Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Thursday, August 26, 2010

Kekuatan dan jarak halatuju ku tidak sekufu lagi.


Nana, anak angkat adikku, keluargaku mengasuhnya sejak umurnya 3 tahun hingga 9 tahun. Tetapi kini ibu kandungnya telah mendapat perintah mahkamah dan mengambilnya kembali. Terlalu pilu hatiku ketika melepaskannya. Menangis meronta-ronta. Semoga Allah menlindunginya.

Kau terlalu mentah untuk mengetahui hakikat hidup ini. Sedari kecil lagi kau kami lindungi dengan jagaan yang baik. Segala kemahuanmu tiadalah yang tidak kami sempurnakan. Cuma cepat dengan lambatnya sahaja. Ke hulu dan ke hilir kau didukong, digendong kerana kita tidak punya bibik untuk ditinggalkan. Namun aku puas kerana kau membesar di hadapan mataku.

Hari-hari berlalu begitu pantas sekali. Kini kau merasa agak dewasa dan minta diberi kebebasan hidup. Ingin ke mana tidak perlu disoal. Minta maaf sajalah, kerana di dalam istilah hidupku mana ada kebebasan hidup. Jika bebas akan terbabas. Sedangkan jalan raya ada garisan dan ada pemisah jalan. Malah di lokasi bahaya ada penghadang, takut ada yang terlajak dan jatuh ke dalam gaung. Maut jawabnya.
Nah fakir-fikirkanlah sendiri, hidup berpegangkan agama, ada undang-undang dan ada peraturan dunia yang perlu dipatuhi. Di tempat kerja ada peraturan yang mesti diikuti maka di rumah pun ada peraturannya juga. Tidak boleh keluar dan masuk sesuka hati. Aku dan ibumu berkongsi dan bersusah payah membeli rumah ini dan bukan senang kami berusaha memperolehinya. Selepas ini gasaklah siapa yang akan mewarisi rumah ini kerana yang pasti aku dan ibumu akan ada rumah sendiri nun jauh di sudut taman ini. “Tanah Perkuburan Orang Islam” itulah nama taman yang akan kelian tempat kami berdua kelak. Siapa dulu dan siapa kemudian belum tentu. Itu ketentuan Ilahi.
Anak dan anak saudaraku di kampong semasa Aidil Fitri tahun sudah. Merekalah yang akan mewarisi keceriaan hidup ini insyaAllah.

Insaflah dikau, di bulan Ramadhan yang mulia ini banyakkanlah meminta ampun, kepada Tuhan sudah pasti, kepada kedua ibu-bapamu dan kepada semua insan yang pernah kau sakiti. Hidup tidaklah lama yang pasti di akhirat itu berkekalan. Tiada daya dan upaya aku untuk melarang kamu membuat sesuatu. Hendak dimarah sudah jemu dan jelak kau dengar. Hendak dipikul cuma belum patah dan buta aku kerjakan.

Seorang ibu akan melaksanakan apa saja untuk menyelamatkan anak-anaknya.

Aku menginsafi diriku sendiri. Bulan Ramadhan Al Mubarak ini banyak ku cuba habiskan masa ini dengan bertawarikh di masjid. Cuma beberapa hari sahaja aku tidak ke sana kerana tugas dan semasa aku demam dan tidak upaya bergerak banyak.

Ramadhan tinggal beberapa hari lagi. Jangan kau sia-siakan dan lepaskan peluang ini. Istighfarlah dan balik ke pangkal jalan. Jangan kau ingat aku selalu akan bersama mu memimpin tanganmu di setiap persimpangan apabila kau perlu arah. Tidak, kerana aku pun belum tentu mampu sekarang. Kekuatan dan jarak halatuju ku tidak sekufu lagi. Aku tidak sekuat dahulu sedangkan tugas-tugas ini rasanya banyak yang belum beres.

Ya Allah di bulan yang barakah ini aku pohonkan selamatkanlah aku, isteriku, anak-anakku, keluarga dan sahabat-sahabatku dari api Neraka.

Ya Allah ampunlah aku. Aku telah mencuba Kau yang memperkenankannya.

Wednesday, August 18, 2010

Memasuki Pusingan Kedua Ramadhan.

Sdr Harryzan dan Ustazah Saliza bersama sebahagian dari anak-anak mereka di majlis iftar.

Sudah lebih dua minggu kita berpuasa semoga di awal Ramadhan ini kita telah Allah SWT kurniakan keberkatan insyaAllah. Sekarang mudahan-mudahan dalam pusingan kedua pusingan pertengahan banyakkanlah istighfar semoga Allah angkatkankan kedukaan, dilenyapkan segala masalah kita dan diberi lebihan rezeki dari jalan yang kita tidak sangka-sangka.

Jika kita dipanjangkan umur dan berkesempatan memasuki pusingan akhir Ramadhan semoga kita sempat beribadah dengan bersungguh-sungguh di malam ‘Lailatul Qadar’. Semoga kita dijanjikan dan dilindungi dengan kebebasan dari Api Nereka Allah.

Jangan asyik dengan rutin harian sahaja cuba sedaya-upaya untuk memperuntukan masa dan ruang untuk melebihi melaksanakan ibadah. Itu harapan kita untuk menjadikan diri ini sebahagian dari ahli ibadah.

Semoga di akhirnya kita memperolehi ‘Makam Orang-orang Bertaqwa’.

Thursday, August 12, 2010

Ramadhan Al Mubarak.


Berbuka puasa secara beramai-ramai besar keberkatannya.

Begitu cepat masa berlalu, alhamdulillah kita diberi peluang bertemu semula dengan bulan Ramadhan bulan keberkatan. Bagi ahli ibadah bulan ini merupakan pesta untuk meraih berbagai ganjaran pahala dan kebaikan. Setiap ibadah sunat ganjaran seperti ibadah wajib dan manakala setiap ibadah wajib diganjari dengan berlipat ganda. Inilah suatu yang sangat rugi jika kita abaikan.

Pertama, jangan sesekali kita lepaskan peluang bersolat sunat tarawikh kerana ianya tiada pada sebelas bulan yang lain. Jika tidak mampu ke surau atau masjid buatlah di rumah. Lapan atau dua puluh rakaat janganlah dipertikaikan, kerjakanlah mengikut kefahaman dan kemampuan masing-masing. Bertanya kepada yang lebih arif jika kita masih ragu-ragu mengenainya.

Kedua, cuba sedaya upaya untuk bersahur kerana di situ ada keberkatan dan ini juga merupakan ibadah yang diberikan pahala. Jika terlalu mengantuk minum segelas air atau sebiji buah kurma. 'Makanlah waktu sahur. Sesungguhnya makan waktu sahur menyebabkan berkah.' Hadis riwayat : Mutafaq'alaih.
Solat berjamaah cuba dilaksanakan pada setiap waktu.

Ketiga, mari kita banyakkan membaca, menghayati Al Quran, bersedekah dan melalukan amal-amal kebaikan. Mulakan dengan membantu keluarga terdekat kemudian jiran tetangga, masyarakat setempat dan seterusnya masyarakat antarabangsa. Di sekeliling kita berbagai borang-borang sumbangan yang boleh kita manfaatkan.

Sumbangan kepada yang memerlukan menceriakan lagi suasana di bulan berkat ini.

Keempat, carilah dan beribadahlah pada Lailatur Qadar pada sepuluh malam terakhir Ramadhan kerana ganjarannya merupai seribu bulan. Seribu bulan hitungannya lebih 83 tahun. Mungkin kita tidak mampu beribadah selama hitungan ini. Begitulah seterusnya, banyak ibadah-ibadah yang boleh dikerjakan di bulan Ramadhan ini. Ramadahan diawalnya keberkatan, dipertengahannya keampunan dan diakhirnya kebebasan dari api neraka.

Ampun dan maaf jika ada kekurangan dan kesalahan selama kita bersama. Semoga kita dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan untuk melaksanakan ibadah-ibadah ini. Ramadhan Al Mubarak.