Lamunan semalam sungguh indah dan membuat aku terasa amat gembira. Tetapi kegembiraan yang aku sendiri tahu cuma sementara dan bila ku sedari ianya suatu peristiwa yang telah berlalu. Suasananya telah berubah dan tentu tidak akan sama seperti sekarang. Jikalah aku berpeluang berada kembali pada masa lampau itu tentu aku dapat menikmati keindahannya lagi tetapi ini tidak mungkin.
Hakikat, kehidupan ini perlu diteruskan dan gunakanlah kesempatan yang masih ada dengan sebaik mungkin. Dugaan demi dugaan ini mematangkan kita lagi. Mungkin ada banyak kesilapan kita yang lalu maka membuat kita diuji sebegini. Moga ianya merupakan kifarah dosa-dosa yang dibalaskan setimpal dengan kelalaian diri. Semoga di akhirat tidak lagi disabitkan dengan dosa-dosa itu. Moga ianya diampuni dan dibasuh di dunia lagi daripada ditunda ke akhirat yang azabnya lebih dahsyat lagi. Allahu Akhbar !
Aku berazam akan membuat yang terbaik untuk jamaah yang aku dokongi iaitu IKRAM dan Pusaka Gayong. Dengan sedikit tenaga, kemampuan dan umur ini, aku cuba melaksanakan tugas-tugas sebagai AJK IKRAM bahagian Negeri. Namun tugas-tugas di daerah juga perlu aku buat sejajar dengan amanah yang aku pikul sebagai setiausaha IKRAM daerah SPT. Tentang silat mungkin jangan dibuka lagi persoalannya panjang pula penulisan ini nanti. Bersyukur peluang ini Allah beri untuk kesempatan menyemai bakti, kerana aku memafami tidak semua kita berpeluang sebegini.
Kadang-kadang aku ditegur oleh seorang dua sahabat, mengapa aku sanggup memegang beberapa amanah ini. Jawab aku mudah kerana tiada dan belum ada yang mahu, biar aku buat kerja itu dahulu daripada ianya kosong sahaja. Jika ada yang terjumpa atau yang sudi maka itu yang lebih baik. Memang jika ada ramai tenaga mudahlah sesuatu kerja itu dilaksanakan. Tetapi bila kita asyik menunggu kewajipan ini tiada terlaksana, maka lebih elok diperlakukan sedikit dan pelahan daripada tiada langsung. Kurang adalah lebih baik daripada tiada langsung. Sesungguhnya kerja kita ini banyak, masa, tenaga dan umur kita semakin kurang. Sudah tentu tidak mungkin kita cuma rehat-rehat selalu. Mudah-mudahan dengan sedikit pengalaman bersama jamaah sejak dahulu dapat diteruskan hingga akhir hayat. Cuma mungkin kecergasan membuat sesuatu itu agak kurang jika dibandingkan sebelum ini. Syukur isteriku sentiasa berada di sisi apabila aku memerlukan. Paling kurang menemani aku memandu semasa aku keletihan dan mengantuk. Namun aku berharap jangan direhatkan aku sebelum waktu rihat yang sebenarnya.