Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Showing posts with label Ragam Berorganisasi. Show all posts
Showing posts with label Ragam Berorganisasi. Show all posts

Monday, July 5, 2010

Jangan jadi ‘Kera Sumbang’

Kombinasi yang seragam dan kerjasama mantap memberi hasil yang terbaik.

Hanya dengan kombinasi yang seragam di sudut teknik dan masa memberi kayuhan yang terbaik. Ini akan menghasilkan tenaga yang optima bagi mendorongkan kepada kejayaan yang dihajati. Itulah apa yang boleh kita perkatakan di dalam sukan berkayak yang melibatkan beberapa peserta dalam satu pasukan. Perlu ada kerjasama berpasukan.

Itulah realiti dalam hidup ini tidak kira secara unit kecil mahupun organisasi yang besar. Kombinasi yang seragam dengan saling berkasih-sayang, teknik berkomunikasi yang baik dan memberi perhatian dan masa merupakan aspek penting dalam keharmonian hidup.
Persahabatan yang diperkuatkan dengan jalinan ukhuwah mempunyai kemanisan yang luar biasa.
Jangan menjadi ‘kera sumbang’ dengan mementingkan diri sendiri sahaja. Tidak boleh ditegur dan tidak suka orang lain mendapat kelebihan. Dengan menganggap yang lain tidak betul padahal diri sendiri tidak pula setara mana. Mereka ini selayaknya tinggal di hutan atau di gua-gua sahaja jika dituruti kehendak hati ini.

Namun sebagai seorang dai’ (pendakwah) yang mahu merubah masyarakat, mereka yang dalam golongan ‘kera sumbang’ ini perlu diberi sedikit perhatian. Agar ‘kesumbangan kekeraan’ yang sedemikian boleh kita cuba ubati dan mudah-mudahan boleh berubah dan menyertai kembali kelompok masyarakat yang harmoni itu. Berubahlah walaupun kadarnya hanya sedikit. Mungkin ini satu usaha yang rumit dan memerlukan masa yang agak panjang. Namun telah menjadi tugas kita untuk saling nasihat-menasihati.
Berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing tidak kita anak-beranak atau orang lain.

Budaya ziarah, bertanya khabar, memberi sesuatu samada kebendaan atau khidmat pertolongan adalah diantara ramuan baik untuk dibudayakan. Berlapang dadalah, jangan dikira, bangsa atau warna kulit. Semuanya berhak untuk disantuni dan menyantuni. Berhak disayangi dan menyayangi. InsyaAllah aman dan tenteram kehidupan ini.

‘Syurga itu amat luas dan boleh dikongsi bersama.’ Mengapa kita berhajat untuk menghuninya secara keseorangan.

Tuesday, May 12, 2009

Air dicincang tidak akan putus.

Taat kepada pimpinan dalam keadaan suka atau sebaliknya selagi mana ianya bukan perkara maksiat.

Ini satu perumpamaan yang cantik dibuat kiasan. Sifat air itu sungguh istimewa boleh dialirkan dan boleh ditakungkan. Merupakan satu keperluan yang banyak manfaatnya. Begitulah andaian kita di dalam organisasi, pertubuhan ataupun berjamaah. Kita jadilah seperti air yang bersedia samada akan dialirkan atau ditakungkan. Dialirkan kita berperanan di dalam pangkuan masyarakat. Ditakungan akan membina kekuatan dalaman yang hebat dan lain pula manfaatnya. Mendidik atau mentarbiah diri agar lebih bertenaga apabila diserap ke dalam masyarakat. Sentiasa mahu ditarbiahkan supaya tetap beristiqamah di dalam perjuangan yang kerdil ini. Keluar berombongan jauh berjalan luas permandangan dan banyak pengalaman.

Kita perlu ingat ada kalanya air ini akn cuba disekat alirannya atau dibuka takungannya oleh mereka yang berniatkan untuk kepentingan sendiri. Namun jika air ini masih berpegang kepada sifat asalnya, ianya pasti akan patuh dengan apa yang telah ditentukan. Kita di dalam organisasi ini memang banyak dugaan samada dalaman mahupun luaran namun dengan kefahaman yang dimiliki kita masih mahu setia dan patuh kepada peraturan yang telah kita sendiri persetujui.

