Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Saturday, February 28, 2009

Tempahan Tiket ke Syurga

Ada yang nanti menyeberangi titian "Sirat Mustaqim" sangat pantas untuk sampai ke Syurga.

Tiada kata yang aku mampu ucapkan mengenang sahabatku ini yang sering diduga Allah SWT dalam perjalanan kehidupannya. Mula berjumpa dengannya di tempat kerja, beliau mempunyai minat dan pendirian yang sama denganku. Kami sama-sama berkongsi aktiviti yang sama, membuat kerja-kerja dakwah sambil belajar bergerak secara berorganisasi. Minat masa lapang pun sama "hobby" dalam bahasa “orang putih”. Menyewa rumah pun berdekatan sehingga membeli rumah di taman yang sama. Pernah rakan-rakan lain memberi jolokan kami ini macam saudara kembar.
Sungguh indah bila bersahabat saling hormat-menghormati dan membuat suasana kita selalu ceria.

Masa berlalu begitu pantas sekali sudah dua puluh tahun lebih kami masih bersama, bersahabat dan melakukan aktiviti yang tidak banyak berubah. Tetapi aku tahu sesekali sahabatku ini ada ketikanya terkesan dengan arus penghidupan yang tidak selalu menjanjikan keriangan semata-mata. Aku pada mulanya sungguh tidak memahami perubahan yang berlaku lantaran mungkin aku sendiri sibuk atau tidak berani campur tangan dalam urusan-urusan yang aku anggap terlalu sulit lagi peribadi. Namun hati kecil sentiasa menronta-ronta ingin membantu.

Tiada batasan untuk bersahabat walau berlainan negeri. Jauh cuma jarak tempatnya tetapi di hati tetap dekat.

Aku perhatikan masalah demi masalah yang beliau hadapi dan ada kalanya amat getir sehingga raut wajahnya agak suram dan tidak bermaya sekali. Itu mungkin tidak mampu beliau selindungi lagi. Rakan-rakan lain memang ramai tetapi kebanyakan mereka berpendapat dan berpendirian mungkin dia sendiri belum lagi bersedia berkongsikan masalah dengan orang lain. Aku pun pernah berfikiran sebegitu juga pada ketika itu. Maaf daripadaku kerana tidak banyak membantu.
Kadang-kala bersahabat sesama dearah atau negeri dikatakan "ashobiah". Keakuan atau kedaerahan yang melampau. Salahkah dengan berpendirian begitu?

Sekarang dia diduga lagi dan kali ini amat mencabar sekali. Dua pukulan besar sekali gus. Suasana bertambah rumit kerana tidak ramai yang memahaminya walaupun ada juga cubaan-cubaan daripada dia untuk mula bercerita. Namun aku amat faham berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya. Tetapi aku yakin dia sudah mengerti bahawa ramai di kalangan ambiaya' yang telah diduga Allah untuk memberi iktibar dan menguji keimanan mereka. Bersabarlah dan tetapkan pendirian. Carilah penyokong-penyokong agar boleh memberi suntikan motivasi dalam perjalanan penghidupan ini. Aku sanggup menjadi salah seorang diantaranya.

Persahabatan tidak terbatas sesama lelaki malah perempuan juga boleh dijadikan sahabat cuma ada batas-batas yang mengatur keharmoniannya.

Teruskan berusaha dan berdoa. Aku tidak pernah lupa mendoakannya sentiasa agar Allah SWT mengurniakan yang terbaik dalam penghidupannya. Yakinlah samada ianya satu kifarah kepada dosa-dosa kita yang lalu atau peningkatan derajat yang akan memperolehi satu cahaya baru di penghujungnya nanti. Semua kita sama dengan masalah dan dugaan tersendiri. Hanya mereka yang benar-benar bertakwa mampu bertahan dan melaluinya.

Semoga ianya merupakan tempahan tiket untuknya ke Syurga.

Thursday, February 26, 2009

Mengapa Tidak Hadir Mesyuarat?


