Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Thursday, March 26, 2009

Pukul anak sindir menantu.

Dapatkah putik kan menjadi bunga kiranya cuaca sering gerhana ?

Lumrah kehidupan masa kini yang penuh pancaroba telah memaksa kita memperlengkapkan diri dengan perisai kesabaran untuk menerima atau menangkis sesuatu yang pahit. Tidak cukup dengan kerenah-kerenah luaran, para pendakwah juga diuji dengan permasalahan dalaman.

Pendakwah perlu peka dan sedar ragam muda-mudi yang kebanyakannya mahukan keseronokan semata-mata. Menegur mereka secara terus akan mengakibatkan terbinanya tembok yang tebal dan akan sukar untuk ditembusi semula. Dengan penuh berhikmah kita mesti cuba mendampingi mereka dengan pendekatan yang lebih mesra agar terbuka ruang untuk kita dan diberi kepercayaan.

Di sesetengah tempat para pendakwah disibukan pula dengan tambahan masalah yang tidak sepatutnya berlaku. Krisis dalaman organisasi sering menarik kekuatan mereka ke belakang. Hilang tumpuan yang juga akan menjauhkan lagi sasaran mereka ke garisan penamat.
Keluarga STAIL; Sek Tahfiz Al Islah Tok Bedu Tasik Gelugaor. Dari guru silat, ahli lembaga pengarah, mudir, ayah, ibu dan murid-muridnya. Tentu ramai lagi yang lain telah, sedang dan akan berjasa kepada institusi sekolah ini.

Pertama, mendedahkan kelemahan sendiri kepada kelompok yang tidak sepatutnya didedahkan. Urusan rumah tangga tidak seharusnya diceritakan kepada orang lain. Ianya akan mengundang perbahasan yang tidak akan ada penghujungnya. Nanti, akan ada jiwa-jiwa yang terguris. Pernah disarankan oleh seorang kepimpinan, perkara sebegini tidak akan meningkatkan iman malahan boleh menambah pelbagai penyakit hati.
Tidak semua perjumpaan dapat dihadiri oleh semua ahli. Mungkin ada seorang dua yang benar-benar menghadapi masalah yang tidak mampu dielakkan.

Kedua, meninjau-ninjau kenapa si anu tidak hadir di dalam sesutau program yang kita hadiri. MasyaAllah bagi mereka yang mampu menghadirkan diri di dalam sesuatu program itu, insyaAllah akn mendapat ganjarannya tersendiri. Namun masih ada di kalangan kita yang suka membesarkan cerita jika ada rakan lain yang tidak hadir . Mengambil berat tentang seseorang itu adalah sikap yang terpuji tetapi mebuka keaibannya adalah dikeji. Sebaiknya kitalah yang harus terus bermuhasabah dengannya di dalam suasana yang sesuai dengan niat menyayanginya, memahami masalahnya dan ingin beliau turut bersama ke dalam setiap program atau aktiviti yang dianjurkan kerana ingin berkongsi pahala.

Ketiga, mengambil sikap ‘cantas dan buang’ amatlah tidak sesuai bagi suatu organisasi dakwah dan kebajikan. Pokok bolehlah dicantas dan ianya akan berpeluang untuk bertunas kembali dengan lebih subur lagi. Manusia mempunyai struktur emosi dan perasaan yang kompleks, mempunyai hati yang sukar dilihat. Untuk melihat ke dalam hati ini memerlukan suatu kemahiran yang halus. Selamilah ia nescaya kita akan lebih memahaminya. Hadis Nabi saw pernah membicarakan mengenai hati ini. Diantara lain maksudnya “Jika baik ia maka baiklah seluruh anggotanya”.

Kesimpulannya; jangan dibuka pekong di dada kelak sendiri tidak mampu menghidunya. Tinjaulah kelemahan diri dahulu baru ditinjau kelemahan rakan lain. Hampirilah hatinya sebelum menghampiri jasadnya. Semoga tulisan ini bermanfaat pada kita bersama.
"Aku juga banyak kekuranganya. Ya Allah ampunilah kami."

Tuesday, March 24, 2009

Tulisan lebih tajam daripada mata pedang.

Diantara tulisan dan kata-kata mana lebih berkesan?

