Ummu Salamah.

Ummu Salamahlah yang memberi nama Al Hasan. Beliau adalah seorang wanita Arab yang cerdik dan sangat berilmu. Ummu Salamah adalah diantara segelintir kecil kaum wanita yang celik huruf dan telah meriwayatkan sehingga 387 buah hadis. Beliau adalah ibu susuan Al Hasan

Ayahnya bernama Yasar merupakan bekas hamba kepada Zaid bin Thabit, seorang penulis wahyu Rasulullah saw. Al Hassan membesar dan dididik dirumah Ummu Salamah dan rapat dengan kesemua Ummu Mukminin (isteri Rasulullah) kerana rumah-rumah mereka berdekatan.

Al Hasan menerima hadis daripada Othman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Abu Musa al Ash’ari, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Anas bin Malik, Jabir bin Abdullah dan ramai lagi. Ali bin Abi Talib merupakan idola Al Hasan yang kuat pegangan agama, kesempurnaan ibadah, kezuhudan menjauhi segala kesenangan dunia, kepetahan, kebijaksanaan, kefasihan dan tunjuk ajar yang mampu menyentuh hati manusia. Al Hasan cuba mencontohi segala akhlak, ketaqwaan dan ibadah Ali bin Abi Talib.

Pada umur 14 tahun mengikuti ayahnya berpindah ke Basrah dan menetap di sana. Dengan ini namanya dikaitkan dengan Basrah dan dikenali dengan Al Hasan Al Basri.

Beliau mempelajari tafsir, hadis dan qiraat Abdullah bin Abbas. Beliau juga mendalami ilmu fikah, bahasa dan sastera daripada sahabat lain.

Al Hasan menjadi ilmuan dan seorang fakih yang terkenal dan dipercayai. Beliau dapat melembutkan hati dan mampu membuat air mata masyarakat berlinangan.

Maslamah bin Abdul Malik merupaka jiran Al Hasan di Basrah, memceritakan mengenai Al Hasan; Hasan sama luar dan dalamnya. Ucapannya selari dengan perbuatannya. Apabila mengajak manusia kepada kebaikan beliaulah yang pertama melakukannya. Apabila melarang manusia melakukan kejahatan beliaulah yang pertama yang meninggalkannya. Beliau zuhud, menjauhi daripada mengambil segala yang ada di tangan manusia lain. Manusia amat mengharapkanya dan sentiasa meminta apa yang ada padanya.

Al Hajjaj bin Yusuf Al Thaqafi pemerintah Iraq yang zalim pernah ditegur kezalimannya oleh Al Hasan. Beliau juga melarang Al Hijjaj membina bangunan-bangunan mewah. Al Hijjaj marah dan ingin memenggal kepala Al Hasan. Setelah dihadapkan kepada Al Hijjaj, Al Hasan membaca doa,” Wahai Tuhanku yang memberikan nikmat dan menjadikan tempat aku berlindung ketika menghadapi malapetakaku, jadikanlah kejahatannya itu sejuk dan selamat untukku seperti mana Engkau jadikan api itu sejuk dan selamat unuk Ibrahim.”

Al Hijjaj terasa gementar dan mempersilakan Al Hasan duduk sambil bertanyakan beberapa masalah agama dan dijawab Al Hasan dengan tabah dan di hurainya sehingga mendalam. Al Hijjaj berkata, “Engkau adalah pemimpin ulama” sambil menghadiahkan Al Hasan minyak wangi.

Banyak kisah-kisah yang menceritakan pengalaman Al Hasan Al Basri ketika berhadapan dengan para pembesar dan pemimpin. Beliau semakin dihormati apabila berhadapan dengan mereka. Hasan menjadi guru di Basrah, (Iraq) dan menubuhkan madrasah di sana. Antara pengikutnya yang terkenal adalah Amr ibn Ubayd dan Wasil ibn Ata, pengasas mazhab Muktazilah.

Hasan adalah penyokong kuat nilai tradisional (orthodox) dan cara hidup zuhud. Menurut beliau takut adalah asas kepada moral dan kesedihan adalah ciri agama; kehidupan hanyalah perjalanan untuk ke akhirat, dan kesenangan hendaklah dinafikan untuk menewaskan nafsu. Hasan al-Basri juga dipandang tinggi oleh ahli sufi kerana sikap zuhudnya. Walau bagaimanapun, beliau bukanlah seorang sufi.

Hasan dikenali sebagai seorang yang suci jiwanya menyamai para sahabat. Dalam politik, beliau menentang sistem pewarisan khalifah dalam dinasti Umayyah tetapi percaya kepada pemilihan khalifah.

Al Hasan meninggal dunia pada usianya 80 tahun pada hari Jumaat di awal bulan Rejab pada tahun 110H, 728 Masihi di Basrah, Iraq. Selepas solat Jumaat jenazahnya disembahyangkan dan seluruh penduduk Basrah mengiringi jenazahnya sehingga di masjid Basrah tidak didirikan solah Asar berjemaah. Al Hasan Al Basir telah berjaya mengisi dunia dengan limpahan ilmu, kata nasihat yang menyentuh hati dan mampu menintiskan air mata.

Monday, January 5, 2009

Di Hospital temani emak operate mata.

Salam. Alhamdulillah, rasanya lama saya tidak menulis. Maaf kepada anda yang telah menziarahi blog ini. Pertamanya saya telah terlibat dengan Kursus Kemantapan dan Kenaikan Bengkong, Mesyuarat Agung dan Majlis Adat, Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia pada 26 Disember 2008 hingga 31 Disember 2008. Kursus ini dijalankan di Pusat Latihan Tertinggi, Kampong Guar Nenas, Gurun, Kedah. Saya sendiri terlibat sebagai setiausaha kursus. Seramai 130 orang terlibat dan datang dari Kelantan, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. InsyaAllah jika ada permintaan dan kesempatan saya cuba cerita dengan lebih panjang lagi.

Sekarang ini saya berada di Hospital Lam Wah Ee, menemani emak yang akan membuat pembedahan membuang selaput di matanya dan sejak jam 7.00 pagi kami di sini. Kami telah beberapa kali berulang-alik ke Hospital Bukit Mertajam sebelum ini dan terpaksa menunggu giliran dan masa yang sesuai. Emak ada sedikit masalah tekanan darah tinggi dan jantung. Hospital ini terpaksa menunggu kesihatan emak saya betul-betul terbaik baru boleh di buat pembedahan.

Saya dan adik saya Seliha, berpakat untuk mencuba ke hospital swasta pula dan pada hari Jumaat yang lalu 2 Disember 2009 kami datang membuat memeriksaan. InsyaAllah emak akan dibedah sebentar lagi doakan beliau selamat dan dipermudahkan semua urusan. Saya terpaksa ambil cuti secara mendadak hari ini dan esok, walaupun kilang kami baru "shutdown" seminggu. Saya utamakan emak daripada kilang. Mudah-mudahan segalanya berjalan baik. Terima kasih