Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Monday, March 28, 2011

Jangan rehatkan aku sebelum waktunya.


Lamunan semalam sungguh indah dan membuat aku terasa amat gembira. Tetapi kegembiraan yang aku sendiri tahu cuma sementara dan bila ku sedari ianya suatu peristiwa yang telah berlalu. Suasananya telah berubah dan tentu tidak akan sama seperti sekarang. Jikalah aku berpeluang berada kembali pada masa lampau itu tentu aku dapat menikmati keindahannya lagi tetapi ini tidak mungkin.

Hakikat, kehidupan ini perlu diteruskan dan gunakanlah kesempatan yang masih ada dengan sebaik mungkin. Dugaan demi dugaan ini mematangkan kita lagi. Mungkin ada banyak kesilapan kita yang lalu maka membuat kita diuji sebegini. Moga ianya merupakan kifarah dosa-dosa yang dibalaskan setimpal dengan kelalaian diri. Semoga di akhirat tidak lagi disabitkan dengan dosa-dosa itu. Moga ianya diampuni dan dibasuh di dunia lagi daripada ditunda ke akhirat yang azabnya lebih dahsyat lagi. Allahu Akhbar !


Aku berazam akan membuat yang terbaik untuk jamaah yang aku dokongi iaitu IKRAM dan Pusaka Gayong. Dengan sedikit tenaga, kemampuan dan umur ini, aku cuba melaksanakan tugas-tugas sebagai AJK IKRAM bahagian Negeri. Namun tugas-tugas di daerah juga perlu aku buat sejajar dengan amanah yang aku pikul sebagai setiausaha IKRAM daerah SPT. Tentang silat mungkin jangan dibuka lagi persoalannya panjang pula penulisan ini nanti. Bersyukur peluang ini Allah beri untuk kesempatan menyemai bakti, kerana aku memafami tidak semua kita berpeluang sebegini.


Kadang-kadang aku ditegur oleh seorang dua sahabat, mengapa aku sanggup memegang beberapa amanah ini. Jawab aku mudah kerana tiada dan belum ada yang mahu, biar aku buat kerja itu dahulu daripada ianya kosong sahaja. Jika ada yang terjumpa atau yang sudi maka itu yang lebih baik. Memang jika ada ramai tenaga mudahlah sesuatu kerja itu dilaksanakan. Tetapi bila kita asyik menunggu kewajipan ini tiada terlaksana, maka lebih elok diperlakukan sedikit dan pelahan daripada tiada langsung. Kurang adalah lebih baik daripada tiada langsung. Sesungguhnya kerja kita ini banyak, masa, tenaga dan umur kita semakin kurang. Sudah tentu tidak mungkin kita cuma rehat-rehat selalu. Mudah-mudahan dengan sedikit pengalaman bersama jamaah sejak dahulu dapat diteruskan hingga akhir hayat. Cuma mungkin kecergasan membuat sesuatu itu agak kurang jika dibandingkan sebelum ini. Syukur isteriku sentiasa berada di sisi apabila aku memerlukan. Paling kurang menemani aku memandu semasa aku keletihan dan mengantuk. Namun aku berharap jangan direhatkan aku sebelum waktu rihat yang sebenarnya.

Monday, March 21, 2011

Air Mata di Raudhatus Sakinah

Wahai Tuhanku yang Esa. Bila mengenang QaharMu. Rasa gerun di hatiku. Kerana takutkan siksaMu.

Buat pertama kali aku sempat menjengok ke dalam rumah Raudhatus Sakinah Pulau Pinang (RSPP) menemani Hj Atan pada 15 Februari 2011 bersempena 12 Rabiulawal 1432. Hj Atan dijemput menyampaikan ceramah Maulud untuk pelatih di situ. Dahulu kami cuma membuat kerja-kerja amal membersihkan kawasan persekitaran sahaja. Aku terus memasang niat akan ke sini lagi untuk memyumbang sesuatu kepada pelatih di situ.

Hasrat ini tercapai pada hari Ahad 20 Mac 2011 baru-baru ini. Jam menunjukan 11.26 pagi aku dan isteriku Rahidah telah sampai di pintu pagar RSPP. Setelah menghubungi Pn Inayah pengurus dengan talipon, kami telah dibenarkan masuk oleh pertugas RSPP. Kelihatan ada satu keluarga bersama pelatih di ruangan hadapan rumah. Mungkin ziarah keluarga bisik aku di dalam hati.

Gambar hiasan sahaja. Anak-anak KITA.

Aku menyusun langkah ke ruang tamu dan melihat beberapa pelatih dalam lingkungan belasan tahun mungkin seramai 20 orang telah sedia menunggu kami. Siap dengan LCD projektor, laptop berserta screen atau paparan layar perak. Tajuk penyampaian "Matlamat Kehidupan" telah aku pilih khas untuk mereka.

