Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Tuesday, February 24, 2009

Malang jangan ditempah, musuh jangan dicari.

"Adik" minatnya di dalam Seni Silat amat mendalam. Pernah menjadi Johan Tari Solo dan Tempur Puteri Sek-sek Men Pulau Pinang tahun 2008.

Aku ditegur guruku kerana menggunakan bengkong (tali pinggang silat) aku untuk dijadikan tali buaian anakku. Mana tidaknya, aku sering bawa dia ke gelanggang silat semasa aku mengajar di sekitar Pulau Pinang dan Kedah. Pada masa itu mereka (anak-anakku ini) masih kecil lagi. Boleh dikatakan dia membesar di dalam kereta. Sewaktu kecil mukanya macam orang Jepun, mungkin kerana semasa emaknya mengandungkan dia, aku berada di Negara Matahari Naik, Jepun. Untung, aku sudah lima kali ke Jepun dibiayai oleh syarikat tempat kerja aku. Dia senang bila ramai yang memanggilnya "Anak Jepun".

Lahir pada 8 Jun 1991. "Adik" gelarannya dalam keluarga. Perwatakan sewaktu kecilnya amat manja sekali mungkin pada ketika itu dia merupakan anak ketiga dan yang bongsu. Tetapi dia mula berubah apabila muncul kehadiran adiknya Muhammad Sobri.. Dia mudah merajuk dan suka memencil diri seolah-olah merasa kasih-sayang kami ibu bapanya telah berpindah kepada adiknya.

Sekarang dia sedang menunggu keputusan SPM dan dia amat bercita-cita untuk mewakili Kedah ke SUKMA 2010, Pemilihannya ialah pada 7 Mac 2009 ini di Gurun Kedah. Kenapa Kedah? Kisah ini amat panjang untuk dihuraikan kerana melibatkan berdarahnya kembali parut-parut mentah.

Hampir keseluruhan medal dan hadiah ini adalah daripada titik peluhnya. Jika boleh dijual mungkin kayelah kite.

Walaupun dalam usia muda dia telah berjaya menjadi jurulatih dan di dalam Silat Gayong Pusaka dia memiliki bengkong kuning. Bengkong yang kedua tinggi didalam persilatan Gayong sesudah bengkong hitam. Dia juga telah disandangkan dengan "Sandang Sri Kandi". Pernah menjadi Johan Tari Solo Puteri Peringkat Sekolah Rendah Negeri Pulau Pinang. Pada tahun 2008 menjadi Johan Tari Solo Puteri dan Tempur Puteri dalam. Pertandingan Silat Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Pengalaman silatnya telah membentuk wataknya menjadi seorang yang hanya mahu terbaik di dalam semua bidang. Dia juga cemerlang di bidang hoki dan pernah mewaliki Pulau Pinang di dalam pertandingan peringkat sekolah, daerah mahupun kebangsaan. Semoga anak aku ini akan maju dalam bidang sukan dan akademiknya. Itulah harapan kami ibu bapanya.

Pernah beberapa insiden dia menggunakan kemahiran silatnya untuk menghadapi keadaan gawat atau kecemasan. Alhamdulillah, pada suatu ketika, dia berhadapan dengan dua orang lelaki dewasa yang cuba merampas kunci motosikalnya. Dengan pantas dia menangkap dan memulas tangan lelaki itu. Pendekkan cerita mujurlah semuanya selamat.

Semoga anak-anak aku dilindungi sentiasa. Gunakan segala ilmu persilatan kalian untuk membela diri, keluarga dan masyarakat dengan sebaiknya. Walaupun kemahiran silatmu tidak akan menjamin seratus peratus keselamatanmu, namun aku yakin Allah akan selalu melindungi kita semua. Yakin, usaha dan tawakal, itu yang mampu kita laksanakan. Sediakan payung sebelum hujan. Teruskan mendalami seni mempertahankan diri kalian. Malang jangan ditempah, musuh jangan dicari dan bersamalah kita menjaga diri.

4 comments:

Anonymous said...

Bagus juga dapat berkenalan dengan keluarga unik ini. Seronok dapat membaca kisah-kisah benar ini.

Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman penghidupan.

Anonymous said...

Musuh jangan diminta tetapi bila terdesak rasanya jangan dibiarkan saja. Gunakanlah apa yang dipelajari jika tidak sia-sia ilmu yang dituntut selama ini. Islam mengajar penganutnya mempertahanan agama, negara, harta, nyawa dan maruah. Pantang pendekar dicabar. Berpantang ajal sebelum maut itu pesanan Pak Guru Pak Dak Majid.

Anonymous said...

Pernah aku berkata pd Cikgu Rusli..Syuhada ni kalau dia minat sukan elok dorong dia kpd sukan yg boleh menjamin masa depan dia..macam main bowling ka..badminton..masudnya silat on tapi bagi kerjaya dia elok pilih yg disebut tu.

Saya cuba bayangkan Syuhada akan menjadi idola kpd remaja masa kini..macam Mawi..baik.solehah..jaga adab sebagai wanita islam..macam pelari wanita drp mana tah?..tempoh hari tersiar dlm media..siap dgn pakai tudung tapi masih mampu jadi johan..bak kata tudung bukan penghalang.

Bayangkan kalau dlm acara yg jarang sekali wanita islam memakai tudung tiba-tiba ada anak gadis KITA yg menjadi juara..berdiri diatas podium..pastu bila pemberita nak interwiew si juara ni kena tunggu kejap pasal sedang solat sunat dhuha ka atau apa-apa solat ka..hisssh bayangkan..

Kembang kempis hidung ni..bangga dan bersyukur kalau impian ini menjadi kenyataan..

eh..lebih-lebih pulak aku ni

Anak ikhwah anak kita

deqnor said...

pingat tu setengah deqnor yg pnya..bkn suada sorg je... =P