Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Friday, December 12, 2008

Aku mungkin tidak akan ada di sisi mu nanti.

Anak-anak mudah dibawa arus kehidupan. Kita sebagai orang tua harus sentiasa mengawasi agar mereka tidak akan hanyut . Luangkan masa yang sesuai untuk mereka.
Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Semoga dicucuri rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan di alam ini.

Anakku! Carilah beberapa wadah yang membina modal insan. Pelihara dan sayangi apa yang kamu ada. Imbangi yang hak kepada yang berhak dan ketahuilah tiada cuti bagi seorang pejuang.
Inilah Sungai Batang Padang yang pernah aku minum airnya entah berapa baldi semasa aku dibesarkan di Kampong Lubuk Katak, Tapah, Perak.
Anakku! Ada mereka yang tiada negara ada mereka yang menumpang di negeri sendiri maka pertahan tanah airmu sendiri. Anakku jangan yang diburu tak dapat yang dikendung berciciran. Jauhi fitnah kerana ianya akan merosakan kamu. Carilah rakan dan teman yang boleh dijadikan cermin diri. Jika kau memilih tukang besi sebagai kawan maka kau akan selalu merasakan bahang kepanasan dapurnya bila dia kau dekati. Tetapi jika kau memilih bersahabat dengan si penjual minyak wangi, kau akan sentiasa menghidu wanginya walaupun kau tidak memakai minyak wangi itu.

Anakku! Bersilaturrahimlah, imbangi yang hak kepada yang berhak. Dirimu ada haknya, keluargamu ada haknya. Ayah dan ibu pun ada haknya. Jiran, masyarakat, negara dan agama ada haknya. Tunaikan ia sebaik mungkin. Ingat anakku jangan kau leka dan asyik lena daripada menunaikan hak-hak ini. Kau mungkin masih muda dan mahu bersiar-siar dan berseronok. Jawab ayah boleh tetapi ada hadnya anakku. Habiskan masa-masamu dengan memberi sedikit ruang untuk dirimu bermunajat kepada Allah SWT. Jangan dikau habiskan dengan sembang-sembang kosong di tepi-tepi jalan. Rihatlah dengan cukup dan tidurlah bilamana semua orang tidur kerana tenagamu amat tinggi harganya untuk diguna pakai pada keesokan hari.

Anakku! Jaga auratmu kerana ayah tidak berupaya berada di sisimu setiap masa dan setiap tempat. Jagalah maruah ayah dan ibu. Senangkan hati kami dan jadikanlah diri kamu anak yang baik. Tidak memeningkan kepala ayah ibu. Tidak menyusahkan ayah ibu dan sentiasa menghormati kami berdua. Rumah kita dan kereta yang ayah beli mungkin menjadi milikmu satu hari nanti kerana ayah tidak akan mampu membawanya ke dalam kubur ayah kelak. Kemungkinan wang simpanan KWSP ayah pun tidak tahu sama ada ayah sempat menggunakannya untuk pergi ke Tanah Suci atau membayar kembali pinjaman peribadi ayah kepada bank.
Along nama penuhnya Mohd Saiful Nizam Bin Rusli, menjadi harapan aku untuk meneruskan perjuangan yang mungkin tidak aku kesampaian.
Anakku selalulah berdoa. Berdoalah agar Allah SWT sentiasa melindungi mu. Pintalah semoga dikekalkan hati mu sentiasa di jalan yang benar. Pintalah semoga diterangkan hati mu dengan cahaya rabbani yang tidak kunjung malap. Pintalah agar dilapangkan hati mu dengan Nur Iman, keyakinan dan keteguhan tawakkal. Pintalah dalam doamu itu kehidupan seorang pejuang dan kematian mu sebagai syuhada dalam memperjuangkan agama Mu.

Anakku! Dengarlah betul-betul dan fikir-fikirkan. Ini adalah kerana ayah mu tidak akan sentiasa di sisi mu nanti.

3 comments:

insan marhaen said...

Nasihat yang baik dan memberi kesan di hati yang membaca . Penulisan yang terbaik bagi saya selama mengikuti bog ini...

Ariff Budiman said...

satu tazkirah yang baik. Tersentuh bila membacanya.

Anonymous said...

Salam tuan asal lubuk katak ye? Tempat mnarik dn suasana kg yg damai.. sy pusing2 mencari secebis tanah di kawasan ini untuk d buat kebun smentara mnunggu hr tua.. namun agak sukar krana kbanyakan waris semuanya bkerja luar drp perak.. skiranya tuan blh membantu, adlh ssuatu yg brmakna bg sy.. trima ksh tuan.