Berkongsi pengalaman dan perasaan serta emosi dalam penulisan adalah salah satu cara untuk memberi kelegaan dan kadang-kala ketenangan. Ianya juga dapat diabadikan untuk manfaat umum dimasa akan datang. Kita perhatikan dengan teliti ianya kadang-kala mengandungi banyak unsur-unsur yang tersirat. Untuk diri sendiri dan juga yang lain.

Mungkin banyak teguran dan pandangan yang baik daripadanya. Ada tulisan berbentuk sindiran, maka berhati-hati menafsirkan sesuatu itu. Tetapi mungkin ada perkara-perkara agak keterlaluan hingga meminggirkan konsep adab dan tatasusila. Kita sama-sama ketahui, bercakap dengan ibubapa lain adabnya dan bercakap dengan kawan lain sifatnya. Begitu juga bercakap dengan pimpinan kita.. Walaupun niatnya amat baik tetapi alangkah indahnya jika cara dan niat ini dapat dimurnikan sekali. Begitu juga dengan penulisan.
Berkongsi pengalaman amat baik ianya membuka minda dan lebih memahami dan mendalami emosi.

Bagi yang pernah menonton cerita "Sumpah SeMerah Padi" lakunan Deddy M Borhan. Dalam dialognya; "Jika Ibu saya yang berzina nescaya akan saya ..." Perumpamaan dan contoh ibu dalam konteks ini amatlah biadap dan tidak sopan sama sekali. Perumpamaan anak kepada ibu berbeza dengan perupamaan bapa kepada anak. Perumpamaan itu mungkin baik tetapi pemilihan model atau contohnya amat tidak sesuai.

Tulisan tidak memilih sesiapa, ianya boleh dibaca dan dihayati oleh semua peringkat tanpa batas.

Kita pun ada mempelajari seerah Ar Rasul saw pernah bersabda dalam konteks ini, " Andainya Fatimah mencuri akan aku potong tangannya." Nah, ini ketegasan Ar Rasul saw dengan perumpamaan yang lebih tepat dan mendidik. Begitu juga dalam penulisan.

Dalam penulisan perlu ikhlas, bertanggung-jawab, bahan dan suasana hendak tepat. Mudah-mudahan ianya mendapat ganjaran setimpal. Tulis untuk mendidik. Menulis satu pengkongsian. Menulis untuk memberi satu hiburan. Penulisan itu juga satu sudut dakwah. Benar kata petatah “Tulisan lebih tajam daripada mata pedang.”

Monday, March 23, 2009

Demam seorang demam satu rumah.

Jika yang demam itu anak-anak, mereka cuma tidak ke sekolah sahaja. Tetapi jika yang demam itu isteri atau pun ibu rumah bagaikan kapal pecah.

Dalam perjalanan pulang dari suatu kursus di Gurun Kedah, aku terasa amat sejuk sekali. Tetapi kali ini bukan sebab pendingin udara dari kereta kami. Bukan juga dari kesejukan malam membelah lebuh raya utara selatan, walaupun telah melepasi waktu Isyak. Aku mungkin demam bisik aku di dalam hati. Aku menarik apa yang ada dan yang sempat dicapai. Sampin songket aku buat selimut. Walau pun agak sedikit berbau mungkin daripada peluh anak perempuan kami yang baru selesai empat hari berkursus silat. Kali ini kehadiran Nursyuhadah bukan sebagai peserta tetapi jurulatih yang melatih peserta lain dan suamiku seperti selalu diberi tanggung-jawab sebagai setiausaha kursus.
Mari kita asuh anak-anak kita sikap tolong-menolong. Jangan pentingkan diri sendiri dan berkasih-sayang di antara satu sama lain.

Aku amat khuatir jika aku deman, segala aktiviti di rumah akan terganggu. Jika anak-anak demam mungkin mereka akan tidak ke sekolah sahaja. Jika suami aku demam mungkin dia cuma tidak ke tempat kerja atau tidak keluar malam. Tetapi suamiku ini jarang-jarang sekali demam, kalau dia demam kerenah dan kemahuannya lebih dari budak-budak jenuh aku melayaninya.

