Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Sunday, November 16, 2008

Kehadirannya tidak dihargai ketiadaanya diratapi.

Setelah usia semakin merangkak senja perasaan sayu semakin mudah merobek jiwa. Mana tidaknya kerana dia sering diherdik dan dipersalahkan oleh insan yang pernah dia sayangi, dia belai dan dia tatangnya. Diherdik bukan kerana kesalahannya tetapi kerana mereka sudah dewasa dan punyai kesayangan mereka sendiri. Kalau dengan teman lain di luar sana bukan main lembut dan manis bersuara bergurau-senda tetapi apabila di rumah lain sekali rentak nadanya. Ini satu fenomena kehidupan yang sememangnya tiada boleh dinafikan lagi dewasa ini.

Lihatlah timbunan batu-batu nisan ini yang dihakis masa dan cuaca. Tiada ketahui si empunya. Tiada yang ketahui lokasi asalnya untuk dicacakan semula. Mungkinkah warisnya tiada menziarahi. Mungkinkah ianya telah dilupai.

Susah payah masa mengandung sembilan bulan sepuluh hari sungguh perit jika dikenang. Setiap pagi sering pening kepala dan meloya. Tambahan dengan tidak berselera makan bukan dibuat-buat. Rasa mahu putus urat ini dan mahu pecah kerongkong setiap kali termuntah. Sakit belakang, sakit sendi, sakit gigi dan berbagai kesakitan dilalui. Saat yang paling getir ialah bersabung nyawa semasa melahirkan mereka. Mungkin mereka tidak tahu atau pura-pura tidak tahu walaupun mereka tahu.

Kasih sayang sepenuhnya dicurahkan sejak tapak kaki mereka itu sebesar dua jari. Tidak diizinkan nyamuk walau seekor pun mengigitnya. Disusukan mereka tidak kira siang atau malam, Dibelai dimanjakan dari kecil hingga besar. Sedih, sungguh sedih, balasan mereka sehingga sanggup memijak kepala. Mana tidaknya, kerap-kali bila diminta membantu di dapur tidak mahu. Bila suruh beli barang ke kedai jawabannya letih baru balik sekolah. Belum lagi kata-kata nista mereka. Mungkin mereka sudah besar. Tetapi bila kawan panggil melompat terus bangun. Kenapa jadi begitu?

Sering kita diperingatkan jaga dan berbuat baik kepada kedua ibubapa sementara mereka masih hidup. Bila mereka telah tiada baru kita merasa menyesal. Bukan lama mana sangat. Saki-baki hidup mereka kalau hendak dihitung mungkin tidak lama mana lagi. Tetapi ajal maut di tangan Tuhan siapa pergi dulu belum tentu. Takut mungkin semasa kita derhaka dan melukakan hati ibubapa, kita pula yang dipanggil Allah SWT dulu. Mana tahu? Jadi macam Si Tanggang. Macam Malim Kundang.

Jangan dengan kehadiran mereka tidak diingini kerana mereka suka membebel itu dan ini. Pakai baju begini tidak boleh. Keluar jumpa kawan tidak boleh. Balik malam tidak boleh. Minta duit lebih tidak boleh. Semua tidak boleh. Asyik tidak boleh. Fikirkanlah mungkin rasa lebih bagus mereka pergi cepat mengacau saja ! Begitukah yang kita mahu?

2 comments:

hentian said...

itu,
rumah kecil
bilik satu
tiangnya dua
tempat aku akan disandingkan
setelah bertunang sekian lama
dengan yang bernama
kematian....

hrusli61 said...

Itu kira beruntung jika ditakdirkan ada yang menyediakan rumah kecil itu.

Bagi yang mungkin tiada kerana sebab-sebab yang tidak dapat ditentukan.

Hanya doa yang kita pohon untuk membantu.