Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Saturday, February 28, 2009

Tempahan Tiket ke Syurga

Ada yang nanti menyeberangi titian "Sirat Mustaqim" sangat pantas untuk sampai ke Syurga.

Tiada kata yang aku mampu ucapkan mengenang sahabatku ini yang sering diduga Allah SWT dalam perjalanan kehidupannya. Mula berjumpa dengannya di tempat kerja, beliau mempunyai minat dan pendirian yang sama denganku. Kami sama-sama berkongsi aktiviti yang sama, membuat kerja-kerja dakwah sambil belajar bergerak secara berorganisasi. Minat masa lapang pun sama "hobby" dalam bahasa “orang putih”. Menyewa rumah pun berdekatan sehingga membeli rumah di taman yang sama. Pernah rakan-rakan lain memberi jolokan kami ini macam saudara kembar.
Sungguh indah bila bersahabat saling hormat-menghormati dan membuat suasana kita selalu ceria.

Masa berlalu begitu pantas sekali sudah dua puluh tahun lebih kami masih bersama, bersahabat dan melakukan aktiviti yang tidak banyak berubah. Tetapi aku tahu sesekali sahabatku ini ada ketikanya terkesan dengan arus penghidupan yang tidak selalu menjanjikan keriangan semata-mata. Aku pada mulanya sungguh tidak memahami perubahan yang berlaku lantaran mungkin aku sendiri sibuk atau tidak berani campur tangan dalam urusan-urusan yang aku anggap terlalu sulit lagi peribadi. Namun hati kecil sentiasa menronta-ronta ingin membantu.

Tiada batasan untuk bersahabat walau berlainan negeri. Jauh cuma jarak tempatnya tetapi di hati tetap dekat.

Aku perhatikan masalah demi masalah yang beliau hadapi dan ada kalanya amat getir sehingga raut wajahnya agak suram dan tidak bermaya sekali. Itu mungkin tidak mampu beliau selindungi lagi. Rakan-rakan lain memang ramai tetapi kebanyakan mereka berpendapat dan berpendirian mungkin dia sendiri belum lagi bersedia berkongsikan masalah dengan orang lain. Aku pun pernah berfikiran sebegitu juga pada ketika itu. Maaf daripadaku kerana tidak banyak membantu.
Kadang-kala bersahabat sesama dearah atau negeri dikatakan "ashobiah". Keakuan atau kedaerahan yang melampau. Salahkah dengan berpendirian begitu?

Sekarang dia diduga lagi dan kali ini amat mencabar sekali. Dua pukulan besar sekali gus. Suasana bertambah rumit kerana tidak ramai yang memahaminya walaupun ada juga cubaan-cubaan daripada dia untuk mula bercerita. Namun aku amat faham berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya. Tetapi aku yakin dia sudah mengerti bahawa ramai di kalangan ambiaya' yang telah diduga Allah untuk memberi iktibar dan menguji keimanan mereka. Bersabarlah dan tetapkan pendirian. Carilah penyokong-penyokong agar boleh memberi suntikan motivasi dalam perjalanan penghidupan ini. Aku sanggup menjadi salah seorang diantaranya.

Persahabatan tidak terbatas sesama lelaki malah perempuan juga boleh dijadikan sahabat cuma ada batas-batas yang mengatur keharmoniannya.

Teruskan berusaha dan berdoa. Aku tidak pernah lupa mendoakannya sentiasa agar Allah SWT mengurniakan yang terbaik dalam penghidupannya. Yakinlah samada ianya satu kifarah kepada dosa-dosa kita yang lalu atau peningkatan derajat yang akan memperolehi satu cahaya baru di penghujungnya nanti. Semua kita sama dengan masalah dan dugaan tersendiri. Hanya mereka yang benar-benar bertakwa mampu bertahan dan melaluinya.

Semoga ianya merupakan tempahan tiket untuknya ke Syurga.

3 comments:

Anonymous said...

Laut tidak selalunya tenang. Pantai walaupun selalu di hempas ombak namun ia tetap setia. Tiada laut tiadalah pantai...

hrusli61 said...

Laut dan pantai ibarat sahabat setia yang selalu bermain bersama walaupun apa keadaannya.

Ada kalanya dalam usapan penuh kelembuatan laksana anak di dalam dakapan ibu dan ada kalanya menghempas penuh keganasan bak pendekar yang sedang bertempur di dalam medan perang.

Namun kedua-duanya akur bahawa mereka tidak boleh dipisah kerana itulah ketentuan Illahi.

Anonymous said...

Biar pantai ataupun laut; memencak atau dipencak; merekalah penghibur alam.

Tanpa mereka alam akan sunyi...