Semaian bibit-bibit ukhuwwah, persaudaraan, silaturahim masih hidup segar di sanubari ini dan hakikatnya tidak dapat disangkal lagi. Cuma ianya perlu sentiasa dipupuk agar kesegarannya berpanjangan. Berlapang dada dan bekerjasama di dalam satu jamaah merupakan satu tuntutan Islam. Mematuhi dan menghormati pimpinan juga tuntutan Islam. Walaupun kita merasakan kita lebih berilmu dan berpengalaman tinggi namun keputusan pimpinan jamaah yang di bawah landasan syura lebih tepat jika dibandingan dengan kepakaran ilmu kita itu.

Seronok jadi kanak-kanak, berkelahi sebentar kemudian berbaik semula. Esok berkelahi lagi dan begitulah seterusnya.


Taatlah kepada jamaah dalam keadaan suka atau sebaliknya itu baiah kita. Hidupkan dan tingkatkan kasih-sayang sesama kita. Kerja kian banyak, waktu kian singkat, tenaga kian berkurangan dan umur kian pendek. Biduk berlalu kiambang bertaut.

Semoga bermanfaat.

Tuesday, April 14, 2009

Tikam dari belakang.

Kesombongan 'crane' ini mampu mengangkat sesuatu yang berat tetapi akhirnya ia juga perlu diangkat oleh 'crane' lain bila ia tersilap perbuatan.

Sedar ataupun tidak budaya ‘tikam dari belakang’ ini memang ujud di kalangan masyarakat apatah lagi yang berorganisasi. Jarang sungguh berlaku kepada individu yang tidak berorganisasi ataupun tidak berpersatuan. Ini adalah kerana budaya ini mempunyai motif yang tertentu seperti ingin mengambil alih sesuatu jawatan untuk tujuan kepentingan diri sendiri. Budaya ini bukan sahaja menjatuhkan seseorang tetapi ianya menyusahkan mangsanya secara perseorangan dan juga organisasi itu sendiri secara kolektif.

Pertama, menyebarkan gambaran buruk seseorang dalam bentuk pendustaan atau fitnah di belakangnya. Agar kepercayaan ramai kepadanya terhakis dengan niat diri sendiri akan terpilih mengantikannya. Perbuatan ini amat keji dan berdosa besar dan pernah diungkapkan oleh Ar Rasul saw seperti 'memakan daging saudara sendiri'. Amalan ini boleh diibaratkan seperti ‘satu tusukan tajam yang dalam’ dan mengakibatkan ‘luka yang parah’ yang boleh menyebabkan ‘kematian’. Natijahnya boleh menghancurkan satu kerjaya dan penghidupan seseorang. Diharap perbuatan ini tidak menjadi budaya kepada para pendokong dakwah.

Berkasih-sayang, saling menghormati dan mematuhi satu sama lain merupakan kunci berorganisasi. Carilah kekuatan sahabat tentu banyak manfaatnya. Jika mencari kelemahannya nescaya kelemahan diri mu juga akan lebih ketara.

Kedua, mencari-cari kesilapan dan kelemahan seseorang dengan niat untuk didedahkan sekaligus menjatuhkannya dan seterusnya diri sendiri akan terpilih menggantikan mangsanya itu. Perbuatan ini juga hampir sama dengan yang pertama. Cuma ‘tusukan tikamannya’ tidak separah yang pertama tetapi cukup untuk ‘mematikan’ atau menjatuhkan seseorang. Perbuatan ini juga amat keji dan berdosa besar. Sikap ini seperti sikap oarang munafik yang berpura-pura baik tetapi mempunyai niat yang jahat.

Cuma di sini kita yang terlibat aktif di dalam berorganisasi mesti sentiasa berwaspada menghindari atau mengurangkan kesilapan dan kelemahan diri agar tidak membuka ruang untuk digunakan oleh ‘musuh’ untuk menjatuhkan kita. Ikutilah dan patuhilah segala arahan dan peraturan jamaah. Berusaha, memotivasikan diri dan berdoa agar kita sentiasa di tahap semangat yang tinggi dalam perjuangan. Jangan menjadi ‘seperti anak kambing yang terkeluar daripada kelompoknya’.

