Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Thursday, July 22, 2010

Dirihatkan sebelum waktunya.



Terlalu ramai yang perlu perhatian tetapi tidak ramai yang mampu memberi perhatian.

Suatu pagi apabila bangun dari tidur terasa sakit yang amat sangat di kawasan kiri pinggang hingga ke kaki. Sakit sebegini pernah kadang-kadang berlaku maka aku kurang mengambil perhatian kerana nanti ianya akan pulih sendiri kebiasaannya. Tetapi pandangan aku meleset sesampai di tempat kerja aku amat sukar berjalan, setiap langkah aku megerang kesakitan sehingga aku terpaksa memegang bahu seorang sahabat untuk masuk ke pejabat. Hampir setiap orang yang aku temui bertanyakan sesuatu, "What's happened to you?". Jenuh juga menjawab satu persatu. Ada yang berseloroh, 'There's why too much silat.' Ada di kalangan mereka yang sudah tahu aktiviti silatku.

Pagi itu aku cuba membuat kerja yang sepatutnya aku bereskan 'set up a new package for auto vision inspection machine'. Persiapan satu produk baru untuk diperiksa dengan satu mesin. Memang sebagai seorang jurutera mesin kerja-kerja aku kadang-kala sangat rumit dan mencabar. Sakit pinggang aku masih terasa dan beberapa teman sekerja menasihatiku supaya berjumpa doktor dan ambil 'MC' untuk berihat di rumah. Aku akur dan raikan nasihat mereka.

Setelah MC aku perolehi aku terus pulang ke rumah. Ini cuma amaran mula, fikirku di dalam hati. Risau juga. Takut jika Allah SWT uji lebih dari itu. Ayahku pernah di serang 'angin ahmar' akibat tekanan darah tinggi, terlantar selama dua tahun setengah dan akhirnya kembali ke 'rahmatullah' Abang aku pada 2 bulan sudah juga dikatakan tidak dapat bercakap dan mengerakan sebahagian badannya akibat kandungan gula dalam darah terlalu rendah. Masuk wad tiga hari. Aku harap aku dapat memperbaiki tahap kesihatanku ini. Setiap aktiviti yang dijalankan mempunyai objektif yang harus dicapaikan bukan sekadar untuk berihat atau bersantai.

Kita ini kadang-kadang merasa mahu sahaja berihat dan tidak mahu mengambil pusing. Tapi perlu diingatkan takut kalau-kalau Allah SWT rihatkan kita sebelum waktu rihat yang sebenarnya. DitimpakanNya penyakit atau sesuatu ujian itu sehingga hanya terlantar di atas katil sahaja. Sehingga meniti hari kematian sahaja. Ini diistihahkan sebagai "rihat sebelum waktunya". Rihat yang sebenarnya ialah di alam barzakh (kubur) itu pun jika amal kita baik. Jika amalan kita sebaliknya ianya merupakan tempat siksaan yang menggerunkan.

Mahu tidak mahu sebagai seorang daie (pendakwah) tiada istilah rihat. Banyak kerja, sedikit ruang masa dan tenaga semakin berkurangan membuat kita tidak boleh berihat lagi.

Ya Allah jadikan akhir hayat aku agar tidak menyusahkan orang lain. Ameen

Thursday, July 15, 2010

Mari kembali.

Sayu juga hati ini memikirkan dugaan yang kau lalui wahai sahabatku.
Pasrah meniti kisah silam
Kekadang cerah kekadang kelam
Bersama mu berusrah bermukhaiyam
Terasa gundah igauan mu semalam

Kan aku terusan cuba istiqamah
Walaupun kau memilih mahu duduk di rumah
Doaku pada mu kembalilah kepada jamaah
Segera bertindak agar jihad mu tidak lemah

Sepatutnya kau berada di celah barisan kami di atas ini sedari dahulu lagi.

Maaf aku hanya mampu mendengar

Sesekali cuba nasihat agar kau sedar
Tangan kau sahaja yang mampu menukar
Gaya hidup mu supaya tidak lagi sukar

Masih terasa keseorangan walaupun ada ramai kawan di sekeliling ku ini.

Tidak terlambat aku katakan
Kembali kita ke pangkal jalan
Jenama jamaah pilihan bukan
Berdakwa beramal buatkan bekalan

Monday, July 5, 2010

Jangan jadi ‘Kera Sumbang’

Kombinasi yang seragam dan kerjasama mantap memberi hasil yang terbaik.

Hanya dengan kombinasi yang seragam di sudut teknik dan masa memberi kayuhan yang terbaik. Ini akan menghasilkan tenaga yang optima bagi mendorongkan kepada kejayaan yang dihajati. Itulah apa yang boleh kita perkatakan di dalam sukan berkayak yang melibatkan beberapa peserta dalam satu pasukan. Perlu ada kerjasama berpasukan.

Itulah realiti dalam hidup ini tidak kira secara unit kecil mahupun organisasi yang besar. Kombinasi yang seragam dengan saling berkasih-sayang, teknik berkomunikasi yang baik dan memberi perhatian dan masa merupakan aspek penting dalam keharmonian hidup.
Persahabatan yang diperkuatkan dengan jalinan ukhuwah mempunyai kemanisan yang luar biasa.
Jangan menjadi ‘kera sumbang’ dengan mementingkan diri sendiri sahaja. Tidak boleh ditegur dan tidak suka orang lain mendapat kelebihan. Dengan menganggap yang lain tidak betul padahal diri sendiri tidak pula setara mana. Mereka ini selayaknya tinggal di hutan atau di gua-gua sahaja jika dituruti kehendak hati ini.