Bermula dengan pengenalan diri aku teruskan dengan klip video "Bingkai Kehidupan" di mana memaparkan di antara aktiviti-aktiviti yang jamaah selenggarakan. Aluan nasyid iringan telah disambut baik dengan kedengaran beberapa bisikan suara-suara mengalunankannya bersama.

Aku hampir-hampir menitiskan airmata bila memainkan klip video kedua yang mengesahkan tentang perjuangan aluanan nasyid Soff One. Aku tahan namun mungkin ada yang perasan. Aku selang-selikan beberapa pengajaran setelah video klip ini aku mainkan. Hidup bak sampan di laut. Video seterusnya mengenai penderitaan rakyat Palestin yang sungguh menyentuh jiwa dan aku menyarankan agar mereka yang tergulong di kalangan kaum hawa ini semoga dapat melahirkan singa-singa pejuang bukan anak-anak ayam daging yang bakal disembelih sahaja. Peranan kita semua amat diperlukan, didiklah anak-anak bangsa dengan ilmu yang ditimba.
Rumah Raudhatul Sakinah Pulau Pinang. Mari berikan sumbangan dari segala aspek kemampuan.

Diakhir sesi, juga diatas permintaan seorang pelatih agar lagu nasyid Maher Zain, bertajuk InsyaAllah versi Melayu dimainkan. Oleh kerana tiada gambar video, aku meminta para pelatih memejamkan mata dan memaparkan gambaran sendiri di mata hati meraka. Kedengaran suara kecil teresak-esak dan aku menyatakan itulah hakikat kehidupan. Bila kita keseorangan mohonlah keampunan rahmat Tuhan dan teruskan kehidupan ini ini dengan lebih tersusun. Manfaatkan masa dan kesempatan yang ada. Aku hadiahkan dua bentuk key chain kepada dua orang pelatih kerana sudi memberi pendapat.

Aku pamerkan di sini VISI RSPP : Menjadi satu institusi pilihan bagi pembangunan insan yang membawa imej sejahtera untuk masyarakat majmuk. MISI : Merealisasikan tanggungjawab mencegah mungkar ke arah membenteras gejala sosial melalui kesedaran, bimbingan, perlindungan dan pembinaan jati diri remaja, keluarga dan masyarakat. Mendokong budaya kerja penyayang, efektif, proaktif dan efisien MATLAMAT : Mendokong budaya kerja penyayang, efektif, proaktif dan efisien. Membantu remaja menghayati Islam sebagai cara hidup. Membantu remaja membina semula keyakinan diri untuk meneruskan kehidupan yang sihat dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Mudah-mudahan kau dan aku akan tetap sentiasa di jalan Allah yang sebenarnya. YA Allah ampunilah dosa-dosa kami ini. Amiin. Aku melangkah pulang dan kedengaran suara-suara yang mengucapkan "terima kasih nanti pakcik datang lagi ya". "InsyaAllah" jawabku.

Friday, February 25, 2011

Redha Kepada Ketentuan Allah


Setiap insan punyai masalahnya tersendiri dan secara warasnya semua kita mahu masalahnya diselesaikan dengan segera. Jika dibuat kajian, pertama; masalah itu ada yang kecil dan ada yang besar. Cuma kita sahaja yang mampu membuat penilaiannya. Jangan dihimpunkan semuanya sebagai masalah besar dan jangan pula diremehkannya kesemuanya sebagai masalah kecil pula. Kecil atau besar masalah itu melihat kepada implikasi yang akan terjadi jika ianya tidak ditangani dengan betul.

Kedua; masa sebagai penyelesaiannya. Cara menyelesaikan masalah ini juga berbeza. Ada yang perlu tindakan segera dan ada pula yang boleh diselesaikan dengan lanjutan masa. Pandai-pandailah kita memilih yang lebih utama untuk diselesaikan. Sabar dan tenang akan menjadi pengubat yang mujarab.

Ketiga; jangan dicampur-adukan masalah ini pada masa mahupun tempat yang tidak sesuai. Masalah pejabat tinggalkannya apabila kita pulang ke rumah. Begitu juga masalah peribadi atau rumah-tangga jangan dibawa pula ke pejabat dan begitulah seterusnya. Jangan pula orang lain yang tidak berkenaan menjadi mangsa lepasan tekanan masalah tersebut. Itu tidak adil namanya.

Keempat; beri perhatian, perancangan dan tindakan yang sewajarnya. Cuba senaraikan kesemua masalah itu dan agihkan mengikut ketiga perkara tadi, buatkan petak-petak yang sesuai dan jadualkan satu persatu apa yang patut dibuat, bagaimana, bila dan di mana tempatnya.