Pimpinan JIM Perak, Pulau Pinang dan Kedah yang cuti mereka berlainan hari namun mampu bersama di dalam program tarbiah keluarga yang digelar KEMUDI singkatan Kem Membina Keunggulan Diri pada 10 Februari 2007 di Trong, Taiping Perak.
“Mengapa ramai ajk yang tidak datang mesyuarat kali ini dan tiada makluman ketidak hadiran mereka. Sedangkan ana terpaksa ambil cuti untuk bersama mesyuarat bulanan ini.” Ini diantara ritihan dari lubuk hati seorang pengerusi yang aku kenal rapat . Kesihan terpaksa mengurbankan cutinya kerana hari Ahad merupakan hari bekerja bagi beberapa negeri di semenanjung kita ini.
Kompleks JIM Pulau Pinang di Taman Sri Nibong menjadi tumpuan pimpinan JIM Pusat, Negeri dan Daerah bermesyuarat.
Budaya negatif ini jangan dibiarkan menular dan tidak sihat untuk diamalkan terus. Sebagai ajk yang dilantik oleh orang ramai kita memikul satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Menghadirkan diri di dalam mesyuarat bulanan adalah satu kewajiban yang tidak boleh dipandang sepi. Apatah lagi mesyuarat tersebut telah dijadualkan awal dan panggilan peringatan telah dihantar oleh setiausahanya. Dalam soal ini keutamaannya harus bijak ditangani. Timbanglah semasak-masaknya jika mesyuarat tersebut bertembung dengan kehendak keluarga, kerjaya atau masyarakat. Mungkin di sini ajk harus belajar mengurus dan merancang masa dengan sebaik-baiknya.

Di Yayasan Tok Kenali Kota Bharu, Kelantan dalam satu mesyuarat dalam siri lawatan Pusaka Gayong Pusat ke Kelantan.
Sesuatu pertembungan itu mungkin agak mustahil untuk diraikan kesemuanya. Namun jika dirancang dengan baik ianya boleh mengurangkan masalahnya. Samada sesuatu itu dilaksanakan dahulu atau ditangguhkan kemudian. Cuba jadualkan semula mengikut keutamaan dan kemampuan yang sesuai. Dengan niat yang ikhlas untuk berusaha menyempurnakan sesuatu tanggung-jawab itu maka kita yakin Allah akan membantu memudahkannya. Berusaha dan berdoalah. “Mahu seribu daya tidak mahu seribu daleh”.
Sungguh bertuah telah diterima kunjungan lawatan mesra ke Pejabat Menteri Besar Kelantan. Pertemuan sebegini memerlukan perancangan, disiplin dan keperibadian yang tinggi. Sungguh terharu dengan layanan mesra YAB Tok Guru Nik Aziz walaupun pada ketika itu beliau tidak berapa sihat.
Memaklumkan kehadiran atau melantik pengganti merupakan jalan keluar yang penghabisan. Jika itu pun tidak kita laksanakan maka paling buruklah peribadi kita. Takutilah azab Allah jika tanggung-jawab atau amanah itu terabai.

Tuesday, February 24, 2009

Malang jangan ditempah, musuh jangan dicari.

"Adik" minatnya di dalam Seni Silat amat mendalam. Pernah menjadi Johan Tari Solo dan Tempur Puteri Sek-sek Men Pulau Pinang tahun 2008.

Aku ditegur guruku kerana menggunakan bengkong (tali pinggang silat) aku untuk dijadikan tali buaian anakku. Mana tidaknya, aku sering bawa dia ke gelanggang silat semasa aku mengajar di sekitar Pulau Pinang dan Kedah. Pada masa itu mereka (anak-anakku ini) masih kecil lagi. Boleh dikatakan dia membesar di dalam kereta. Sewaktu kecil mukanya macam orang Jepun, mungkin kerana semasa emaknya mengandungkan dia, aku berada di Negara Matahari Naik, Jepun. Untung, aku sudah lima kali ke Jepun dibiayai oleh syarikat tempat kerja aku. Dia senang bila ramai yang memanggilnya "Anak Jepun".