Namun sebagai seorang dai’ (pendakwah) yang mahu merubah masyarakat, mereka yang dalam golongan ‘kera sumbang’ ini perlu diberi sedikit perhatian. Agar ‘kesumbangan kekeraan’ yang sedemikian boleh kita cuba ubati dan mudah-mudahan boleh berubah dan menyertai kembali kelompok masyarakat yang harmoni itu. Berubahlah walaupun kadarnya hanya sedikit. Mungkin ini satu usaha yang rumit dan memerlukan masa yang agak panjang. Namun telah menjadi tugas kita untuk saling nasihat-menasihati.
Berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing tidak kita anak-beranak atau orang lain.

Budaya ziarah, bertanya khabar, memberi sesuatu samada kebendaan atau khidmat pertolongan adalah diantara ramuan baik untuk dibudayakan. Berlapang dadalah, jangan dikira, bangsa atau warna kulit. Semuanya berhak untuk disantuni dan menyantuni. Berhak disayangi dan menyayangi. InsyaAllah aman dan tenteram kehidupan ini.

‘Syurga itu amat luas dan boleh dikongsi bersama.’ Mengapa kita berhajat untuk menghuninya secara keseorangan.

Thursday, July 1, 2010

MISI KE GAZA diantara kesanggupan atau cakap kosong.

Apabila mendapat berita daripada Dr Hafidzi Mohd Noor seorang Ahli Lembaga Aqsa Syarif dan juga Pengarah PACE yang berbunyi, “Assalamualaikum, Ir Dr Selamat Aliman - Felo Kanan PACE dan ahli Lembaga Aqsa Syarif Bhd terpilih untuk menyertai sukarelawan Lifeline 4 Gaza dan akan berangkat ke Istanbul pada 19 hb Mei ini. Dr Selamat mewakili rakyat Malaysia akan membawa panji-panji JIM/PACE/IKRAM (tak rasmi) dan Aqsa Syarif. Kita mengiringi pemergian Dr Selamat dalam misi yang amat penting ini dengan iringan doa.

Semoga kita semua yang berada di belakang usaha ini turut memperoleh pahala jihad untuk pembebasan Al-Quds sebagaimana yang diperolehi oleh Dr Selamat nanti insyaAllah. "
Sahabat-sahabatku yang peka bersama dalam perhimpunan di hadapan Majid Kapitan Keling. Dari kiri ialah insan marhaen, Hj Atan, Hj Taufek dan aku.

Lantas sahabat kita Hj Atan cuba bertanyakan kepada anakanda-anakanda beliau. “Katakanlah ayah yang terpilih untuk misi bantuan ini, apa kata anak-anak ayah, harap beri komentar.”

Dijawab oleh Ainul Mardhiah anakanda yang kedua. “Tidak mudah untuk kita sanggup terima seruan jihad sebegini. Tetapi jihad inilah yang kita tunggu-tunggu dan harapkan selama ini. Kalau ayah dapat alhamdulillah. Anak, isteri dan harta akan ditinggalkan. Hanya syahid yang akan menyelamatkan kita di akhirat nanti.

Kami akan bersyukur dan bangga di akhirat kelak kerana punya ayah yang sanggup berjihad demi Islam. Kalau ayah dapat jangan fikir lama-lama. Inilah jalan yang akan menjamin Syurga untuk kita. Walaupun sakit tetapi manis akhirya. “

Mungkin jika anak kita ini jawapan mereka. “Ayah tak payah pergilah, siapa yang nak tengok kami dan ummi jika sesuatu terjadi dengan ayah. Lagi pun ayah bukan sihat sangat. Ini juga bukan perang kita, negara Arab yang lain pun kurang ambil peduli.” Diantara semangat, kesanggupan dan realiti hidup. Diantara mahu bersusah-payah atau penerusan hidup dalam zon keselesaan yang sedia ada. Mengapa Rasulullah pernah bersabda sebegini;

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa mati, sedang ia tidak pernah berjihad dan tidak mempunyai keinginan untuk jihad, ia mati dalam satu cabang kemunafikan." Muttafaq Alaihi.
Baru-baru ini ramai dikalangan NGO Islam berkumpul di hadapan MAsjid Kapitan Keling selepas solat Jumaat melahirkan sokongan kepada Misi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza.

Islam mengutamakan keharmonian, kasih-sayang dan kesatuan tetapi jika ini dicabuli dan peri kemanusiaan langsung tidak dihormati maka tidak ada jalan lain selain berjihad. Proses rundingan telah porak-peranda kerana saban hari rakyat Palestin terus-terusan diinayai tanpa pembelaan yang sewajarnya.

Mari kita mengorak langkah semampu boleh; berdoa, menderma, berkempen, berdemo dan memboikot barangan Rejim Zionis dan Amerika Syarikat yang merupakan sekutunya.

Jangan pula kita mati dalam kemunafikan yang nyata.