Bantulah ibubapa bukan sahaja di dalam rumah malah di luar rumah. Ini contoh dua orang remaja puteri bergotong-royong mengindahkan persekitaran luar rumah. Sejuk hati Sang Ibu melihat anak-anaknya sebegini.

Badan aku amat panas pada keesokan hari itu dan suamiku berkali-kali menyuruh aku ke klinik. Aku sememangnya malas ke klinik. Pertama, sekurang-kurang dua puluh ringgit akan terbang. Kadang-kadang sehingga lima puluh ringgit. Kedua, aku tidak suka makan ubat. Tidak rela banyak bahan-bahan kimia masuk ke dalam badan ini. Ketiga aku tidak mahu menyusahkan jiran-jiran dan sesiapa jika ianya tidak teramat penting.

Adakah tugas wanita hanya didapur sahaja? Bagaimana dengan gambar di atas ini?

Mengemas rumah, membasuh kain, menyidai pakaian, ke pasar, memasak dan lain-lain semuanya aku buat semampu boleh. Anak-anak dan suami cuma kadang-kadang menolong dengan ala kadarnya sahaja. Kerap kali aku akan melarang mereka membantu kerana ada kalanya aku terpaksa membuat kerja tersebut sekali lagi kerana ada saja yang tidak sempurna. Sudah jadi dua kali kerja.

Daun bunga Cina dikatakan boleh menurunkan panas badan. Di Kampong Iboi semasa perjalanan ke Lata Celak dalam program keluarga JIM SPT.

Ada pada suatu ketika itu aku sungguh tidak puas hati kerana anakku menyatakan seorang ustazah di sekolahnya menyatakan kerja anak-anak ialah belajar sahaja. Segala kerja-kerja di rumah adalah tanggung-jawab ibu. Makan hati berulam jantung mendengarnya. Mungkin ada sedikit kebenaran kata-kata ustazah itu. Namun janganlah langsung tidak membantu kerja-kerja di rumah. Kerja-kerja pejabat masih ada masa dan hari-hari yang bercuti tetapi kerja-kerja di rumah langsung tiada cutinya. Hargailah kami yang bergelar isteri dan bekerjaya suri rumah ini. Bantu dan tolong-tolonglah kami di rumah.
Cadangkan jangan masak pada hari Ahad dan bawa keluarga makan di Radix Fried Chicken (RFC) di Sungai Petani atau di Alor Setar. pasti menghiburkan.

Kan seronok kerja dan bantu bersama.

Saturday, March 21, 2009

Amalan Gayong, Surah Al Ikhlas 70 Ribu.


'Empat Qul' di antara Surah yang baik untuk dibaca sebelum tidur. Dihembus ke arah kedua telapak tangan dan disapukan ke seluruh anggota sebanyak tiga kali.

Diantara amalan bagi pendekar Gayong ialah amalan dzikir Al Ikhlas sebanyak 70 ribu atau disebut "Qulhuwallah 70 Ribu". Amalan ini juga dipanggil "Khatam Qulhu". Bagi murid Silat Seni Gayong sudah pasti Ikrar Gayong menjadi pegangan hidup, taat kepada Allah, taat kepada baginda Rasulullah saw, taat kepada ibubapa, taat kepada Mahaguru, taat kepada wakil Mahaguru, taat kepada Sultan-Sultan serta kerajaannya dan taat kepada seahli segayong dengannya. Maka ketaatan kepada Allah menjadi pokok atau prinsip utama Gayong. Buat yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang Allah. Berbuat baik sesama insan, haiwan dan tumbuh-tumbuhan dan segala yang ditetapkan Allah SWT. Sudah barang tentu solat kita kena beres. Puasa kita kena beres, zakat kita kena beres begitulah seterusnya sesuai dengan perlaksanaan Rukun Islam dan Rukun Iman kita. Itu telah menjadi kemestian dan tiada pilihan lain lagi.

Silat tidak dapat dipisahkan dengan senjata keris. Mana yang lebih berkuasa ? Keris, pembuat keris atau Pencipta pembuat keris ? Semuanya daripada Allah SWT dan kepada Allah sahajalah kita akan kembalikan. Jangan sekali-kali kita bersandar selain daripada Allah SWT.


