Alhamdulillah, selesai sudah sebulan berpuasa kini tiba berhari raya Aidil Fitri. Semoga Madrasah Ramadhan telah sedikit sebanyak mendidik kita supaya menjadi insan bertaqwa. Mudah-mudahan dirahmati di awal Ramadhan. Diampunkan dosa-dosa kecil atau besar di pertengahannya dan di akhir Ramadhan dijamin bebas dari api neraka di akhirat kelak.
Aidil Fitri semoga kita rayakan dengan masing-masing kembali kepada fitrah asal kita ini. Suci bersih laksana kain putih yang tanpa corak. Bersih dan suci hati, akhlak dan perbuatan kita. Mari kita hadapi hari-hari yang mendatang dengan lebih bertenaga, bersemangat dan bersama dalam tindakan yang mengikut lunas-lunas agama. Paling penting bagi kita yang mempunyai jamaah, sentiasa mengikut keputusan-keputusan yang jamaah telah syurakan dengan penuh ketaatan. Walaupun kadang-kala kita merasakan pendapat kita lebih baik. Tetapi percayalah keputusan jamaah mengatasi pendapat kita sendiri.
Pagi 1 Syawal, selepas solat sunat Aidil Fitri kami berkesempatan menziarahi beberapa rumah temasuk rumah Tok Imam, mengikut jemaah surau. “Baraanlah kut, macam akhi Zulkar9 nak buat dengan gang JIM SPT 18 Oktober 2008 nanti.” Semoga budaya ini dapat mempereratkan silaturahim bersama antara kita.
Saya sempat bersama keluarga pergi menziarahi pusara Abah pada pagi itu. Abah meninggal dunia pada 31 Mac 2000 setelah 2 tahun setengah tidak mampu gerakan sebahagian kanan badannya akibat ‘stroke’ sehari sebelum Hari Raya. Pusaranya agak semak-samun kerana lokasinya agak ke dalam dan di sebelah tepi kiri. Kami bersama emak, Yop abang sulungku, Kak Long isteri Yop, Along anakku dan anak bongsu Yop bersama membersihkan pusaka Abah.
Emak, Yop dan Kak Long kemudian membaca Surah Yaa Sin. Along bersihkan pusaka Atoknya manakala aku tercari-cari ranting pokok kayu segar untuk aku pacak di atas pusara abah. Pernah aku mendengar selagi pokok ini masih segar ia akan terus berzikir untuk kita. Mudah-mudahan roh Abah akan tenang di sana di bawah naungan kasih-sayang Allah SWT. Terima kasih Abah yang telah membesar dan mendidik kami lima beradik.
No comments:
Post a Comment