Rakan mengesat mulut di meja makan mungkin ramai tetapi sahabat mengesat airmata di kala lara belum tentu ada.

Ketiga, mungkin ini kita lakukan tanpa disedari dengan membangkitkan isu-isu remeh temeh yang sedikit dan mengabaikan langsung kebaikan seseorang itu yang telah lama bersama kita. Menegur sesuatu perbuatan yang silap memang amat baik dan digalakan. Tetapi hendaklah menegur dengan berhikmah. Jangan diaibkan dengan mencanangkan secara terbuka sedangkan sesuatu kesilapan atau ketidak fahaman itu boleh diseselaikan dengan mudah melalui saluran tertentu.

Mengguna pendekatan forum terbuka bukan kaedah yang tepat. Memberi laporan dan ingin mendapat pandangan bukan ke atas isu-isu remeh temeh. Ini dirasakan lebih kepada mengadu domba atau mengaibkan seeorang. Memang betul perkara remeh temeh boleh menjadi besar jika tidak dibendong tetapi percayalah ada kaedah yang lebih murni untuk mengatasi sesuatu permasalahan dan ketidakfahaman itu.

Janganlah kesilapan yang sedikit itu akan mendinginkan kehangatan persahabatan kita yang telah dibina bertahun-tahun.

Thursday, March 26, 2009

Pukul anak sindir menantu.

Dapatkah putik kan menjadi bunga kiranya cuaca sering gerhana ?

Lumrah kehidupan masa kini yang penuh pancaroba telah memaksa kita memperlengkapkan diri dengan perisai kesabaran untuk menerima atau menangkis sesuatu yang pahit. Tidak cukup dengan kerenah-kerenah luaran, para pendakwah juga diuji dengan permasalahan dalaman.

Pendakwah perlu peka dan sedar ragam muda-mudi yang kebanyakannya mahukan keseronokan semata-mata. Menegur mereka secara terus akan mengakibatkan terbinanya tembok yang tebal dan akan sukar untuk ditembusi semula. Dengan penuh berhikmah kita mesti cuba mendampingi mereka dengan pendekatan yang lebih mesra agar terbuka ruang untuk kita dan diberi kepercayaan.

Di sesetengah tempat para pendakwah disibukan pula dengan tambahan masalah yang tidak sepatutnya berlaku. Krisis dalaman organisasi sering menarik kekuatan mereka ke belakang. Hilang tumpuan yang juga akan menjauhkan lagi sasaran mereka ke garisan penamat.
Keluarga STAIL; Sek Tahfiz Al Islah Tok Bedu Tasik Gelugaor. Dari guru silat, ahli lembaga pengarah, mudir, ayah, ibu dan murid-muridnya. Tentu ramai lagi yang lain telah, sedang dan akan berjasa kepada institusi sekolah ini.

Pertama, mendedahkan kelemahan sendiri kepada kelompok yang tidak sepatutnya didedahkan. Urusan rumah tangga tidak seharusnya diceritakan kepada orang lain. Ianya akan mengundang perbahasan yang tidak akan ada penghujungnya. Nanti, akan ada jiwa-jiwa yang terguris. Pernah disarankan oleh seorang kepimpinan, perkara sebegini tidak akan meningkatkan iman malahan boleh menambah pelbagai penyakit hati.
Tidak semua perjumpaan dapat dihadiri oleh semua ahli. Mungkin ada seorang dua yang benar-benar menghadapi masalah yang tidak mampu dielakkan.