"Seorang sahabat berkata, "Ya Rasulullah, sesungguhnya syariat-syariat Islam sudah banyak bagiku. Beritahu aku sesuatu yang dapat aku menjadikannya pegangan." Nabi Saw berkata, "Biasakanlah lidahmu selalu bergerak menyebut-nyebut Allah (dzikrullah)." Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmidzi. Menyebut nama Allah merupakan dzikir yang amat sesuai kita praktikan ianya merupakan amalan tambahan untuk meningkatkan darjat keimanan kita. "Maukah aku beritahu amalanmu yang terbaik, yang paling tinggi dalam darjatmu, paling bersih di sisi Rabbmu serta lebih baik dari menerima emas dan perak dan lebih baik bagimu daripada berperang dengan musuhmu yang kamu potong lehernya atau mereka memotong lehermu? Para sahabat lalu menjawab, "Ya." Nabi Saw berkata, "Dzikrullah." Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah.

Barisan pelakun theater "The Dead Of The Worrior" memaparkan kisah Hang Jebat dibunuh oleh saudaranya Hang Tuah diatas arahan Sultan Melaka. Theater ini telah dipentaskan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan juga Johor Bharu.

"Tiada amal perbuatan anak Adam yang lebih menyelamatkannya dari azab Allah daripada dzikrullah". Hadis riwayat Imam Ahmad. Maka Surah Al Ikhlas adalah diantara surah yang mengajar dan mengingatkan kita akan bertauhid kepada Allah yang Maha Esa semata-mata. "Katakanlah, Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia". Surah Al Ikhlas atay 1-4. Ambillah sedikit masa dan kita lihat tafsir surah ini. Mudah-mudahan amalan kita lebih bererti jika kita faham maksud dan tafsirannya dan yang penting kita hayati amalan ini dengan penuh keberkatan. Semuanya kurniaan Allah SWT. Semoga dijauhi kita dari azab Api Neraka. InsyaAllah.


'Mambang Kuning' dianggap pelengkap amalan persilatan, manakah kebenaran kenyataan ini ? Kenapa di dalam cerita 'Pendekar Bujang Lapok' Allahyarham P.Ramlee mengutarakan amalan ini ? Adakah sebagai gurauan dan sindiran atau ianya benar-benar ujud ?

Amalkan "Khatam Qulhu" itu dengan membaca Surah Al Ikhlas sekurang-kurangnya 14 kali sehari semalam. Sebelum memulakannya bacalah Surah Al Fatihah sekali diikuti Surah Al Ikhlas 11 kali kemudian selawat Nabi 3 kali. Hadiahkan pahala bacaan itu kepada Rasulullah saw, keluarga baginda, sahabat baginda, ibu bapa kita, guru-guru kita seterusnya sekalian muslimin dan muslimat. Kemudia berdoalah agar dengan keizinan Allah kita dikurniakan kesejahteraan dan dilindungi dari mara bahaya di dunia dan di akhirat. Kemudian teruskan bacaan dzikir ini sebanyak mana yang dirancangkan dimulai dengan Al Fatihah sekali, Al Ikhlas dengan jumlah yang dihajati den tutup dengan selawat Nabi. Amalkan tiap-tiap hari tanpa terputus.


Dari mana datangnya 'Kuasa Kosmik' ini? Adakah ianya boleh dibuat-buat? Atau adakah ianya sekadar fenomena alam?

Baca sehingga mencapai 70 ribu. Syaratnya ialah kita sentiasa peka dan tahu jumlah bacaan seharian. Jika terlupa atau tertinggal bacaan harian ini maka haruslah dimulakan kembali dari satu. Dengan niat yang betul dan ikhlas nescaya Allah kurniakan keberkatanNya insyaAllah. Amalan bacaan surah-surah lain di dalam Al Quran juga banyak keberkatan dan hikmatnya. Bacalah semoga kita bersama beroleh kejayaan dunia dan akhirat. Yang pentingnya kita sentiasa membaca Al Quran Cuma jangan tinggal terus.

