Saban petang apabila melintasi Jambatan Pulau Pinang bersama Insan Marhaen semasa balik kerja aku akan tukar siaran radio kereta ke Klasik FM. Slot 'Adila' Aku, Dia & Lagu, telah menambat hati. Dengan coretan-coretan yang dibaca oleh penyampai khas dengan penuh beremosi dan lagu-lagu lama yang menghambat jiwa serta meruntun kalbu.
Mengimbau kenangan kanak-kanak dan remaja yang sungguh mengembirakan. Pada masa itu tiada apa yang dirisaukan. Celik mata ada sahaja aktiviti yang aku lakukan. Sedari kecil syukur tiada yang menyukarkan atau merisaukan ibubapaku. Mereka sentiasa percaya yang anak kecil mereka tidak akan melakukan aktiviti-aktiviti yang membimbangkan apatah lagi yang bersalahan dengan agama.
Tetapi kini lain sekali, anak-anak sentiasa memberi tekanan kepada ibubapa apabila keluar dari rumah. Kita pun maklum selain didikan di rumah dan di sekolah, rakan sebaya dan persekitaran juga mempengaruhi anak-anak ini.
Cuma nasihat dan peringatan yang mampu diulang-ulangi kepada mereka yang mereka tentu menganggap leteran-leteran semata-mata. Namun doaku kepada Allah tetap dipohon agar mereka selamat dan dilindungi sentiasa.
Ya Allah kurniakan kami kesejahteraan dunia dan akhirat.
Ya Allah kurniakan kami kesejahteraan dunia dan akhirat.