Kedua, meninjau-ninjau kenapa si anu tidak hadir di dalam sesutau program yang kita hadiri. MasyaAllah bagi mereka yang mampu menghadirkan diri di dalam sesuatu program itu, insyaAllah akn mendapat ganjarannya tersendiri. Namun masih ada di kalangan kita yang suka membesarkan cerita jika ada rakan lain yang tidak hadir . Mengambil berat tentang seseorang itu adalah sikap yang terpuji tetapi mebuka keaibannya adalah dikeji. Sebaiknya kitalah yang harus terus bermuhasabah dengannya di dalam suasana yang sesuai dengan niat menyayanginya, memahami masalahnya dan ingin beliau turut bersama ke dalam setiap program atau aktiviti yang dianjurkan kerana ingin berkongsi pahala.

Ketiga, mengambil sikap ‘cantas dan buang’ amatlah tidak sesuai bagi suatu organisasi dakwah dan kebajikan. Pokok bolehlah dicantas dan ianya akan berpeluang untuk bertunas kembali dengan lebih subur lagi. Manusia mempunyai struktur emosi dan perasaan yang kompleks, mempunyai hati yang sukar dilihat. Untuk melihat ke dalam hati ini memerlukan suatu kemahiran yang halus. Selamilah ia nescaya kita akan lebih memahaminya. Hadis Nabi saw pernah membicarakan mengenai hati ini. Diantara lain maksudnya “Jika baik ia maka baiklah seluruh anggotanya”.

Kesimpulannya; jangan dibuka pekong di dada kelak sendiri tidak mampu menghidunya. Tinjaulah kelemahan diri dahulu baru ditinjau kelemahan rakan lain. Hampirilah hatinya sebelum menghampiri jasadnya. Semoga tulisan ini bermanfaat pada kita bersama.
"Aku juga banyak kekuranganya. Ya Allah ampunilah kami."

Tuesday, March 3, 2009

Ziarah merapatkan silaturrahim.

Sikap yang terpuji YDP JIM PP Ir Hj Jamaludin bersama TYDPnya penguam Mustafa Basri menziarahi ajk JIM negeri Dr Aidi di kediamannya.

Sebagai insan kita perlu kepada bemasyrakat, bergaul atau bermuamalah. Mungkin kita berpendapat, "Mana boleh, hendak pergi semua rumah, setahun pun tidak boleh habis". Memang benar kata-kata itu, namun ada perkara itu jika kita merasakan ianya penting jangan diabaikan . Carilah jalan untuk melaksanakannya. Buat jadual dan aturcara. Rasanya molek sekali kita ziarahi mereka yang sepatutnya kita ziarahi.

Mulakan dengan keluarga terdekat, seperti ibu bapa, adik, abang dan kakak. Kemudian mereka yang ada talian, sahabat, anak buah atau rakan sepejabat, rakan sepertubuhan. Apatah lagi jika kita sebagai pengerusi, Yang Dipertua atau AJK Induk, harus kita menziarahi ahli-ahli kita. Sebagai penambat hati bawalah sedikit juadah atau buah tangan. Kita juga dapat makan bersama.

Bayangkan jika hati sudah tertambat tentu perjalanan pertubuhan akan lancar dengan sokongan padu daripada ahli-ahli ini. Tiadalah kita dikatakan hanya bercampur-gaul dengan puak atasan sahaja. Sebagai pimpinan mahupun ajk semua ahli perlu disantuni dengan sebaik mungkin.

Ziarah juga membuka rahmat dan insyaAllah rezeki buat kita. Bertanya khabar dan saling mengambil berat akan menjernihkan kehidupan ini. Alangkah indah hidup ini.

Thursday, February 26, 2009

Mengapa Tidak Hadir Mesyuarat?


