Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Tuesday, May 25, 2010

'Hujan itu' tidak mengira tempat.

Kanak-kanak bermain air dan yang dewasa teruskan dengan ibadah-ibadahnya. Itu tabi'i sikap berbeza kanak-kanak dan yang dewasa.

Hujan ini tidak mengira tempat. Di mana-mana pun ianya boleh turun dengan izin Allah SWT. Hujan merupakan rahmat dan di antara faktor kesinambungan kehidupan. Jika jumlahnya mencukupi ianya akan mengimbangi kelansungan kehidupan dan putaran alam. Jika ianya berlebihan atau kekurangan, ini merupakan satu uijan yang boleh membinasakan.

Kita lihat di rumah Allah di Baitullah Al Haram, kawasan Kaabah pun hujan turun sehingga berlakunya banjir. Lihatlah gelagat anak-anak ‘Tok Arab’ asyik bermain air manakala yang dewasanya meneruskan niat untuk beribadat ke hadrat Allah SWT. Itu keindahan kehidupan.

Hidup bermasyarakat, berpersatuan, beraktiviti dan bergotong-royong merupakan pelengkap hidup. Kita akan kesunyian jika aspek ini terabai.

Begitulah hakikat iklim kehidupan. Ada kalanya terik dan kalanya hujan lebat disertai panahan petir. Tidak dinafikan bahawa seluruh kehidupan itu ada yang tenang dan damai. Cuacanya yang selalu terang dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang menyamankan. Hidup ada susah senangnya.

Semua kita sedar akan keadaan ini namun tidak semua mampu bertahan dengan mehnah atau dugaan Tuhan ini. Bagi yang tidak beriman, mereka akan salahkan persekitaran sebagai penyebab atau akan menuduh diri sendiri dan mungkin orang lain yang menjadi punca kegagalan atau kesempitan kehidupan ini. Dia tidak naik pangkat sebab ada yang mengadu-domba kononnya. Perniagaan dia runtuh sebab ada yang dengki dan berbuat bermacam muslihat. Kehidupan merana sebab sial seseorang. Anak tidak lulus peperiksaan sebab kelemahan sekolah dan guru yang tidak pandai mengajar. Begitulah seterusnya, mereka akan menuding jari kepada orang lain. Tanpa mengkaji hakikat sebenarnya.

Jika kita yakin dan beriman dengan Allah serta ajaran Islam tentu perkara sebegini dapat ditangani dengan baik. Para ambiya’ (nabi dan rasul) pun tidak terkecuali dengan ujian Allah, apatah lagi kita manusia biasa ini. Dengan rahmat dan kasih-sayang, Allah menguji kita agar kita insaf dan berharap akan pertolonganNya. DiujiNya untuk menaikkan darjat keimanan kita. DiujiNya untuk menebus dosa-dosa kita agar terhapus di dunia sahaja dan tidak ditangguh di akhirat. DiujiNya untuk membezakan di antara mereka yang sabar dengan yang cepat berputus asa.

Perkahwinan merupakan gerbang kebahagiaan berumah-tangga. Ianya juga merupakan bermulanya langkah ke suatu ujian pengkongsian kehidupan. Hadapilah ia dengan penuh kewarasan dan banyakkan bertolak-ansur.

Ujian-ujian ini diturunkan berbeza diantara kita mengikut tahap kemampuan. Ujian diri, ujian keluarga, ujian kerjaya, ujian masyarakat dan begitulah seterusnya. Ada ujian yang besar dan ada ujian yang kecil sahaja. Carilah penawar atau jalan penyelesaiannya. Itu yang terpenting. Disamping redha dengan ujian tersebuat, kita berusaha menghilangkan atau mengurangkannya. Usaha yang berterusan dan kesudian berkongsi dengan sahabat-sahabat boleh melorongkan ke arah penyelesaian. Buang sikap ego bahawa kita sahaja yang boleh menghadapi ujian ini, orang lain tidak faham dan tidak akan memberi faedah lansung.

Untuk menghadapi ujian mungkin harus kita membuat perubahan. Perubahan dari yang kebiasaan atau keselesaan. Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu yang merubahkannya sendiri. Perkara yang kita senangi itu mungkin selama ini kurang baik atau tidak sesuai diteruskan dan kemungkinan pekaraa yang kita tidak suka itu baik dilaksanakan dalam konteks sekarang ini. Bersedialah dan teruskan perubahan.

Akhir sekali setelah kita redha dan berusaha maka tiba masa kita berdoa kepada Allah SWT. Merayu dengan penuh kehinaan dan rendah diri bahawa Allah sahajalah yang Maha Penentu segalanya. Perkara yang lain-lain itu hanya penyebab yang diizinkan untuk menjadi sesuatu itu berlaku. Tidak juga mustahil Allah menjadikan sesuatu perubahan itu tanpa penyebab. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa.

Bagi kita yang telah, sedang dan akan diuji, marilah kita berdoa untuk diri, keluarga dan rakan-rakan kita agar Allah SWT memberi jalan keluar yang terbaik dan segera kepada kita. Sebutlah nama sahabat-sahabat kita satu persatu agar Allah memberkati dan memakbulkan doa hambanya yang kerdil ini.

Doa-doa di belakang sahabat itu mustajab.

Saturday, May 8, 2010

Kau Belum Tahu Apa-apa Anakku.

Kau belum tahu erti kehidupan, keseronokan bukan hakikat hidup sebenar anakku . Kita ini dijadikan Allah untuk beribadat kepadaNya namun diberi kita peluang berkeluarga dan bermasyarakat. Tidaklah disuruh kita tinggal di gua atau di dalam hutan. Gunakan kesempatan ini untuk berbakti kepada keluarga dan masyarakat. Berbakti kepada keluarga diantaranya ialah dengan mematuhi nasihat dan saranan mereka. Tiada ibubapa yang mahukan anak-anaknya terpinggir dalam kehidupan, terabai dalam keluarga atau terumbang-ambing hanyut dengan arus kehidupan yang mencabar ini. Terimalah saranan mereka walaupun ianya bertentangan dengan naluri kita dan walaupun nampak tidak seronok.


Sentiasa bersama dalam aktiviti mereka kerana ianya mengundang keberkatan dan keberkatan ini mungkin tidak nampak di mata tetapi yakinlah ianya memberi ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup. Ambil kesempatan apabila ayah mengajak kita keluar bersama kerana itulah masa emasnya yang beliau tempah khas untuk kita. Jika tidak bukankah dia selalu ke sana ke sini dengan aktiviti masyarakatnya bekerja siang dan malam dan selalu keletihan apabila pulang ke rumah. Hargailah masa yang diberi dan jangan lepas peluang ini. Dahulu ke mana aku dan ibumu pergi kami pasti membawa kamu. Tidak kira ke mana ya betul. Ke tepi pantai, sungai dan air terjum, ke pinggir hutan. Hari-hari aku bersama mu semakin singkat sedangkan kau cuba melarikan diri dariku. Kenapa ?

Bersukan bersama keluarga adalah ruangan yang paling baik. Disamping mendapat manfaat kesihatan badan ianya juga merapatkan keintiman kekeluargaan. Bagi ayah rancangkanlah masa cuti agar dapat beriadah bersama keluarga. Mungkin ada di kalangan anak-anak yang tiada di rumah kerana belajar di tempat lain namun yang tinggal di rumah mesti diberi perhatian juga. Tidak perlu sampai sepanjang hari cukuplah beberapa jam seminggu tetapi berterusan. Pasti kita akan rasai suatu perubahan besar dalam hidup ini.


Jangan sampai nanti ada yang merasakan terabai lalu sisihkan diri mereka. Malanglah jika ibubapa tiada dapat mengesan masalah rumah-tangga mereka dari awal. Kerja-kerja juga, beraktiviti dengan persatuan dan masyarakat penting. Tetapi anak-anak ini juga sangat penting dan perlukan kasih-sayang dan perhatian khusus. Rakan-rakan lain juga boleh berperanan membantu jika mereka peka. Ambillah sebahagian tugasnya agar beliau boleh bersama keluarganya buat beberapa ketika.
Segala yang berlaku mungkin tidak disegajakan. Lantaran ianya adalah ujikaji kehidupan. Kita cuma mencuba dan hasilnya telah terjadi. Kita perlu terima dan mengambil iktibar di masa hadapan lalu terus mencuba dan ambil iktibar begitulah sterusnya tanpa henti. Mungkin ini mematangkan kita tetapi sayang perkara telah berlaku dan cuma mampu dipahat di memori kehidupan. Mungkin atau jarang sekali selepas itu ianya dapat dikongsi bersama orang lain. Malanglah jika keadaan ini berterusan. Ujikaji, penemuan dan pengalaman belum tentu dapat dikongi ramai. Mengapa ?
Setiap detik kita semakin lemah dan ini sangat tidak dapat dinafikan. Tidak sekuat dahulu dan setiap langkah kaki kita tidak segagah dulu. Namun kita ingin lama bersama anak-isteri dalam sisa-sisa baki umur ini. Keinsafan adalah jalan terbaik tetapi ianya tidak mencukupi. Perubahan dan usaha kepada perubahan itu yang akan menukar keadaan hidup ini dan disamping berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT.
Ya Allah peliharakan diriku dan keluargaku ini dari Api NerakaMu ya Allah. Kurniakan petunjukMu dan kekuatan untuk kami sejahtera di dunia dan di akhirat.