Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Monday, June 28, 2010

Bola Piala Dunia FIFA

Walaupun ianya acara dunia tetapi tidaklah membuat aku merubah aktiviti harianku. Namun tidak juga menjadi kesalahan jika kita ambil tahu semada di atas minat atau sebagainya. Ini adalah kerana ianya cuma sukan dan aktivitinya ke arah kesatuan, kesihatan , budaya sihat dan sebagainya.

Jika ianya dijadikan agenda perjudian maka kita telah ada pegangan tersendiri iaitu hukumnya haram. Tidak kiralah samada ianya mendapat kelulusan atau lesen dari mana-mana pihak sekali pun. Sama juga dengan arak, tidak akan menjadi halal walaupun diluluskan lesen perniagaannya.

Jika kiranya ada yang memaksakan diri menunggu perlawanan hingga ke awal pagi maka gunakan kesempatan ini untuk solat Tahajjud atau solat-solat sunat yang lain. Minat, minat juga tetapi jangan kita lupa solat malam ini juga yang akan menjadi teman kita di kubur nanti.
Bukannya TV atau pasukan bola yang kita minati itu.

Thursday, June 10, 2010

Rasulullah saw pun patah gigi ...

Baginda pun biasa menjadi gembala kambing untuk menyara kehidupan. Kita ?

Salam. Pilu rasa hati ini apabila membaca hadis di bawah ini. Rasulullah saw tercedera pada Perang Uhud. Demi bersama menengakkan Islam, baginda tidak duduk di rumah atau di masjid baginda semata-mata.

Peperangan merupakan diantara arahan yang wajib dipatuhi. Ianya bukan mudah dilaksanakan kerana bukan sahaja melibatkan curahan titik peluh tetapi kemungkinan pengorbanan darah yang akan menyebabkan kematian.

Padang pasir, suatu tempat yang gersang. Namun kehidupan perlu diteruskan. Teringat pergorbanan Siti Sarah dan Nabi Ismail ditinggalkan Nabi Ibrahim yang keluar berdakwah.

Kematian yang akan disandangkan dengan pangkat ‘SYAHID’ satu anugerah yang amat tinggi yang menjadi idaman wira-wira Islam. Peristiwa di Perairan Antarabangsa di mana Kapal Misi Bantuan Kemanusiaan Mavi Marmara telah dicerobuhi oleh Rejim Zionis. Berpuluh yang cedera dan sembilan orang telah syahid sekurang-kurangnya telah membuka mata dunia supaya bertindak sesuatu. Buatlah apa yang termampu jika kita benar-benar prihatin. Jangan berdiam diri dan menjadi penonton.

Hadis riwayat Sahal bin Sa`ad ra.
Bahwa dia ditanya tentang luka Rasulullah saw. dalam perang Uhud, Sahal menjawab: Wajah Rasulullah saw. terluka, gigi seri beliau patah serta topi perang beliau juga hancur.

Fatimah puteri Rasulullah saw. lalu membersihkan darah beliau sementara Ali bin Abu Thalib menuangkan air ke atas luka dengan menggunakan perisai.

Ketika Fatimah melihat, ternyata air hanya menambah pendarahan, ia lalu mengambil sepotong tikar dan membakarnya hingga menjadi abu. Kemudian Fatimah menempelkan abu tersebut pada luka beliau hingga berhentilah aliran darah itu.

(Shahih Muslim No.3345)

Tuesday, June 8, 2010

Penyambung Perjuangan



Aku hampir mencecah usia lima puluhan
Seolah-olah tidak kian reda segala keresahan
Malah bertambah satu ke satu aku rasakan
Itulah hakikat kehidupan capai kemenangan

Hampir tidak mengerti hakikat kehidupan ini
Dihimpit ujian dan dugaan di sana sini
Mencari calon terbaik perlu penapisan teliti
Jemputan hamparan kasih Rabbul Izzati


Semenjak di bangku sekolah telah dibebani
Dengan tanggung-jawab meniti saban hari
Mengasuh adik-adik dan merawat abang sendiri
Ianya mematangkan meningkat jati diri

Aku juga ingin bermain-main bebas
Seperti anak-anak lain aku mahu tidak terlepas
Walaupun pelajaranku tidak yang teratas
Namun asuhan agama menjadi bekalan asas



Mahu juga ke surau bersama rakan taulan
Berebut-rebut ingin melaungkan azan
Laksana kain putih belum disentuh tangan
Buatlah yang baik yang jahat jangan

Kini yang tinggal cuma kenangan
Meniti hidup yang kehujung-hujungan
Istiqamah ku pohon tetap bergandingan
Agar anakku penyambung perjuangan

Saturday, June 5, 2010

Hidup ini bukan keseorangan.


Tumbuh-tumbuhan melengkapi kehidupan. Begitu juga haiwan dan manusia saling memerlukan.