Lahir pada 8 Jun 1991. "Adik" gelarannya dalam keluarga. Perwatakan sewaktu kecilnya amat manja sekali mungkin pada ketika itu dia merupakan anak ketiga dan yang bongsu. Tetapi dia mula berubah apabila muncul kehadiran adiknya Muhammad Sobri.. Dia mudah merajuk dan suka memencil diri seolah-olah merasa kasih-sayang kami ibu bapanya telah berpindah kepada adiknya.

Sekarang dia sedang menunggu keputusan SPM dan dia amat bercita-cita untuk mewakili Kedah ke SUKMA 2010, Pemilihannya ialah pada 7 Mac 2009 ini di Gurun Kedah. Kenapa Kedah? Kisah ini amat panjang untuk dihuraikan kerana melibatkan berdarahnya kembali parut-parut mentah.

Hampir keseluruhan medal dan hadiah ini adalah daripada titik peluhnya. Jika boleh dijual mungkin kayelah kite.

Walaupun dalam usia muda dia telah berjaya menjadi jurulatih dan di dalam Silat Gayong Pusaka dia memiliki bengkong kuning. Bengkong yang kedua tinggi didalam persilatan Gayong sesudah bengkong hitam. Dia juga telah disandangkan dengan "Sandang Sri Kandi". Pernah menjadi Johan Tari Solo Puteri Peringkat Sekolah Rendah Negeri Pulau Pinang. Pada tahun 2008 menjadi Johan Tari Solo Puteri dan Tempur Puteri dalam. Pertandingan Silat Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Pengalaman silatnya telah membentuk wataknya menjadi seorang yang hanya mahu terbaik di dalam semua bidang. Dia juga cemerlang di bidang hoki dan pernah mewaliki Pulau Pinang di dalam pertandingan peringkat sekolah, daerah mahupun kebangsaan. Semoga anak aku ini akan maju dalam bidang sukan dan akademiknya. Itulah harapan kami ibu bapanya.

Pernah beberapa insiden dia menggunakan kemahiran silatnya untuk menghadapi keadaan gawat atau kecemasan. Alhamdulillah, pada suatu ketika, dia berhadapan dengan dua orang lelaki dewasa yang cuba merampas kunci motosikalnya. Dengan pantas dia menangkap dan memulas tangan lelaki itu. Pendekkan cerita mujurlah semuanya selamat.

Semoga anak-anak aku dilindungi sentiasa. Gunakan segala ilmu persilatan kalian untuk membela diri, keluarga dan masyarakat dengan sebaiknya. Walaupun kemahiran silatmu tidak akan menjamin seratus peratus keselamatanmu, namun aku yakin Allah akan selalu melindungi kita semua. Yakin, usaha dan tawakal, itu yang mampu kita laksanakan. Sediakan payung sebelum hujan. Teruskan mendalami seni mempertahankan diri kalian. Malang jangan ditempah, musuh jangan dicari dan bersamalah kita menjaga diri.

Sunday, February 22, 2009

Siapa itu cuba teka.

Aksi wajib yang kami pelajari dalan Silat Seni Gayong ialah "harimau mengembur dahan". Ada kalanya sehingga setinggi seorang itu berdiri.

Gambar di atas diambil pada tahun 1991. Selepas kami berjaya melepasi ujian bengkong hijau. Tahap kedua di dalam Silat Seni Gayong. Setelah tamat matapelajaran tangan kosong yang dibawah kelolaan Cikgu Ismail Chik di gelanggang Masjid Al Huda, Sungai Ara, Pulau Pinang.

Mereka bertiga yang bergambar di atas, mereka ini sangat rapat dengan aku. Kami berkongsi fikrah yang sama. Belajar agama pun bersama. Belajar silat pun bersama. Masuk JIM pun bersama. Siapa mereka bertiga ini? Anda boleh jawab dengan klik comment di bawah posting ini.

