Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Tuesday, May 25, 2010

'Hujan itu' tidak mengira tempat.

Kanak-kanak bermain air dan yang dewasa teruskan dengan ibadah-ibadahnya. Itu tabi'i sikap berbeza kanak-kanak dan yang dewasa.

Hujan ini tidak mengira tempat. Di mana-mana pun ianya boleh turun dengan izin Allah SWT. Hujan merupakan rahmat dan di antara faktor kesinambungan kehidupan. Jika jumlahnya mencukupi ianya akan mengimbangi kelansungan kehidupan dan putaran alam. Jika ianya berlebihan atau kekurangan, ini merupakan satu uijan yang boleh membinasakan.

Kita lihat di rumah Allah di Baitullah Al Haram, kawasan Kaabah pun hujan turun sehingga berlakunya banjir. Lihatlah gelagat anak-anak ‘Tok Arab’ asyik bermain air manakala yang dewasanya meneruskan niat untuk beribadat ke hadrat Allah SWT. Itu keindahan kehidupan.

Hidup bermasyarakat, berpersatuan, beraktiviti dan bergotong-royong merupakan pelengkap hidup. Kita akan kesunyian jika aspek ini terabai.

Begitulah hakikat iklim kehidupan. Ada kalanya terik dan kalanya hujan lebat disertai panahan petir. Tidak dinafikan bahawa seluruh kehidupan itu ada yang tenang dan damai. Cuacanya yang selalu terang dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang menyamankan. Hidup ada susah senangnya.

Semua kita sedar akan keadaan ini namun tidak semua mampu bertahan dengan mehnah atau dugaan Tuhan ini. Bagi yang tidak beriman, mereka akan salahkan persekitaran sebagai penyebab atau akan menuduh diri sendiri dan mungkin orang lain yang menjadi punca kegagalan atau kesempitan kehidupan ini. Dia tidak naik pangkat sebab ada yang mengadu-domba kononnya. Perniagaan dia runtuh sebab ada yang dengki dan berbuat bermacam muslihat. Kehidupan merana sebab sial seseorang. Anak tidak lulus peperiksaan sebab kelemahan sekolah dan guru yang tidak pandai mengajar. Begitulah seterusnya, mereka akan menuding jari kepada orang lain. Tanpa mengkaji hakikat sebenarnya.

Jika kita yakin dan beriman dengan Allah serta ajaran Islam tentu perkara sebegini dapat ditangani dengan baik. Para ambiya’ (nabi dan rasul) pun tidak terkecuali dengan ujian Allah, apatah lagi kita manusia biasa ini. Dengan rahmat dan kasih-sayang, Allah menguji kita agar kita insaf dan berharap akan pertolonganNya. DiujiNya untuk menaikkan darjat keimanan kita. DiujiNya untuk menebus dosa-dosa kita agar terhapus di dunia sahaja dan tidak ditangguh di akhirat. DiujiNya untuk membezakan di antara mereka yang sabar dengan yang cepat berputus asa.

Perkahwinan merupakan gerbang kebahagiaan berumah-tangga. Ianya juga merupakan bermulanya langkah ke suatu ujian pengkongsian kehidupan. Hadapilah ia dengan penuh kewarasan dan banyakkan bertolak-ansur.

Ujian-ujian ini diturunkan berbeza diantara kita mengikut tahap kemampuan. Ujian diri, ujian keluarga, ujian kerjaya, ujian masyarakat dan begitulah seterusnya. Ada ujian yang besar dan ada ujian yang kecil sahaja. Carilah penawar atau jalan penyelesaiannya. Itu yang terpenting. Disamping redha dengan ujian tersebuat, kita berusaha menghilangkan atau mengurangkannya. Usaha yang berterusan dan kesudian berkongsi dengan sahabat-sahabat boleh melorongkan ke arah penyelesaian. Buang sikap ego bahawa kita sahaja yang boleh menghadapi ujian ini, orang lain tidak faham dan tidak akan memberi faedah lansung.

Untuk menghadapi ujian mungkin harus kita membuat perubahan. Perubahan dari yang kebiasaan atau keselesaan. Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu yang merubahkannya sendiri. Perkara yang kita senangi itu mungkin selama ini kurang baik atau tidak sesuai diteruskan dan kemungkinan pekaraa yang kita tidak suka itu baik dilaksanakan dalam konteks sekarang ini. Bersedialah dan teruskan perubahan.

Akhir sekali setelah kita redha dan berusaha maka tiba masa kita berdoa kepada Allah SWT. Merayu dengan penuh kehinaan dan rendah diri bahawa Allah sahajalah yang Maha Penentu segalanya. Perkara yang lain-lain itu hanya penyebab yang diizinkan untuk menjadi sesuatu itu berlaku. Tidak juga mustahil Allah menjadikan sesuatu perubahan itu tanpa penyebab. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa.

Bagi kita yang telah, sedang dan akan diuji, marilah kita berdoa untuk diri, keluarga dan rakan-rakan kita agar Allah SWT memberi jalan keluar yang terbaik dan segera kepada kita. Sebutlah nama sahabat-sahabat kita satu persatu agar Allah memberkati dan memakbulkan doa hambanya yang kerdil ini.

Doa-doa di belakang sahabat itu mustajab.

2 comments:

Maiyah said...

hidup dgn laluan yg bercabang dan harus memilih yg betul..

hentian said...

Kekadang banjir di hati lebih melemaskan...