Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Showing posts with label Cetusan Ummu Hidayah. Show all posts
Showing posts with label Cetusan Ummu Hidayah. Show all posts

Sunday, January 17, 2010

Perkongsian Kuntuman Mawar Nur Iman

Siti Mariah dan Wardatul Iman sentiasa memberi senyuman kepada hadirin yang datang mengucapkan tahniah. Setahun mereka bersahabat di maya. Sekarang mereka berkongsi suka duka bersama sebagai satu keluarga.

Sabtu 16 Januari 2010 jam 11.00 pagi aku menemani suamiku, turut serta anak kami Muhammad Sobri dan Hj Atan sahabat suamiku pergi meraikan majlis kenduri kesyukuran pernikahan kedua Ust Ahmad Fahmi Abu Bakar. Bertempat di Sekolah Tahfiz Al Islah Tok Bedu Tasik Gelugor. Majlis yang ringkas penuh mahabbah dihadiri rakan dan kenalan rapat sahaja.
Aku memang kenal rapat dengan Wardah nama timbangnnya, Gadis berbangsa sikh. Kami pernah bersilat bersama satu ketika dahulu di bawah kelolaan suamiku. Wardah terpaksa berhenti bersilat diatas faktor kesihatannya. Kini sebagai guru besar di Sek Tahfiz Al Islah Tok Bedu, Tasik Gelugor.


Barakallah, barakallah semoga keluarga ini dikurniakan kuntuman-kuntuman cahaya yang gemilang.

Aku seperti biasa akan selalu menemani suamiku di mana-mana yang perlu dan mampu. Bukan apa, kadang-kala kesian melihat beliau ke sana ke sini. Apatah lagi semalam dan hari ini beliau kurang sihat, badannya panas, pehanya berbisul, matanya hangat. Tetapi beliau masih katakan "Tak pa panas sikit je kerana selalu minum kopi Radix".

Siti Mariah dan Wardatul Iman ditakdirkan berkongsi suatu keluarga besar. Wardahlah bersungguh-sungguh memilih seorang muslimat warga Indonesia ini yang pernah menjadi pembantu rumah di Taiwan dan berasal dari Kampong Cilacap di Jawa Tengah. Pengalaman menjadi pembantu rumah di dalam masyarakat Cina sudah tentu banyak pahit dari manisnya kadang-kala terpaksa menyediakan masakan daripada khinzir dan sebagainya.
Melahirkan rasa syukur, anak-anak juga tumpang gembira. Hidangan keluarga dibuat serba ringkas.

Pengenalan akrab melalui internet telah mendorong Wardah untuk menyelamatkan muslimat ini. Segala peraturan dan segala perundangan diusahakan sebaik mungkin dan beberapa kali naik turun makamah telah membuah hasil yang sangat murni. Ustaz Ahmad Fahmi dan Wardah telah berjaya membawa Siti Mariah dalam usianya 26 tahun bersama ke dalam keluarga duat ini. Perjuangan dan tarbiah serta dengan niat untuk melahirkan generasi mujahid dan mujahidah menjadi di antara landasan hidup. Ini satu perkahwainan kali kedua ustaz yang sudah semesti disokongi kuat oleh Wardah sesuai dengan namanya kuntuman mawar yang mekar dengan cahaya iman.


Hj Atan di antara tetamu jemputan khas dan di antara yang awal menjamu selera.
Aku tersangat hairan dan keliru mengapa kebanyakan kenalan yang bersalaman dengan Wardatul Iman menangis kerana tidak mampu menahan air mata. Sedang Wardah tenang menyambut para tetamu. Linangan air mata mereka adakah kerana terasa berkongi kegembiraan atau perasaan terharu kerana Wardah sanggup berkongi suka duka bersama Siti Mariah di dalam keluarga mereka?

Monday, March 23, 2009

Demam seorang demam satu rumah.

Jika yang demam itu anak-anak, mereka cuma tidak ke sekolah sahaja. Tetapi jika yang demam itu isteri atau pun ibu rumah bagaikan kapal pecah.