Menangani masalah atau tekanan bukan perkara senang. Kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa tentu mempunyai tekanan perasaan yang tersendiri. Menerima hakikat ini ialah salah satu cara menangani tekanan. Jangan membuat sesuatu apabila dalam kemarahan telah memuncak. Ambil wudhuk atau mandi dan jauhi masalah itu seketika. Kalau ada kemampuan solat sunat 2 rakaat dan berdoalah. Kemudian datang kembali dan tangani masalah itu dengan tenang.

Ingat cuba asingkan masalah dengan bijaksana. Sekiranya di sekolah atau pejabat biarlah masalah itu di situ. Keluarga dan rumahtangga biar ianya habis atau tangguhkan di situ dan begitulah seterusnya. Carilah seseorang untuk meluahkan masalah ini sesuai dengan individu itu, masa dan tempatnya. Paling penting sekali kita redha dengan ketentuan Allah SWT selepas kita berusaha dan melakukan yang terbaik, akhir sekali berdoalah. Allah SWT sentiasa menanti hamba-hambaNya yang sudi memohon pertolonganNya.

Tuesday, January 25, 2011

Bersalaman diantara lelaki dan perempuan.

Bagaimana jika seseorang yang berlainan jantina datang dan menghulurkan tangan kerana ingin bersalaman dengan kita oleh sebab-sebab yang tertentu? Secara umum terdapat dua pendapat.
Pertama yang dipegang oleh kebanyakan ulama yang lepas dan sekarang yakni tidak dibenarkan.

Kedua pendapat ulama kontemporari yakni adalah lebih baik untuk tidak bersalam tangan dengan org yang halal kita kahwini, namun sekiranya seseorang itu boleh menyebabkan jatuh maruah seseorang itu, maka itu dibenarkan.

Di sini ingin dijelaskan bahawa Islam telah menutup segala pintu yang boleh membawa kepada hubungan yang haram antara lelaki dan perempuan. Bagaimana dengan kita? Tanyalah ustaz-ustaz dan ilmuan Isam untuk kemantapan kefahaman diri kita ini. Bukan sekadar isu pilihan raya tetapi pengamalan aktiviti harian kita.

Wednesday, January 12, 2011

Esok Masih Ada?

Muhammad Sobri tertidur mungkin keletihan atau boring semasa menemani aku bermesyuarat di KL. Aku dan isteriku sering membawa beliau bersama bila khuatiar beliau tinggal keseorangan di rumah.

Petang tadi aku menghatar sms kepada IM yang berbunyi, "Tiada teman minum petang le hari ini". Beliau menjawab, "Esok masih ada". Hari ini aku terasa boring kerana time makan tiada IM yang biasanya teman aku berborak-borak sambil tertanya khabar masing-masing. Hari ini beliau ke RSK anak syarikat kilang kami di Kulim. Hari Khamis ini 13 Januari 2011 giliran aku pula ke sana dengan misi mengajar kepada pekerja di sana mengenai 'kesilapan manusia'.

Ini rumah sementaraku dan bersama kesemua keluarga di sebelah isteriku Ida semasa Hari Raya beberapa tahun lalu.

Cuma aku merasa teramat risau bila membaca balasan sms IM kerana aku khuatiar jika esok tiada bagi aku. Bagaimana halnya keluargaku? Anak dan isteriku? Emak dan adikku di kampong? Lebih-lebih lagi anak bungsuku Muhammad Sobri tentu akan lebih terkesan. Rasa belum puas aku bersamanya. Tidak lupa juga anak-anakku yang lain. Mungkin mereka sudah cukup matang untuk berdikari. Tetapi aku masih risau.

Belum puas bersama anak-anak, bagaimanakah jika Allah memanggil aku kembali?

Aku cuma ada sebuah rumah dan kereta yang akan ditinggalkan. Alhamdulillahtelah beres bayaran ansuran pinjamannya. Cuma tinggal satu sahaja hutang pinjaman peribadi semasa mengubah suai rumah dan membayar balik kesemua ansuran kereta. Tetapi jangan risau anak-anakku jika abah meninggal syarikat insuran akan bayar balik pinjaman tersebut. Itulah yang aku faham semasa membuat pinjaman tersebut.

Mungkin tiada wasiat khusus dariku, pandai-pandailah kamu semua mengurusnya setelah kamu urus jenazah abah nanti. Pesan aku kepada kalian, pelihara ibadah kamu, jaga akhlak, aurat dan pergaulan dan teruskan bersama jamaah khususnya IKRAM.

Semoga Allah SWT memberi keampunanNya dan mengizinkan kita menumpang di JannahNya.