Hampir kesemua persilatan menggunakan istilah 'kuda-kuda' di dalam perbuatan ketika berdiri semasa latihan silat mereka. Mungkin kerana kestabilan gerak langkah atau kekuatan dan kepantasan yang ada. Namun ianya makhluk Allah SWT yang berkongsi penghidupan dengan kita. Bolehkah kita mengambil contoh dan iktibar daripadanya?

Al Quran Penawar dan Pentunjuk.

Tuesday, March 17, 2009

Silat Satu Yang Luar Biasa.

Dua orang sahabatku seorang ustaz dan seorang jurutera beraksi dengan permainan seni keris. Dua insan yang berlainan kerjaya bertemu di dalam satu gelanggang latihan.

"Tak best lah silat ini tak ada terbang-terbang" Itulah jawaban seorang rakan apabila aku mengajak dia melihat latihan silat di perkarangan Masjid Al Huda di Sungai Ara. Aku juga sependapat dengannya satu ketika dahulu sebelum aku mempelajaran silat Gayong ini. Ingin sungguh berkebolehan melompat tinggi ke sana-sini. Berkebolehan berjalan di atas air. Mampu melentur besi dengan tangan. Mempunyai kekuatan yang luar biasa menumpaskan ramai orang sekali jus. Macam cerita-cerita di layar perak.
Gurulatih muda tetapi kemahiran mereka tinggi. Mampu bermain seni parang panjang. Generasi mereka inilah patut diberi penumpuan khusus demi pembentukan pelapis pejuangan ini.

Aku masih berkeyakinan ini semua tidak mustahil jika diamalkan latihan dan amalan dengan betul serta dengan izin Allah. Namun adakah itu sahaja matlamat kita belajar silat. Untuk dijadikan jaguh dan mempunyai kekuatan luar biasa? Mungkin ada yang menjawab "Ya". Aku sanjungi pegangan itu, tapi bagi aku "Tidak". Kerana bagi aku silat mempunyai agenda yang lebih besar dari itu. Ianya adalah wasilat atau alat untuk kita berinteraksi di antara satu sama lain. Tidak boleh seorang seorang. Ianya adalah satu bentuk tarbiah atau cara mendidik insan. Agar berpegang teguh dengan Tali Allah (Al- Quran dan As Sunnah) dan jangan bercerai-berai. Ianya adalah satu perjuangan yang berterusan. Mempertahankan aqidah, diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Di bahu mereka aku meletakan harapan mengunung kerana aku mungkin tidak akan mampu bertahan lama. Lumrah alam setiap yang bersifat 'baharu' akan pergi. Semoga menjadi amal soleh.

Silat mempunyai tolakan yang luar biasa. Muridnya sungguh taat kepada guru. Sanggup berlatih dengan keras tanpa memperhitungkan penat, lelah, sakit, cedera dan segala natijah (hasil) dari risiko latihan keras itu. Tujuannya demi mendapat kemahiran yang tinggi. Sabar bila diuji guru. Sabar bila dicabar orang untuk berkelahi mahupun untuk menguji kekuatan. Lagi tinggi ilmunya lagi tunduk dia merendah diri. Ini memang luar biasa.
Inilah hasil titik peluh bersama Gayong. Semoga mereka menghargainya bukan untuk seseorang tetapi untuk warga Gayong keseluruhannya. Jadilah benteng pertahanan agama.

Itu pesan guruku agar jangan dipersia-siakan seni silat ini kerana ianya suatu kurniaan yang mempunyai daulatnya tersendiri. Aku yakin ilmu ini jika diperturunkan dengan baik akan menjadi amal soleh yang akan berterusan pahalanya walaupun kita sudah tiada. Semoga tiada yang menyalah-guna ilmu persilatannya.

Hidup Mulia Mati Syaahid

Monday, March 16, 2009

Sedangkan lidah lagi tergigit.

Aku kerap membawanya bersama ke majlis kenamaan di hotel terkemuka.

Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Benar kata-kata ini, tidak dapat dinafikan dalam bahtera berumah-tangga ada kalanya berlaku kesilapan atau kesalahan. Ada yang tersinggung, ada yang merajuk dan ada yang marah sekali. Malah ada yang bercerai-berai lantaran tidak mampu menerima masalah yang menimpa-nimpa. Ini hakikat kehidupan.
Mudah-mudahan dapat kita bersama nanti di dalam "Mahligai Rindu" para pejuang.


