Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Friday, September 18, 2009

Kejaran Mencari Taqwa

Laksana yang wajib tambahkan dengan sunat, itu diantara amalan mereka yang bertaqwa. Sentiasa takut dengan azab Allah dan siksa Api Neraka. Berhati-hati di dalam penghidupan ini.
Agama Islam merupakan satu agama yang lengkap lagi komprehensif. Ia mempunyai tiga sistem yang mantap, iaitu, sistem kepercayaan (berdasarkan rukun-rukun Iman), sistem amalan (berdasarkan rukun-rukun Islam), dan sistem kualiti (berdasarkan konsep Ihsan).


Puasa di bulan Ramadan merupakan rukun Islam yang ketiga. Kewajipan ini adalah berdasarkan perintah Allah yang terdapat dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, “Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelummu semoga kamu bertakwa.” Ayat ini menjelaskan tentang tujuan umat Islam berpuasa. Ia bukannya untuk menguruskan badan, bukan juga untuk mengurangkan paras gula, kolesterol keji serta lemak dalam badan, sebaliknya tujuan utamanya ialah membina ketakwaan kepada Allah. Puasa di bulan Ramadan boleh dianggap sebagai satu ‘karnival kerohanian’ yang mampu membina ‘empayar hati’ yang hebat dipimpin oleh takwa. Takwa merupakan kekuatan dalaman yang hebat lagi unik. Ledakannya mampu mengukir sejarah baru di dunia. Apakah maksud takwa? Sahabat Omar al-Khattab pernah bertanya kepada sahabat Ubai bin Kaab tentang maksud takwa. Ubai berkata, ‘Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?’ Jawab Omar, ‘Ya, pernah.’ Ubai bertanya lagi, ‘Apa yang kamu lakukan ketika itu?’ Omar berkata, ‘Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh (syammartu wajtahadtu).’ Berkata Ubai, ‘Itulah takwa.’ Dari jawapan Ubai bin Kaab ini dapatlah difahami bahawa takwa bermaksud berhati-hati dalam hidup agar tidak melakukan sesuatu yang haram serta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap amal ibadah yang dituntut. Dialog ini diriwayatkan Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim.
Semasa ziarah di Aidil Fitri mari bersama kita berdoa agar perjalanan JIM sentiasa diberkati Allah, ahli dan AJKnya terus beristiqamah dalam perjuangan yang kecil ini.

Tidak kesemua mereka yang beriman bertakwa kepada Allah. Justeru, dalam surah Ali Imran ayat 102-103, Allah mengarahkan mereka yang beriman agar bertakwa melalui firmannya yang bermaksud, “Wahai mereka yang beriman bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai..” Sahabat Abdullah ibn Masud mentafsirkan ‘sebenar-benar takwa’ sebagai melaksanakan taat jangan bermaksiat, sentiasa mengingatinya jangan alpa dan sentiasa bersyukur jangan kufur. Maksudnya, apabila kita masuki Syawal, kita kembali bergelumang melakukan maksiat dan dosa, ia adalah pertanda bahawa kita tidak memperoleh apa-apa pun daripada puasa Ramadan kita kecuali lapar dan dahaga.


Kubur tempat bersemadi jasad. Manakala roh kita akan di tempatkan di Alam Barzah, suatu tempat persinggahan yang pasti yang menghubungkan Alam Dunia dengan Alam Ahkirat. Ziarahilah kubur-kubur mereka yang telah mendahuli kita pasti kita akan lebih insaf.

Kemuncak kepada takwa ialah berhati-hati terhadap perkara yang harus kerana kadangkala apabila seseorang tenggelam dalam kelazatan yang diharuskan, dia lupa daratan. Ketika itu berkemungkinan dia akan terjebak dalam kemaksiatan. Sebagai contoh, jika seseorang bercakap terlalu banyak walaupun tentang perkara yang harus, dikhuatiri akhirnya dia mengatakan sesuatu yang haram seperti mengumpat. Demikian juga jika seseorang asyik berbelanja walaupun pada perkara yang harus, dia akhirnya akan mengabaikan hak mereka yang memerlukan. Berhubung dengan ini Nabi bersabda, ‘Seseorang tidak akan sampai ke makam takwa sehingga dia meninggalkan sesuatu yang harus kerana ingin menjaga dirinya dari sesuatu yang dilarang.’ Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Ibn Majah dan mengikut Tirmizi, hadis ini bertaraf hasan gharib. Begitulah kekuatan takwa dan itulah yang kita kejar di musim Ramadan ini. Semoga Allah membantu kita.

Nukilan : Dr Danial Hj Zainal Abidin
Mantan YDP PP & Pakar Motivasi

1 comment:

maiyah said...

salam lebaran.. moga kita dan sy khususnya berada dilandasan yg betul dan bertaqwa.. Amin :)