Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Tuesday, April 10, 2012

Penyambung Pejuangan Dakwah


Anak-anakku,



Hidup ini tidak boleh lama bertahan, bak dedaun yang pada mulanya segar yang pada akhirnya kian gugur menyembah dan bertemu bumi. Samada dipugut dan dibuang orang atau terus-terusan di situ sehingga menjadi baja yang bersemadi dengan tanah.


Begitu juga dengan diri abah ini, akan tiba masa abah akan dijemput kembali ke Rahmatullah. Tinggallah kamu semua bersama emak dan adik-beradik kamu. Mungkin akan bersedih buat seketika mungkin lama-kelamaan akan menjadi kebiasaan tanpa abah di sisi kamu lagi.




Kamu akan terlupa yang satu ketika dahulu abah pernah menghisap hingusmu ketika selsema dan tidak boleh bernafas. Kamu akan lupa pada setiap ketika abah menghantar kamu ke sekolah dan ke sana-sini ketika tidak selamat bergerak. Kamu akan lupa yang abah pada ketika itu sangat-sangat menyayangi kamu semua.


Kini kamu sudah besar panjang. Ada yang sudah mempunyai kereta yang abah dahulukan wang pendahuluan. Ada yang sudah bergaji tetap walaupun cukup makan. Ada yang telah ada gaya hidup sendiri. Kawan-kawan sendiri.



Abah hendak berpesan walaupun sesekali pecakapan kamu menyinggong hati abah tetapi jangan kamu berlebih-kurang dengan emakmu. Hormatilah dia, hormatilah dia dan hormatilah dia kemudian baru hormati abah pula. Di akhir hayat kami jangan diguris hati kami ini yang sebenarnya banyak bekas-bekas terluka kerana telah lama di dalam penghidupan ini. Mungkin bukan bekas luka daripada kelakuan kalian.


Mungkin kamu semua akan memarahi abah kerana cuma sedikit masa abah mampu luangkan bersama kamu. Banyak masa terpaksa diperuntukan kepada aktiviti jamaah dan silat. Lagi berumur lagi besar jawatan yang mereka syurakan abah pikul. Tetapi abah yakin janji Allah SWT, "Jika kita tolong agama Allah, Allah akan tolong kita pada sesuatu yang tidak kita sangka-sangka."


Abah sungguh bersyukur yang Allah SWT memilih abah berada di dalam landasan ini. Jika tidak mungkin abah ... entahlah abah pun tidak tahu. Syukur juga yang emak kalian juga memikul aspirasi yang sama dengan abah. Di mana abah pergi pasti emak akan bersama abah. Cuma kamu anak-anak abah, cubalah menjadi penyambung kepada perjuangan kami ini. Carilah kepakaran yang kamu ada dan sumbangkannya untuk dakwah dan kebajikan semua.


Jika abah atau emak atau kami kedua-dua sudah tiada jangan sesekali kamu lupa sedekahkan Al Fatihah kepada kami bagaimana kita buka dan tutup adat gelanggang semasa latihan Gayong kita.