Dalam perjalanan pulang dari suatu kursus di Gurun Kedah, aku terasa amat sejuk sekali. Tetapi kali ini bukan sebab pendingin udara dari kereta kami. Bukan juga dari kesejukan malam membelah lebuh raya utara selatan, walaupun telah melepasi waktu Isyak. Aku mungkin demam bisik aku di dalam hati. Aku menarik apa yang ada dan yang sempat dicapai. Sampin songket aku buat selimut. Walau pun agak sedikit berbau mungkin daripada peluh anak perempuan kami yang baru selesai empat hari berkursus silat. Kali ini kehadiran Nursyuhadah bukan sebagai peserta tetapi jurulatih yang melatih peserta lain dan suamiku seperti selalu diberi tanggung-jawab sebagai setiausaha kursus.
Mari kita asuh anak-anak kita sikap tolong-menolong. Jangan pentingkan diri sendiri dan berkasih-sayang di antara satu sama lain.

Aku amat khuatir jika aku deman, segala aktiviti di rumah akan terganggu. Jika anak-anak demam mungkin mereka akan tidak ke sekolah sahaja. Jika suami aku demam mungkin dia cuma tidak ke tempat kerja atau tidak keluar malam. Tetapi suamiku ini jarang-jarang sekali demam, kalau dia demam kerenah dan kemahuannya lebih dari budak-budak jenuh aku melayaninya.

Bantulah ibubapa bukan sahaja di dalam rumah malah di luar rumah. Ini contoh dua orang remaja puteri bergotong-royong mengindahkan persekitaran luar rumah. Sejuk hati Sang Ibu melihat anak-anaknya sebegini.

Badan aku amat panas pada keesokan hari itu dan suamiku berkali-kali menyuruh aku ke klinik. Aku sememangnya malas ke klinik. Pertama, sekurang-kurang dua puluh ringgit akan terbang. Kadang-kadang sehingga lima puluh ringgit. Kedua, aku tidak suka makan ubat. Tidak rela banyak bahan-bahan kimia masuk ke dalam badan ini. Ketiga aku tidak mahu menyusahkan jiran-jiran dan sesiapa jika ianya tidak teramat penting.

Adakah tugas wanita hanya didapur sahaja? Bagaimana dengan gambar di atas ini?

Mengemas rumah, membasuh kain, menyidai pakaian, ke pasar, memasak dan lain-lain semuanya aku buat semampu boleh. Anak-anak dan suami cuma kadang-kadang menolong dengan ala kadarnya sahaja. Kerap kali aku akan melarang mereka membantu kerana ada kalanya aku terpaksa membuat kerja tersebut sekali lagi kerana ada saja yang tidak sempurna. Sudah jadi dua kali kerja.

Daun bunga Cina dikatakan boleh menurunkan panas badan. Di Kampong Iboi semasa perjalanan ke Lata Celak dalam program keluarga JIM SPT.

Ada pada suatu ketika itu aku sungguh tidak puas hati kerana anakku menyatakan seorang ustazah di sekolahnya menyatakan kerja anak-anak ialah belajar sahaja. Segala kerja-kerja di rumah adalah tanggung-jawab ibu. Makan hati berulam jantung mendengarnya. Mungkin ada sedikit kebenaran kata-kata ustazah itu. Namun janganlah langsung tidak membantu kerja-kerja di rumah. Kerja-kerja pejabat masih ada masa dan hari-hari yang bercuti tetapi kerja-kerja di rumah langsung tiada cutinya. Hargailah kami yang bergelar isteri dan bekerjaya suri rumah ini. Bantu dan tolong-tolonglah kami di rumah.
Cadangkan jangan masak pada hari Ahad dan bawa keluarga makan di Radix Fried Chicken (RFC) di Sungai Petani atau di Alor Setar. pasti menghiburkan.

Kan seronok kerja dan bantu bersama.

Thursday, March 12, 2009

Akan Ku Bersama Mu Walaupun Ke Gunung Tahan


Tahun 2000 mencatat sejarah buat kami. Diizinkan Allah SWT sampai ke Puncak Gunung Tahan dengan serba kekurangan Alhamdulillah.