Aku ketika itu memang minat sekali dengan silat. Kami akan berlatih walaupun kadang-kala guru kami tidak hadir ke gelanggang beberapa bulan. Namun kami ke rumah beliau untuk menambah pelajaran. Kami amat rapat dengan guru. Banyak matapelajaran yang kami timba berserta beberapa petua-petua besilat.

Anda patut juga belajar silat untuk dijadi amalan. Carilah silat yang sesuai dengan kemampuan diri. Tidak semua silat itu agreasif. Tidak semua silat itu amalan yang salah. Tidak semua silat itu menyaleweng.

Sediakan payong sebelum hujan dan jika sudah mempunyai payong periksalah ia selalu. Takut-takut bila hujan lebat dan dibuka payong, payongnya bocor. Itu kan rugi namanya.

Memanah Sunnah Nabi saw.

Kesabaran, kemahiran dan fokus kepada yang utama merupakan latihan penting dalam memanah dan ianya boleh diamplikasikan di dalam kehidupan juga.

"Ajarkan putera-puteramu berenang dan memanah"; hadis riwayat Ath Thahawi. Tetapi sebelum itu para bapa kenalah belajar dahulu baru boleh ajarkan kepada putera-puteranya pula.

Berenang aku sudah tahu sedikit sebanyak. Dahulu pernah masuk Kelab Renang di sekolah menengah. Pergi belajar berenang di Chinese Swimming Club di Tanjung Bunga. Kira bolehlah berenang dan terapong sikit-sikit.

Tetapi bab memanah memang tiada pengalaman rasmi secara profesional. Zaman kanak-kanak cuma main panah guna batang lidi dan getah bulat sahaja. Bila remaja ada kemajuan kerana main guna buluh yang diraup-raup. Aku zaman remaja memang kreatif biasa sahaja buat sesuatu permainan secara sendiri. Keris, tombak, pisau, parang, gitar, senapang dan lain-lain semuanya buat sendiri. Zaman itu mana ada games macam computer.

Along, Zulkarnain dan Hj Atan nampak begitu fokus menari anak panah untuk diluncurkan ke papan 'target'. Kelihatan sungguh gagah macam orang pro gaya mereka.

Baru-baru ini aku cuba memanah secara 'pro'. Memang hebat, baru belajar telah mampu memanah 'bull's eye' beberapa kali Alhamdulillah. Mungkin aku bercadang mahu anjurkan kelab memanah di bawah RINTIS Outdoor Ventures. Sebuah syarikat 'outdoor' yang kami di JIM SPT bangunkan suatu ketika dahulu.

Aku bercadang mahu mengajar anak-anak dalam sukan ini pula. Selain seni silat kami sekeluarga memang telah berkongsi minat yang sama, rasanya molek juga belajar memanah. Boleh sihatkan badan dan jika berkemampuan boleh mewakili negara dan sebarang sukan memanah. Kita pun tahu amat kurang penglibatan orang ramai dalam sukan ini.
Syuhadah dan Muhammad Sobri tidak ketinggalan mahu mencuba. Aku amat bangga mereka mahu bersama.

Bagi diri aku sukan ini boleh merapat hubungan kekeluarga dan juga sahabat-sahabat. InsyaAllah mendapat pahala kerana ianya sunnah Nabi saw. Dengan niat yang baik ianya merupakan persiapan jihad bila diperlukan. Janganlah seorang mukmin itu mati selagi mana tiada ada niat untuk dia mati syahid.

Saturday, February 21, 2009

Mereka yang bersifat memencil diri.


Tiada organisasii jika tiada pemimpin dan tiada pemimpin jika tiada ahli yang dipimpin. Tidak sempurna menjadi ahli jika tidak memberi taat kepada pemimpin dan tidak sempurna menjadi pemimpin jika mengabaikan tugas di dalam organisasi. Rosaklah organisasi jika pemimpinnya hanya tidur dan tidak melaksanakan tugasnya manakala ahlinya pula suka memencil diri.

Mungkin ada banyak faktor mengapa seseorang itu suka memencil diri dan diantaranya ialah faktor tidak puas hati, sudah tua dan merasa selesa tanpa memikirkan soal organisasi .

