Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Tuesday, January 20, 2009

Mengapa Tidaknya Kita?

"Abang tolong setkan alarm handphone awal sikit Ida nak goreng mee pagi esok untuk PATT", kata isteriku sambil menarik selimut yang berwarna biru hingga ke paras dadanya pada malam itu. Rugilah aku kerana perlu pergi ke Bengkel Penulisan Kreatif di USM Sri Ampangan, Nibong Tebal pada awal pagi Ahad itu juga. Namun memang kehendak aku ingin benar menghadiri bengkel ini untuk menimba sedikit sebanyak ilmu mengenai penulisan ini. Ingin juga aku tahu bagaimana mereka yang mampu menulis dengan begitu hebat.

Masih segar diingatan semasa aku berumur 12 tahun telah terpilih bagi mewakili sekolah ke pertandingan menulis karangan peringkat negeri Pulau Pinang. Wah! Aku telah berjaya mendapat tempat ketiga. Itu pun aku dipilih sebab murid yang mendapat markah tertinggi dalam sekolah kami tidak dapat hadir ke pertandingan itu. “Tempat ketiga peringkat sekolah rendah satu Pulau Pinang.”

Kami, ahli, keluarga dan rakan Jamaah Islah Malaysia (JIM) di daerah Seberang Perai Tengah ini biasalah kalau hari Ahad lazimnya akan ke Mengkuang Dam untuk suatu program mingguan keluarga yang dipanggil PATT yang memberi maksud Pagi Ahad Tidak Tidur. Ini satu peluang untuk bersama sambil beriadah dapat juga berbincang beberapa perkara mengenai keluarga, kerjaya dan juga dakwah. PATT ini yang paling menarik ialah masing-masing akan membawa juadah samada dimasak sendiri mahupun dibeli dari tempat tertentu. Jadi makan ini menjadi agenda tradisi yang sungguh meriah. Agenda ini juga telah digelar "senaman perut".

"Ida pi dengan Cik Mat, abang tak sempat nak hantar". Sebaik sahaja aku keluar dari bilik air, aku menyapa isteriku yang sibuk sejak 5.30 pagi lagi di dapur. Kami pun bergegas membuat persediaan masing-masing. Aku merasakan aku tiba paling awal tetapi bila melihat bilik kuliah telah siap teratur tentu Dr Roslan sebagai tuan rumah dan Inayah sebagai penganjur telah tiba lebih awal lagi.

Aku merasa sungguh teruja bila dapat menyiapkan beberapa tugasan-tugasan dengan agak baik juga. Empat gaya atau tajuk penulisan sempat kami karyakan. Pertama "Larian Mata Pena" telah memaksa kami menulis secara bebas tanpa boleh mengangkat pena kami’ dengan beberapa tajuk yang diberi pilihan.


Keduanya "Bermain Kata-kata", menulis secara kreatif sesuatu perkara itu untuk mereka yang tidak pernah megambarkan atau melihat perkara itu. Terpaksalah kami menulis dari sudut atau dimensi yang banyak menghurai. Di sebelah petang kami diminta keluar dari bilik kuliah, tugasan "Kembara Bisu" telah mengajar kami melihat di luar beberapa ragam manusia di destinasi-destinasi tertentu. Belajar membuat catatan, belajar membuat sinopsis, belajar menulis episod. Menyampaikan karya dan bersedia untuk dikomen.

Paling syahdu ialah menyampaikan hasil karya kami yang keempat dalam tugasan "Cerita Tidak Bertuan". Menghidangkan satu kisah sebenar pengalaman hidup di masa silam dengan mengimbau seseorang yang amat terkesan di dalam sanubari kita. Ramai telah menyampai karya mereka dengan begitu "sentimental" sekali malah saya yakin ada yang menangis jauh di dalam hati mereka. Kata pensyarah kami Prof Madya Dr Umi Kalthum Ngah yang sebenarnya dari Fakulti Kejuruteraan Letrik USM, “Kalaulah di tempat lain sudah berbakul-bakul air mata yang mengalir.” Kalaulah tidak aku ini dikenali sebagai guru silat, sudah barang tentu akan aku layani perasaan sebak dan syahdu itu sehingga tercapai “makam kepuasan”. Makam ini pernah aku nikmati semasa bersama sahabat Division Rajawali sembilan tahun yang sudah, dalam misi “Mengapai Awan Di Puncak Tahan” semasa kami sungguh asyik berqiamulai pada suatu awal pagi di tepian sebuah sungai di kaki Gunung Tahan.

Di dalam bengkel ini kami juga telah diminta memberi pandangan kepada 5 cebisan atau potongan karya mereka yang telah menghasilkan novel yang dianggap sungguh baik dalam dunia penulisan. Rupa-rupanya bukan semua penulis-penulis yang hebat itu datang dari bidang penulisan. Ramai di kalangan mereka mempunyai kerjaya lain tetapi mampu hebat menghasilkan penulisan. Cuma bakat dalaman perlu dicungkil, ide yang kreatif dan berdisiplin dalam penulisan.

Jadi kenapa tidaknya kita?

No comments: