Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Thursday, October 28, 2010

GERIMIS SEMALAM


Tertulis satu ketika dahulu
Terbayang keindahan mu
Mungkinkah hidup selalu begitu
Dibuai bayu nyaman syahdu






Semenjak kecil sudah terkedu
Merasai bernaung awan kelabu
Sendirian walau punya ayah ibu
Menungkah pengalaman baru







Bila saat mula disatu
Sentiasa wangi tak perlu dihidu
Terawang tinggi langit biru
Maklumlah pengantin baru







Beranak pinak letih selalu
Membesar mereka cepat berlalu
Rezeki mereka rezeki aku
Kadang kaku kadang buntu



Kini laksana muda dahulu
Berduaan di hujung minggu
Bagai irama tanpa lagu
Terpaksa bergerak walaupun lesu






Pada mu temanku jangan jemu
Kita teruskan walaupun pilu
Jangan bersedih siapa pergi dulu
RahmatNya menanti setiap penjuru

Tuesday, October 19, 2010

Pemangkin kehidupan.

Apa nak jadi dengan anak-anak kita ini? Siapa yang akan membetulkan mereka ini? Ibu bapa, masyarakat, NGO atau pihak berwajib?

Ke manakah arah perjalananku ini? Setelah mendong yang menyelubungi langitku tempoh hari beransur berarak pergi. Ditiup bayu pagi. Tiupan bayu yang ku cari selama ini telah ku temui. Walaupun perlahan tetapi jadilah sebagai secebis pengharapan. Empat puluh empat hari dan empat puluh malam akan menjadi penentuan. Ianya adalah menjadi satu jangkamasa menguji fizikal dan spiritual. Jika kami berjaya akan terbuka satu era baru dalam penghidupan. Tetapi ianya bukan lagi penghujung malah ianya hanyalah akan menjadi satu permulaan. Doa kalian menyemarakan semangat dan kekuatanku ini. Terasa benar aku tidak keseorangan.

Setelah itu, dua puluh empat bulan menjadi satu taruhan. Ujian tahap kedua berkemungkinan agak ringan dan tidak berat tetapi jangkamasanya terasa amat lama. Seolah-olah ibarat memegang batu kecil dalam tangan yang diluruskan lama. Batu itu tidak akan berubah beratnya tetapi tangan ini akan bertambah lenguh walaupun dibiarkan . Jika dihitung ianya adalah selama tujuh ratus dua puluh hari pula. Namun mungkin ini pilihan yang terbaik. Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Cuma kita yang belum atau tidak ketahui disebaliknya. Ini kerap diungkapkan oleh kita semua. Ungkapan yang mudah dipertuturkan tetapi hanya bahu-bahu yang terlibat tahu akan beratnya bebanan hidup ini. Jika umur si budak itu lima belas tahun maka dengan peralihan jangkamasa tujuh ratus dua puluh hari ini beliau akan membesar menjadi tujuh belas tahun. Umur seorang remaja yang bersekolah di tingkatan lima. Itu sukatan kita, tetapi lain sukatan Allah SWT. Mungkin esok atau lusa ada yang dijemputNya dahulu.
Anak-anak ini bukan sepanjang masa oleh kita kepek ke sana ke sini. Ada masanya harus dilepas pergi demi kebaikan mereka jua.

Itu perjalanan budak yang lima belas tahun. Bagaimana dengan aku yang hampir sangat mencecah lima puluh tahun umur ini? Di rumah bertambah sunyi. Seorang demi seorang anak-anak ini terpaksa dilepas pergi dengan harapan dan tugasan menyambung amanah hidup. Aku sendiri dahulu terpisah dengan keluargaku hampir tiga tahun berkelana di Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak. Mengambil Kursus Jangkawas Perusahaan dan Kawalan. Tiada siapa yang menziarahi, betul aku bukan melawak. Cuma hari pertama iaitu hari pendaftaran aku dihantar oleh ayah dengan mosikalnya C70 dan bermalam di rumah saudara kami di Changkat Larang. Kedua, hari konvokesyenku, ayahku seorang sahaja datang dengan C70nya juga. Itu kesah lama tetapi tetap menjadi pertanyaan tanpa aku sedari sehingga kini.
Juga sekumtum doa dari orang-orang yang soleh diperlukan itu kemakmuran negara tercinta ini.

Air mata ini terasa bagai paip yang kebocuran. Ianya akan mudah tiris sewaktu makan malam dan sewaktu solat berjemaah dengan isterikudi waktu Maghrib dan juga Subuh. Apa ingatkan seorang guru silat itu tidak punya air mata. Namun hakikatnya guru silat itu juga seorang yang punyai perasaan yang halus. Semoga aku akan sibuk dengan tugas-tugas jamaah yang tidak seberapa ini.

Bukan untuk melupakan kenangan silam atau keadaan semasa tetapi untuk pemangkin untuk teruskan penghidupan ini.

Monday, October 18, 2010

'Senyuman Dalam Tangisan'

Ada yang masih memerlukan kehangatan pelukan kasih dari ibu dan ayah mengapa kita tidak mampu berikannya? Adakah suasana persekitaran atau sememangnya kesilapan ibu dan ayahnya?

Selagi mana ada nafas ini, selagi itu mesti terus berperanan. Mengapa tidak, kerana jika tidak diperbuat tentu akan terbengkalai tugas-tugas ini. Dahulu semasa aku memegang jawatan Setiausaha Negeri JIM Pulau Pinang terasa amat sibuk sekali jika tiba mesyuarat agong tahunan MPN, singkatan Mesyuarat Perwakilan Negeri. Tentu orang bercakap, "Biasalah sebagai SU, memang kerja dia, kerja kita datang mesyuarat ini pun kira amat baik jika dibandingkan dengan mereka yang tidak datang". Tetapi selepas mesyuarat tersebut biasanya akan lagi sibuk kerana perlu menyediakan laporan pula dalam jangkamasa tertentu. Jadi tidak habis-habis dengan kesibukan. Tetapi sekarang bila sudah dilantik menjadi Yang Dipertua mengapa masih sibuk juga?

Tetapi ramai yang tidak ketahui kekadang nafas ini tersemput-semput dengan kerana beberapa ujian yang Allah SWT kurniakan serentak. Namun kerja-kerja mesti diteruskan lagi walaupun 'senyuman dalam tangisan'. Mungkin ada yang mengerti dan mungkin ramai yang tidak. Di sinilah letaknya erti persahabatan. Bagi yang perhatian mereka akan bertanya dan akan cuba membantu sedaya upaya. Bukan sekadar menasihati sahaja tetapi lebih dari itu. Melihat raup wajah sudah mampu membaca penderitaan sahabatnya itu. Ada juga yang berpendapat, "Jika dia tidak mahu cerita buat apa kita tanya". Kadang-kadang betul juga tetapi kadang-kadang mungkin dia tidak mampu hendak mulakan ceritanya itu. Terpulanglah siapa yang mahu mula dahulu, tetapi aku rasakan siapa yang mula bertanya atau menunggu untuk ditanya tentu ada alasan-alasan mereka masing-masing.
Lain pula halnya di Palestina sana. Mereka perlukan lebih dari pelukan ayah ibu. Kehidupan mesti mereka teruskan walaupun tanpa orang-orang tersayang.

Betul kata-kata beberapa orang sahabat rapat, bahawa jika ada ujian kita akan selalu ingatkan Allah dan biasanya pula bila senang manusia ini sering lupa Allah. Tidak ! Aku tidak mahu menjadi manusia sebegini, aku mahu menjadi manusia yang ingatkan Allah semasa susah dan senang. Ujian Allah akan datang dan pergi cuma mereka yang dikurniakan hidayah akan menerima butiran mutiara iman yang jika terkumpul akan memberi cahaya kehidupan.

Pernah suatu ketika aku berkata, jika aku boleh berlari aku akan berlari. Jika aku mampu berjalan aku akan berjalan dan jika aku cuma ada satu sahaja kaki ini aku akan terus berjalan mengikut kadarnya. Walaupun perlu bertongkat dan kadar kelajuannya amat perlahan. Jangan selalu ketawa kerana sesekali menangis itu akan menyucikan hati dan jiwa ini. Jangan pula selalu menangis kerana ianya akan membutakan mata kamu, itu kata-kata Kassim Selamat dalam Ibu MertuaKu.

Senyumannya tidak manis mungkin terbentuk dari nalurinya yang berbagai emosi. Namun kehidupan ini mesti diharungi dengan semua kekuatan yang bersisa. Sahabat-sahabatlah yang menjadi pemangkin untuk terus dalam landasan ini.

Fahamilah wahai sahabat, disamping aku perlu tapak tanganmu dicantumkan mengangkat doa untuk kita aku juga perlukan lengan-tangan-tangan kalian untuk memeluk ku semasa aku sangat memerlukannya.

Thursday, October 14, 2010

Menangani Keutamaan

'Robotic arm' ini mengikut sahaja segala yang telah diprogramkan oleh penciptanya tanpa bantahan. Mengapakah kita ini membantah apa yang Allah suruh ?

Dakwah memang tugas semua dan wajib diberikan tumpuan khusus untuk memakmurkan dunia ini. Dalam kehangatan memikul tanggung-jawab dakwah ini’ persiapan untuk yang di rumah jangan sekali diabaikan. Masih punya anak, masih punya isteri atau suami dan masih punya orang tua yang perlu perhatian dan sentuhan.

Ini belum termasuk dengan jiran tetangga dan sahabat rakan taulan. Ini belum termasuk amanah kerjaya yang diberi upah dan gaji untuk melaksanakan beberapa tugasan harian. Jadi sesungguhnya kerja-kerja ini terlalu banyak dan berpanjangan. Tetapi jangan pula dengan alasan ini, satu apa pun tidak dibuat.

Rancanglah mengikut keutamaan dan suasana yang mendesak dahulu. Asuh diri ini agar boleh membuat jadual harian. Jadual ini tidaklah jumud sehingga tidak boleh diubah suai. Sekurang-kurannya telah tercatit perkara-perkara yang perlu perhatian dan tindakan.

Contohnya diantara menziarahi kematian dengan kelahiran bayi tentu patut dihadiri majlis kematian dahulu dan menangguhkan menziarahi kelahiran seorang bayi. Tetapi bagaimana pula jika ditambah satu lagi, undangan ke majlis perkahwinan. Di antara 3 ini mana yang perlu didahulukan? Begitulah seterusnya, bijak memilih dan bijaklah membuat keputusan agar dapat diatur urus dengan sebaik mungkin. Kekadang ingin pergi ke tiga-tiga majlis tadi, tetapi ianya juga tidak mustahil dilaksanakan.

Diantara menghadiri majlis usrah mingguan dan menemani isteri atau anak yang sedang demam di rumah, mana yang patut dipilih?