Di dalam sesebuah organisasi tentu tidak terlepas daripada perselisilihan faham di antara satu dengan yang lain. Perselisihan ini berpunca dari maklumat yang bertentangan dengan pendapat dan pegangan diri. Kita pun tahu, di dalam Islam berselisihan pendapat itu suatu rahmat kerana kita boleh membuat pilihan yang paling sesuai dengan diri kita. Namun perselisihan ini tidaklah mengakibatkan perpecahan sesuatu organisasi itu. Sifat berlapang dada adalah ramuan yang paling mustajab . Dengan semangat ukhuwah segala masalah boleh diatasi jika betul-betul jujur. Rasanya eloklah bertolak ansur daripada tertegang leher.

Tua bukan bererti boleh pencen. Tua bukan alasan boleh memencil diri. Sudah tua bukan suatu alasan yang baik untuk meninggalkan sesebuah organisasi. Walaupun kita boleh menerima alasan supaya diberi peluang kepada generasi muda namun perjuangan ini terlalu banyak bidang perlu dibereskan. Carilah bidang-bidang yang sesuai dengan kemampuaan dan tenaga tua kita. Tugas tidak mungkin akan selesai jika semua golongan tua itu mengundur diri. Berilah pandangan dan nasihat kepada yang memerlukan. Ambil tahu sudah cukup mengambarkan yang kita tidak terkebelakang.

Mereka yang telah berada di zon selesa tentu tidak mahu bersusah-payah memikirkan soal-soal organisasi. Mereka merasa sudah cukup dengan apa yang ada. Kononnya mereka telah banyak memberi bakti. Lega, mereka boleh ke surau dan masjid. Boleh bersantai bersama keluarga tercinta pada bila-bila masa tanpa kongkongan sesiapa. Balik kerja boleh beristirehat dan membuat jadual mahu ke mana pada malam nanti. Mungkin mereka merasa gembira dengan sikap ini. Tetapi saya yakin tidak semua mereka akan gembira melihat sahabat-sahabat lain bertungkus-lumus merancang, melaksanakan dan bersusah-payah untuk menghidupkan dakwah dan kebajikan yang telah diamanahkan oleh organisasi dan orang ramai.

Tidak ramai yang sudi meneruskan perjuangan dakwah ini. Namun bagi sahabat-sahabat yang istiqamah dengan organisasi, mereka akan terus dengan perjuangan ini hingga akhir hayat. Walaupun ada ketika terpaksa berjalan tempang dengan sebelah kaki. Walhal pada satu ketika dahulu pernah berlari dengan kedua kaki. Kasihan beliau kerana sebelah kakinya sudah ‘memencil diri’.

Thursday, February 19, 2009

Bersama untuk maslahat dakwah.

Barisan Pimpinan JIM Negeri dan daerah di Kursus Pengurusan Pertubuhan pada 4 November 2006
Secara umumnya program atau aktiviti dibuat ialah untuk maslahat dakwah tidak kira apa sahaja nama yang diberi. Cuma majlis dan sasarannya agak berbeza mengikut fokus semasa. Tujuan kita ialah untuk membawa semula kesemuanya kembali ke jalan Allah SWT beribadah kepadaNya, berbakti kepada manusia dan Alam. Samada kita ini berkumpulan ataupun individu perlulah kembali bersama ke dalam satu barisan dengan ketaatan yang satu. Bukan dua atau tiga.

Ketua dilantik untuk ditaati dan beliau telah diamanahkan untuk memimpin dan selayaknya menerima ketaatan daripada semua pihak. Mengujudkan kumpulan lain adalah amat dilarang. Tidak ada kumpulan di dalam jamaah. Ini akan merosakkan dan merugikan. Marilah kita letakkan iman, taqwa dan ukhuwah di hadapan segala-galanya.