Masa berlalu terlalu pantas tanpa disedari kita telah hampir sampai di penghujungnya. Berbagai pengalaman yang telah dilalui dan ianya menjadikan kita semakin matang. Kematangan ini harus dimanfaatkan dan dijadikan panduan atau landasan hidup yang semakin singkat ini. Jangan diabaikan kehadiran rakan-taulan yang sedia ada di sekeliling kita. Mereka ini bukan semuanya yang tidak bagus, tentu ada yang boleh kita harapkan untuk dinaikkan makam ke tahap sahabat.

Rakan-taulan mungkin ramai tetapi sahabat mungkin tidak. Sahabat yang sejati akan sentiasa kita merasakan selamat apabila bersamanya. Kehangatan ukhuwahnya dapat mencairkan kedinginan dan kebuntuan masalah kita. Jangan merasa rendah diri untuk meminta pertolongannya, pasti dia akan membantu dan menyimpan segala aib kita.

Cahaya perlu masuk meresapi ke bahagian permukaan bumi untuk itu kita juga memerlukan kehangatan ukhuwah dan kasih-sayang sahabat. Dapatkanlah ia.

Ingat hidup tidak selalu di atas mungkin ada kalanya dia pula di bawah dan memerlukan pertolongan kita. Maka jangan tangguh dan berlengah lagi bantulah dia pula. Lumrah kehidupan kita saling memerlukan kerana hidup ini tidak mungkin keseorangan. Ianya tidak akan lengkap. Tabiat alam juga begitu. Saling bergantungan di antara satu sama lain. Tidak kira tumbuh-tumbuhan, haiwan mahupun manusia, sistem hidup atau perjalanan alam sememangnya begitu.

Sikap kita adalah dari pantulan sikap sahabat kita. Maka carilah sahabat yang soleh dan musleh. baik dan membaikan orang lain.

Jangan segan silu apabila memerlukan tangan untuk digandingkan dan dihulurkan bantuan, bahu untuk memikul dan direhatkan masalah, wang ringgit untuk dipinjam atau diberikan terus atau mungkin ke tahap nyawa untuk mempertahankan yang hak di kala kecemasan atau darurat.

Jangan buat andaian awal. Cubalah dahulu baru tahu.

Thursday, June 3, 2010

Gaza Oh Gaza.


Apalah yang tinggal dari saki-baki pencerobohan ini. Cuma pakaian sehelai sepinggang. Diusir dari rumah sendiri dan ke mana hendak di tuju?

"Toksah dok buat apa, kita tak boleh buat apa-apa, depa kontrol semuanya". Itulah ungkapan yang aku dengar pagi tadi di kantin tempat kerja aku. Seorang akauntan dari Bahagian Kewangan memberi komentar sinis mengenai isu Kapal Bantuan Kemanusiaan ke Gaza yang diserang komando Rejim Israel. Hati aku melonjak-lonjak ingin membidas hujahnya namun aku faham membalas dengan perasaan marah akan keluar banyak perkara-perkara sensitif yang akan menyinggung perasaan.
Inilah jentera yang memusnahkan lagi pengecut sikapnya hanya berani bertempur dari atas sahaja. Misinya bukan menyelamat tetapi kemusnahan besar.

Dua belas sukarelawan Malaysia bersabong nyawa dalam misi ini. Kita di meja makan cuma pandai bersembang kosong menyatakan itu dan ini dan memberi jawapan bahawa lansung kita tidak mampu berbuat apa-apa. Aku berkata kepada 'insan marhaen' seorang blogger yang agak terkenal di sebelah sini agar bersama menulis untuk memberi pendapat, sokongan dan memberi informasi kepada pembaca. Kita guna sudut penulisan ini sebagai sumbangan kerdil mudah-mudahan tidaklah hanya berdiam diri sahaja.

Tidak cukup dari atas, di bawah pula kereta kebal ini dengan bomnya yang ingin berhadapan dengan pejuang muda yang di antaranya berbekalkan batu-batu lontaran.

Sebenarnya banyak yang boleh kita lakukan. Solat hajat sendirian atau berjemaah. Membaca 'qunut nazilah'. Berdoa dalam solat-solat harian. Menulis atau menyebarkan risalah. Memberi atau mengutip derma. Berceramah atau mendengar ceramah. Menghadiri demo-demo aman. Memboikot barangan Israel dan Amerika Syarikat. Bersama NGO atau persatuan berkenaan untuk merancangan aktiviti dan program yang sewajarnya. Membantu menyebarkan informasi sebenar apabila berpeluang dalam muamalah harian (bersembang) secara individu atau berkumpulan. Saya berpendapat ini 10 perkara minima yang boleh dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Kehancuran yang menjjijikan, tidak kita bangunan, harta-benda malah nyawa-nyawa yang tidak bersalah musnah semuanya.


Ayuh saudara-saudara. Sebenarnya kita tidak berputus asa dan tidak akan berdiam diri. Tolong, bantu dan usahakan sesuatu mengikut kadar kemampuan kerdil kita. Jangan sampai Allah tanya kita di dalam kubur nanti,"Siapa saudara-saudara kamu". Layakkah kita menjawab, "Kesemua muslimin dan muslimat adalah saudara-saudara aku"?