BICARA AGAMA
ARKIB : 05/06/2009
Wang pampasan wajib dizakat
Seorang
kenalan saya menyatakan bahawa wang graduiti tidak dikenakan zakat kerana ia
bukan pendapatan tetapi pampasan daripada majikan. Bolehkah dijelaskan hal ini?
Jawapan:
Wang
pampasan atau gratuity adalah termasuk ke dalam harta mustafad (al-mal
al-mustafad). Ini kerana, wang tersebut diterima atas illat (alasan) daripada
pekerjaan yang telah dilakukan.
Jika
tidak kerana pekerjaan sekali pun, katakanlah atas alasan dihadiahkan oleh
seseorang, maka ia masih tunduk kepada zakat. Ia wajib dikira zakat setelah
cukup haulnya, yakni dikenakan zakat ke atas baki wang berkenaan.
Sebuah
hadis boleh dijadikan sandaran iaitu, Rasulullah SAW bersabda: Jika kamu
memiliki 200 dirham dan genap haulnya maka di dalamnya (ada zakat sebanyak) 5
dirham, dan tidak takwa ke atas kamu (dalam) sesuatu iaitu di dalam emas,
sehingga kamu memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar dan genap
haulnya, maka di dalamnya (zakat) setengah dinar. (riwayat Abu Daud)
Inilah
dalil bahawa wang yang diperolehi atas jalan apa sekali pun, maka wajib
dizakatkan. Cuma yang menjadi khilaf ialah sama ada perlu ditunggu genap
setahun ataupun terus dizakatkan semasa mendapat wang berkenaan.
Maka, di
sini pendapat yang aula ialah menunggu sehingga cukup haulnya, dan selepas itu
ia dizakatkan kepada apa yang berlebih.
Namun,
tidak salah jika mahu terus mengeluarkan zakatnya pada masa ia diperolehi, demi
merebut ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang menyegerakan
kebaikan.
*Untuk
maklumat lanjut sila layari www.e-zakat.com.my atau emel kepada
hamizul@e-zakat.com.my
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz47ZXBVeBy
© Utusan Melayu (M) Bhd