Pimpinan JIM Perak, Pulau Pinang dan Kedah yang cuti mereka berlainan hari namun mampu bersama di dalam program tarbiah keluarga yang digelar KEMUDI singkatan Kem Membina Keunggulan Diri pada 10 Februari 2007 di Trong, Taiping Perak.
“Mengapa ramai ajk yang tidak datang mesyuarat kali ini dan tiada makluman ketidak hadiran mereka. Sedangkan ana terpaksa ambil cuti untuk bersama mesyuarat bulanan ini.” Ini diantara ritihan dari lubuk hati seorang pengerusi yang aku kenal rapat . Kesihan terpaksa mengurbankan cutinya kerana hari Ahad merupakan hari bekerja bagi beberapa negeri di semenanjung kita ini.
Kompleks JIM Pulau Pinang di Taman Sri Nibong menjadi tumpuan pimpinan JIM Pusat, Negeri dan Daerah bermesyuarat.
Budaya negatif ini jangan dibiarkan menular dan tidak sihat untuk diamalkan terus. Sebagai ajk yang dilantik oleh orang ramai kita memikul satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Menghadirkan diri di dalam mesyuarat bulanan adalah satu kewajiban yang tidak boleh dipandang sepi. Apatah lagi mesyuarat tersebut telah dijadualkan awal dan panggilan peringatan telah dihantar oleh setiausahanya. Dalam soal ini keutamaannya harus bijak ditangani. Timbanglah semasak-masaknya jika mesyuarat tersebut bertembung dengan kehendak keluarga, kerjaya atau masyarakat. Mungkin di sini ajk harus belajar mengurus dan merancang masa dengan sebaik-baiknya.

Di Yayasan Tok Kenali Kota Bharu, Kelantan dalam satu mesyuarat dalam siri lawatan Pusaka Gayong Pusat ke Kelantan.
Sesuatu pertembungan itu mungkin agak mustahil untuk diraikan kesemuanya. Namun jika dirancang dengan baik ianya boleh mengurangkan masalahnya. Samada sesuatu itu dilaksanakan dahulu atau ditangguhkan kemudian. Cuba jadualkan semula mengikut keutamaan dan kemampuan yang sesuai. Dengan niat yang ikhlas untuk berusaha menyempurnakan sesuatu tanggung-jawab itu maka kita yakin Allah akan membantu memudahkannya. Berusaha dan berdoalah. “Mahu seribu daya tidak mahu seribu daleh”.
Sungguh bertuah telah diterima kunjungan lawatan mesra ke Pejabat Menteri Besar Kelantan. Pertemuan sebegini memerlukan perancangan, disiplin dan keperibadian yang tinggi. Sungguh terharu dengan layanan mesra YAB Tok Guru Nik Aziz walaupun pada ketika itu beliau tidak berapa sihat.
Memaklumkan kehadiran atau melantik pengganti merupakan jalan keluar yang penghabisan. Jika itu pun tidak kita laksanakan maka paling buruklah peribadi kita. Takutilah azab Allah jika tanggung-jawab atau amanah itu terabai.

Saturday, February 21, 2009

Mereka yang bersifat memencil diri.


Tiada organisasii jika tiada pemimpin dan tiada pemimpin jika tiada ahli yang dipimpin. Tidak sempurna menjadi ahli jika tidak memberi taat kepada pemimpin dan tidak sempurna menjadi pemimpin jika mengabaikan tugas di dalam organisasi. Rosaklah organisasi jika pemimpinnya hanya tidur dan tidak melaksanakan tugasnya manakala ahlinya pula suka memencil diri.

Mungkin ada banyak faktor mengapa seseorang itu suka memencil diri dan diantaranya ialah faktor tidak puas hati, sudah tua dan merasa selesa tanpa memikirkan soal organisasi .

Di dalam sesebuah organisasi tentu tidak terlepas daripada perselisilihan faham di antara satu dengan yang lain. Perselisihan ini berpunca dari maklumat yang bertentangan dengan pendapat dan pegangan diri. Kita pun tahu, di dalam Islam berselisihan pendapat itu suatu rahmat kerana kita boleh membuat pilihan yang paling sesuai dengan diri kita. Namun perselisihan ini tidaklah mengakibatkan perpecahan sesuatu organisasi itu. Sifat berlapang dada adalah ramuan yang paling mustajab . Dengan semangat ukhuwah segala masalah boleh diatasi jika betul-betul jujur. Rasanya eloklah bertolak ansur daripada tertegang leher.