Lumrah penghidupan itu tidak semestinya semuanya bermasalah. Tetapi yang pentingnya ialah kita menyedari masalah itu dan berusaha memperbaikinya. Toleransi dalam hidup perlu dibina. Jangan dijadikan perkara-perkara yang tidak sependapat seperti mengenai warna baju, kain langsir, warna dinding rumah dan seumpamanya dijadikan perkara penting. Jangan sampai pemilihan masakan, pinggan-mangkok dan perabut dijadikan isu besar. Tetapi soal aqidah dan ibadah diperlonggarkan. Ambil semuanya "tidak apa". Sebenarnya itulah yang akan ditanya apabila kita di alam kubur nanti.

Berpersatuan sebagai wadah membantu mereka yang memerlukan. Apatah lagi keluarga dan sahabat sendiri. Manfaatkan masa anda.

Suruhlah bersolat, menjaga kehormatan dan pergaulan, berbakti kepada orang tua dan jiran, berakhlak dan bersopan, menutup aurat, pergi ke majlis ilmu dan banyak lagi boleh kita sepakat melakukannya. Gaulilah orang-orang soleh dan bersama berpersatuan yang dapat membina iman dan amal. Jika tidak tahu mana yang hendak dipilih, mari menyertai JIM, Persatuan Jamaah Islah Malaysia. Ianya pilihan saya.

"Aku mesti pilih"

Thursday, March 12, 2009

Akan Ku Bersama Mu Walaupun Ke Gunung Tahan


Tahun 2000 mencatat sejarah buat kami. Diizinkan Allah SWT sampai ke Puncak Gunung Tahan dengan serba kekurangan Alhamdulillah.

Kehadapan suamiku yang dicintai. Sengaja ku tulis warkah ini untuk tatapanmu. Tidak bermaksud apa-apa cuma sekadar ingin menyampaikan ucapan terima kasih kerana sudi menjadi teman hidupku. Ku pohon bila dikau berkesempatan membaca warkahku ini, bacalah dengan hati yang terbuka. Kerana berkemungkinan aku tidak akan mampu menulisnya buat kali yang kedua. Ku berdoa agar Allah SWT mengurniakan tambahan kekuatan buat kita berdua agar sentiasa bersama di dalam bahtera rumah tangga ini. Aku bersyukur bahtera kita ini sudah di dalam pelayarannya yang melebihi 23 tahun. Segala ombak dan badai kita harungi bersama. Mungkin kebanyakan suasana pelayaran kita nyaman sentiasa dengan hembusan bayu lembut yang kita alami namun aku masih terus berdoa agar suasana ini berterusan.

Apakah yang didoakan beliau? Bagi aku, ku pohon Allah SWT memudahkan dan memberkati perjalanan hidup kami sekeluarga.

Suamiku, aku meminta maaf jika aku nyatakan di sini aku tidak pandai mengasuh dan mendidik anak-anak kita. Pelajaranku cuma lepasan tingkatan lima sekolah Melayu berbanding dengan dikau dari aliran Inggeris berkelulusan IPTA. Tetapi aku tetap bersyukur dikau memilih aku sebagai teman hidupmu. Walaupun pada mulanya aku sungguh sangsi kejujuran dan kesungguhan hatimu. Kau datang daripada keluarga yang berada manakala aku anak yatim daripada keluarga nelayan miskin pada ketika itu. Engkau sendiri pernah melihat pondok usang rumahku di pinggiran hutan bakau dekat tepi laut. Bagaikan Sang Enggang dengan Si Pipit mungkin tidak bisa terbang bersama. Itu andaianku pada ketika itu.

Suamiku, dahulu keislamanku amat tipis, terima kasih kerana membimbing diriku hingga aku sebegini. Solat dan puasa dapat aku laksanakan dengan baik, aurat aku terpelihara dan yang pentingnya pergaulanku sentiasa bersama dengan mereka yang soleh dan solehah dan aku cukup selesa dan bahagia dengan suasana sebegini. Aku sudah kenal erti kehidupan, aku sudah kenal medan dakwah dan aku sudah kenal gelanggang perjuangan. Ku meniti saki baki hidup ini dengan amalan berfaedah sekali. Aku senang sebegini. Alhamdulillah.