Maka dengan itu perlulah diperkasakan kepimpinan agar sentiasa dihormati dan dipatuhi. Pimpinan bertanggung-jawab untuk membina hubungan yang kukuh dengan semua ahli dan institusi yang sedia ada. Memastikan semua ajk dan ahli berfungsi serta mempunyai bidang tugasan tertentu. Bila ada kerja barulah sibuk dan bila sibuk tentu tidak sempat untuk mencari kesalahan orang lain.

Sesuatu kumpulan atau individu.”Bila sudah letih bekerja, makan roti sekeping pun sudah cukup dan kemudian pasti tertidur “. Dalam ertikata lain kita tidak sempatlah hendak mencari kelemahan atau kesalahan orang lain. Memperbaiki diri dan melengkapkan segala kemahiran amat perlu untuk terus maju ke hadapan. Perancangan dan maklumat yang rapi diperlukan dan sikap untuk bekerja keras mestilah sentiasa diamalkan

Medan dan peluang dakwah bagi kita mamang terbuka luas. Mari kita berusaha memanfaatkannya. Semua tenaga ahli amat diperlukan untuk menyebar luaskan dakwah ini. Mereka yang bersifat memencil diri juga merupaka suatu penyakit. Insya Allah kita tunggu penerbitan yang akan datang.

Monday, February 9, 2009

Sebutir Mutiara Akan Menyinari Sarawak.

Dari kanan Rahimi dan Ahmad begitu tekun membancuh simen dalam gotong-royong membuat kerja amal.
Saudara Rahime Che Yen, AJK JIM SPT, aktivis Kelab Remaja JIM, Tadika Amal RINTIS dan beberapa lain jawatan dalam masjid dan masyarakat setempat akan ditugaskan ke Sarawak. Beliau akan melapor diri di tempat kerja yang baru bermula 1 Mac 2009 di Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Cawangan MIRI Sarawak. Beliau akan ke sana dahulu sementara keluarganya akan masih di SPT buat masa ini.

Warga JIM SPT ingin merakamkan jutaan terima kasih di atas segala bakti yang beliau curahkan kepada daerah SPT khasnya dan Pulau Pinang amnya. Sayu juga dikenangan Rahimi seorang aktivis yang banyak memberi sumbangan kepada JIM dan masyarakat.

Semoga beliau dan keluarga akan terus beristiqamah dengan kerja-kerja dakwah dan kebajikan. Kita doakan Allah akan sentiasa memberi perlindungan dan kesihatan yang terbaik untuk beliau sekeluarga.
Selamat berjuang dan selamat bertugas.

Monday, February 2, 2009

Perjalanan

Alhamdulillah. Perjalanan ini kekadang mudah kerana sentiasa didampingi mereka yang tersayang. Membimbing. membantu, menghulur tangan pada saat-saat perlu. Dari datok, opah, abah, mak, kaum keluarga dan kini sahabat-sahabat.
Tidak dapat dinafikan sahabat-sahabat merupakan orang yang amat penting di dalam perjalanan ini. Merekalah pengganti datok, opah, abah dan mak kita. Jangan sesekali diabaikan hubungan ini. Saling bekerjasamalah agar masing-masing mendapat kemanisan bersilaturrahim.
Namun kekadang hidup ini sangat sukar lantaran dugaan-dugaan yang mendatang. Ada yang disebabkan daripada kita sendiri dan ada yang datang dari persekitaran kita. Allah SWT yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Carilah bekalan di dalam perjalanan ini. Bak bahtera yang mendarat di sebuah pulau. Penumpangnya diminta mendapatkan segala bekalan perlu untuk menyambung pelayaran. Bagi yang lalai akan terlupa bahawa perlayaran sudah hampir sedangkan bekalan mereka tiada.
Mari kita peringatkan diri dan sahabat-sahabat, solat itu wajib, berbuat baik itu wajib, berdakwah itu wajib dan melaksanakan yang Allah suruh itu wajib. Allah berfirman di dalam Al Quran "Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu hanyalah untuk beribadah kepadaKu." Semua tindak-tanduk kita hendak dibawah naungan ibadah kepada Allah. Bagaimana caranya carilah guru atau ustaz untuk menjelaskannya. Tumpang bahtera kita masih belum kembali belayar.