Tua bukan bererti boleh pencen. Tua bukan alasan boleh memencil diri. Sudah tua bukan suatu alasan yang baik untuk meninggalkan sesebuah organisasi. Walaupun kita boleh menerima alasan supaya diberi peluang kepada generasi muda namun perjuangan ini terlalu banyak bidang perlu dibereskan. Carilah bidang-bidang yang sesuai dengan kemampuaan dan tenaga tua kita. Tugas tidak mungkin akan selesai jika semua golongan tua itu mengundur diri. Berilah pandangan dan nasihat kepada yang memerlukan. Ambil tahu sudah cukup mengambarkan yang kita tidak terkebelakang.

Mereka yang telah berada di zon selesa tentu tidak mahu bersusah-payah memikirkan soal-soal organisasi. Mereka merasa sudah cukup dengan apa yang ada. Kononnya mereka telah banyak memberi bakti. Lega, mereka boleh ke surau dan masjid. Boleh bersantai bersama keluarga tercinta pada bila-bila masa tanpa kongkongan sesiapa. Balik kerja boleh beristirehat dan membuat jadual mahu ke mana pada malam nanti. Mungkin mereka merasa gembira dengan sikap ini. Tetapi saya yakin tidak semua mereka akan gembira melihat sahabat-sahabat lain bertungkus-lumus merancang, melaksanakan dan bersusah-payah untuk menghidupkan dakwah dan kebajikan yang telah diamanahkan oleh organisasi dan orang ramai.

Tidak ramai yang sudi meneruskan perjuangan dakwah ini. Namun bagi sahabat-sahabat yang istiqamah dengan organisasi, mereka akan terus dengan perjuangan ini hingga akhir hayat. Walaupun ada ketika terpaksa berjalan tempang dengan sebelah kaki. Walhal pada satu ketika dahulu pernah berlari dengan kedua kaki. Kasihan beliau kerana sebelah kakinya sudah ‘memencil diri’.

Thursday, February 19, 2009

Bersama untuk maslahat dakwah.

Barisan Pimpinan JIM Negeri dan daerah di Kursus Pengurusan Pertubuhan pada 4 November 2006
Secara umumnya program atau aktiviti dibuat ialah untuk maslahat dakwah tidak kira apa sahaja nama yang diberi. Cuma majlis dan sasarannya agak berbeza mengikut fokus semasa. Tujuan kita ialah untuk membawa semula kesemuanya kembali ke jalan Allah SWT beribadah kepadaNya, berbakti kepada manusia dan Alam. Samada kita ini berkumpulan ataupun individu perlulah kembali bersama ke dalam satu barisan dengan ketaatan yang satu. Bukan dua atau tiga.

Ketua dilantik untuk ditaati dan beliau telah diamanahkan untuk memimpin dan selayaknya menerima ketaatan daripada semua pihak. Mengujudkan kumpulan lain adalah amat dilarang. Tidak ada kumpulan di dalam jamaah. Ini akan merosakkan dan merugikan. Marilah kita letakkan iman, taqwa dan ukhuwah di hadapan segala-galanya.

Maka dengan itu perlulah diperkasakan kepimpinan agar sentiasa dihormati dan dipatuhi. Pimpinan bertanggung-jawab untuk membina hubungan yang kukuh dengan semua ahli dan institusi yang sedia ada. Memastikan semua ajk dan ahli berfungsi serta mempunyai bidang tugasan tertentu. Bila ada kerja barulah sibuk dan bila sibuk tentu tidak sempat untuk mencari kesalahan orang lain.

Sesuatu kumpulan atau individu.”Bila sudah letih bekerja, makan roti sekeping pun sudah cukup dan kemudian pasti tertidur “. Dalam ertikata lain kita tidak sempatlah hendak mencari kelemahan atau kesalahan orang lain. Memperbaiki diri dan melengkapkan segala kemahiran amat perlu untuk terus maju ke hadapan. Perancangan dan maklumat yang rapi diperlukan dan sikap untuk bekerja keras mestilah sentiasa diamalkan

Medan dan peluang dakwah bagi kita mamang terbuka luas. Mari kita berusaha memanfaatkannya. Semua tenaga ahli amat diperlukan untuk menyebar luaskan dakwah ini. Mereka yang bersifat memencil diri juga merupaka suatu penyakit. Insya Allah kita tunggu penerbitan yang akan datang.