Saat bahagia kami diijab-kabulkan pada tahun 1985 di sebuah rumah usang di Kampong Sulup, Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Tempat aku dibesarkan.

Suamiku, aku tahu dikau tidak mampu memberi wang ringgit yang banyak, membaluti tubuhku dengan emas dan intan permata. Tetapi aku dan anak-anak tidak pernah kelaparan. Aku dan anak-anak tidak pernah tiada pakaian. Aku dan anak-anak tidak pernah tiada tempat berlindung hujan dan panas. Dikau keluar sebelum matahari naik dan dikau kembali ketika matahari hampir menghilangkan cahayanya. Ku lihat dikau selalu keletihan dan kerap-kali tertidur sewaktu menonton warta berita di TV jam lapan malam. Aku biarkan sahaja kerana aku tahu kau keletihan. Kadang-kadang aku rasakan badanmu panas. Adakah kau demam tetapi jawabanmu biasa mungkin banyak minum kopi Radix. Selepas Isyak kau kerap akan keluar lagi samada aku temani atau pun keseorangan. Aku amat faham itu tugasmu memimpin masyarakat.

Aku sering bersama beliau walaupun terpaksa membawa anak kecil kami Muhammad Sobri seperti ke Perkhemahan Semangat Waja (PERKASA) anjuran JIM Pusat.

Suamiku,semoga dikau sentiasa sihat, walafiat, bertambah baik rezeki kita dan diberkati. Dipermudahkan usaha dan dikurniakan keselamatan. Aku harapkan aku masih mampu menjadi pendorong untuk dikau lebih berjaya dalam perjuanganmu yang aku yakin pasti ada ganjaran di sisi Allah SWT buat kita berdua. Kau selalu berkata jika kita tolong agama Allah, Allah pasti akan menolong kita. Teruskan perjuanganmu. Aku bangga menjadi isterimu.

Terima kasih suamiku.

Tuesday, March 10, 2009

Maulidur Rasul 1430


Bersama YB Tuan Mohammad Fairus Khairuddin TKM 1 Negeri Pulau Pinang pada pagi hari Isnin 9 Mac 2009 bersamaan 12 Rabiulawal 1430 di Padang Kota Lama, Persiaran Gurney, Pulau Pinang.

Sejumlah 49 kontijen daripada agensi kerajaan, NGO dan IPT telah siap seawal 7.00 pagi lengkap dengan pakaian seragam masing-masing. Sambutan Perarakan Maulidur Rasul bertemakan "Wahdah Pemangkin Khaira Ummah". Aku juga turut serta bersama anak-anak buah di serata Pulau Pinang. Tujuan kami satu, ingin mengokong usaha-usaha untuk meninggikan syiar Islam di Bumi Pulau Mutiara ini. Jika bangsa lain mampu berarak dengan acara keagamaan masing-masing maka ummat Islam pun ada "izzah" untuk buat begitu. Cuma ada dikalangan cerdik-pandai mempertikaikan percampuran lelaki dan perempuan dalam majlis itu. Moga diterima usaha kerdil kami ini dan diampuni segala kesalahan kami.

Biarlah mereka berbicara mengikut keilmuan masing-masing. Rasanya fakwa sudah ada, mungkin cuma garis panduannya belum diwar-warkan secara meluas. Kami warga silat mempunyai agenda murni menonjolkan diri agar kekuatan yang ada sedikit-sebanyak ini dapat memberi satu indikator yang sihat. Masih ada warga silat di pulau ini. Masih ada yang peka dalam memperjuangan maruah negara.

Sungguh akrab warga Gayong berhimpun dengan berbagai peringkat bersama mendokong perjuangan yang satu berniat untuk menegakan syariat di Bumi Allah dengan segala bantuan yang termampu.

Slogan kami mudah "Hidup Mulia Mati Syahid". Mudah-mudahan itulah yang akan kami perjuangkan di semua peringkat.

Ya Allah redhakan kami mati syahid. Amiin.