Kehadapan suamiku yang dicintai. Sengaja ku tulis warkah ini untuk tatapanmu. Tidak bermaksud apa-apa cuma sekadar ingin menyampaikan ucapan terima kasih kerana sudi menjadi teman hidupku. Ku pohon bila dikau berkesempatan membaca warkahku ini, bacalah dengan hati yang terbuka. Kerana berkemungkinan aku tidak akan mampu menulisnya buat kali yang kedua. Ku berdoa agar Allah SWT mengurniakan tambahan kekuatan buat kita berdua agar sentiasa bersama di dalam bahtera rumah tangga ini. Aku bersyukur bahtera kita ini sudah di dalam pelayarannya yang melebihi 23 tahun. Segala ombak dan badai kita harungi bersama. Mungkin kebanyakan suasana pelayaran kita nyaman sentiasa dengan hembusan bayu lembut yang kita alami namun aku masih terus berdoa agar suasana ini berterusan.

Apakah yang didoakan beliau? Bagi aku, ku pohon Allah SWT memudahkan dan memberkati perjalanan hidup kami sekeluarga.

Suamiku, aku meminta maaf jika aku nyatakan di sini aku tidak pandai mengasuh dan mendidik anak-anak kita. Pelajaranku cuma lepasan tingkatan lima sekolah Melayu berbanding dengan dikau dari aliran Inggeris berkelulusan IPTA. Tetapi aku tetap bersyukur dikau memilih aku sebagai teman hidupmu. Walaupun pada mulanya aku sungguh sangsi kejujuran dan kesungguhan hatimu. Kau datang daripada keluarga yang berada manakala aku anak yatim daripada keluarga nelayan miskin pada ketika itu. Engkau sendiri pernah melihat pondok usang rumahku di pinggiran hutan bakau dekat tepi laut. Bagaikan Sang Enggang dengan Si Pipit mungkin tidak bisa terbang bersama. Itu andaianku pada ketika itu.

Suamiku, dahulu keislamanku amat tipis, terima kasih kerana membimbing diriku hingga aku sebegini. Solat dan puasa dapat aku laksanakan dengan baik, aurat aku terpelihara dan yang pentingnya pergaulanku sentiasa bersama dengan mereka yang soleh dan solehah dan aku cukup selesa dan bahagia dengan suasana sebegini. Aku sudah kenal erti kehidupan, aku sudah kenal medan dakwah dan aku sudah kenal gelanggang perjuangan. Ku meniti saki baki hidup ini dengan amalan berfaedah sekali. Aku senang sebegini. Alhamdulillah.

Saat bahagia kami diijab-kabulkan pada tahun 1985 di sebuah rumah usang di Kampong Sulup, Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Tempat aku dibesarkan.

Suamiku, aku tahu dikau tidak mampu memberi wang ringgit yang banyak, membaluti tubuhku dengan emas dan intan permata. Tetapi aku dan anak-anak tidak pernah kelaparan. Aku dan anak-anak tidak pernah tiada pakaian. Aku dan anak-anak tidak pernah tiada tempat berlindung hujan dan panas. Dikau keluar sebelum matahari naik dan dikau kembali ketika matahari hampir menghilangkan cahayanya. Ku lihat dikau selalu keletihan dan kerap-kali tertidur sewaktu menonton warta berita di TV jam lapan malam. Aku biarkan sahaja kerana aku tahu kau keletihan. Kadang-kadang aku rasakan badanmu panas. Adakah kau demam tetapi jawabanmu biasa mungkin banyak minum kopi Radix. Selepas Isyak kau kerap akan keluar lagi samada aku temani atau pun keseorangan. Aku amat faham itu tugasmu memimpin masyarakat.

Aku sering bersama beliau walaupun terpaksa membawa anak kecil kami Muhammad Sobri seperti ke Perkhemahan Semangat Waja (PERKASA) anjuran JIM Pusat.

Suamiku,semoga dikau sentiasa sihat, walafiat, bertambah baik rezeki kita dan diberkati. Dipermudahkan usaha dan dikurniakan keselamatan. Aku harapkan aku masih mampu menjadi pendorong untuk dikau lebih berjaya dalam perjuanganmu yang aku yakin pasti ada ganjaran di sisi Allah SWT buat kita berdua. Kau selalu berkata jika kita tolong agama Allah, Allah pasti akan menolong kita. Teruskan perjuanganmu. Aku bangga menjadi isterimu.

Terima kasih suamiku.