Saturday, March 7, 2009

Terima Kasih Kerana Sudi Bersama


Selat Tebrau mengamik kenanganku di masa silam. Bagaimana Singapura oleh terpisah ? Mungkinkah Pulau Pinang akan mengulangi sejarah yang sama pada satu ketika nanti? Entahlah. Habislah kita para blogger ooi .....
Alhamdulillah. Sudah lebih 6 bulan blog ini dilancarkan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada para pengunjung yang melayari blog ini. Terima kasih kepada insane marhaem kerana banyak membantu dan bersusah payah memberi nasihat dan tunjuk ajar. Memang semenjak dahlu aku memang ‘respect habis’ kepadanya. Petama dia mula makan garam daripada aku. Kedua dia mempunyai sifat kesabaran yang sangat tinggi dan aku tahu aku ini kurang sabar. Ketiga dan seterusnya tidak perlu aku sambungkan lagi nanti kembang lubang hidungnya. Segala penulisan kita para blogger merupakan bahan yang tidak lain dan tidak bukan untuk menyampaikan mesej dakwah dan kebajikan disamping kisah-kisah benar yang dipaparkan.

Blog kita juga memaparkan realiti apa yang sedang berlaku dari masa ke semasa dan tidak terhad dengan isu setempat tetapi merangkumi keseluruhannya. Medan maya ini amat cepat berubah dan sentiasa bergolak. Maka segala informasi kita harus juga berupaya menyaingi arus perubahan dan pergolakan ini. Sebagai wadah yang membawa imej Islam maka marilah kita para blogger bersama bertanggung-jawab untuk bersama di dalam perlumbaan maya ini. Blog ini kita yakin memberi hidangan alternative kepada peminat dan pelayar sekelian.

Inilah 'office' tempat kerjaku di Renesas Semiconductor (Malaysia) Sdn Bhd di Bayan Lepas. Sudah 28 tahun lebih aku di sini. Entah sampai bila mampu bertahan dengan kegawatan ekonomi ini. Tetapi aku insyaAllah tetap yakin dengan rezeki yang Allah SWT tentukan. Ya Allah keluarkanlah kami daripada kemelut kegawatan ini.

Semoga anda akan tetap bersama mengikuti dan melestari blog-blog kami ini. Segala tunjuk-ajar dan komentar adalah amat dialu-alukan. Terima kasih di atas keprihatinan semua. Teruskan melayari blog kami ini.

Kalau ada manfaatnya ceritakan kepada yang lain. Jika tidak elok itu ceritakan balik kepada kami.

Tuesday, March 3, 2009

Ziarah merapatkan silaturrahim.

Sikap yang terpuji YDP JIM PP Ir Hj Jamaludin bersama TYDPnya penguam Mustafa Basri menziarahi ajk JIM negeri Dr Aidi di kediamannya.

Sebagai insan kita perlu kepada bemasyrakat, bergaul atau bermuamalah. Mungkin kita berpendapat, "Mana boleh, hendak pergi semua rumah, setahun pun tidak boleh habis". Memang benar kata-kata itu, namun ada perkara itu jika kita merasakan ianya penting jangan diabaikan . Carilah jalan untuk melaksanakannya. Buat jadual dan aturcara. Rasanya molek sekali kita ziarahi mereka yang sepatutnya kita ziarahi.

Mulakan dengan keluarga terdekat, seperti ibu bapa, adik, abang dan kakak. Kemudian mereka yang ada talian, sahabat, anak buah atau rakan sepejabat, rakan sepertubuhan. Apatah lagi jika kita sebagai pengerusi, Yang Dipertua atau AJK Induk, harus kita menziarahi ahli-ahli kita. Sebagai penambat hati bawalah sedikit juadah atau buah tangan. Kita juga dapat makan bersama.

Bayangkan jika hati sudah tertambat tentu perjalanan pertubuhan akan lancar dengan sokongan padu daripada ahli-ahli ini. Tiadalah kita dikatakan hanya bercampur-gaul dengan puak atasan sahaja. Sebagai pimpinan mahupun ajk semua ahli perlu disantuni dengan sebaik mungkin.

Ziarah juga membuka rahmat dan insyaAllah rezeki buat kita. Bertanya khabar dan saling mengambil berat akan menjernihkan kehidupan ini. Alangkah indah hidup ini.