Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Sunday, February 22, 2009

Memanah Sunnah Nabi saw.

Kesabaran, kemahiran dan fokus kepada yang utama merupakan latihan penting dalam memanah dan ianya boleh diamplikasikan di dalam kehidupan juga.

"Ajarkan putera-puteramu berenang dan memanah"; hadis riwayat Ath Thahawi. Tetapi sebelum itu para bapa kenalah belajar dahulu baru boleh ajarkan kepada putera-puteranya pula.

Berenang aku sudah tahu sedikit sebanyak. Dahulu pernah masuk Kelab Renang di sekolah menengah. Pergi belajar berenang di Chinese Swimming Club di Tanjung Bunga. Kira bolehlah berenang dan terapong sikit-sikit.

Tetapi bab memanah memang tiada pengalaman rasmi secara profesional. Zaman kanak-kanak cuma main panah guna batang lidi dan getah bulat sahaja. Bila remaja ada kemajuan kerana main guna buluh yang diraup-raup. Aku zaman remaja memang kreatif biasa sahaja buat sesuatu permainan secara sendiri. Keris, tombak, pisau, parang, gitar, senapang dan lain-lain semuanya buat sendiri. Zaman itu mana ada games macam computer.

Along, Zulkarnain dan Hj Atan nampak begitu fokus menari anak panah untuk diluncurkan ke papan 'target'. Kelihatan sungguh gagah macam orang pro gaya mereka.

Baru-baru ini aku cuba memanah secara 'pro'. Memang hebat, baru belajar telah mampu memanah 'bull's eye' beberapa kali Alhamdulillah. Mungkin aku bercadang mahu anjurkan kelab memanah di bawah RINTIS Outdoor Ventures. Sebuah syarikat 'outdoor' yang kami di JIM SPT bangunkan suatu ketika dahulu.

Aku bercadang mahu mengajar anak-anak dalam sukan ini pula. Selain seni silat kami sekeluarga memang telah berkongsi minat yang sama, rasanya molek juga belajar memanah. Boleh sihatkan badan dan jika berkemampuan boleh mewakili negara dan sebarang sukan memanah. Kita pun tahu amat kurang penglibatan orang ramai dalam sukan ini.
Syuhadah dan Muhammad Sobri tidak ketinggalan mahu mencuba. Aku amat bangga mereka mahu bersama.

Bagi diri aku sukan ini boleh merapat hubungan kekeluarga dan juga sahabat-sahabat. InsyaAllah mendapat pahala kerana ianya sunnah Nabi saw. Dengan niat yang baik ianya merupakan persiapan jihad bila diperlukan. Janganlah seorang mukmin itu mati selagi mana tiada ada niat untuk dia mati syahid.

Saturday, February 21, 2009

Mereka yang bersifat memencil diri.


Tiada organisasii jika tiada pemimpin dan tiada pemimpin jika tiada ahli yang dipimpin. Tidak sempurna menjadi ahli jika tidak memberi taat kepada pemimpin dan tidak sempurna menjadi pemimpin jika mengabaikan tugas di dalam organisasi. Rosaklah organisasi jika pemimpinnya hanya tidur dan tidak melaksanakan tugasnya manakala ahlinya pula suka memencil diri.

Mungkin ada banyak faktor mengapa seseorang itu suka memencil diri dan diantaranya ialah faktor tidak puas hati, sudah tua dan merasa selesa tanpa memikirkan soal organisasi .

Di dalam sesebuah organisasi tentu tidak terlepas daripada perselisilihan faham di antara satu dengan yang lain. Perselisihan ini berpunca dari maklumat yang bertentangan dengan pendapat dan pegangan diri. Kita pun tahu, di dalam Islam berselisihan pendapat itu suatu rahmat kerana kita boleh membuat pilihan yang paling sesuai dengan diri kita. Namun perselisihan ini tidaklah mengakibatkan perpecahan sesuatu organisasi itu. Sifat berlapang dada adalah ramuan yang paling mustajab . Dengan semangat ukhuwah segala masalah boleh diatasi jika betul-betul jujur. Rasanya eloklah bertolak ansur daripada tertegang leher.

Tua bukan bererti boleh pencen. Tua bukan alasan boleh memencil diri. Sudah tua bukan suatu alasan yang baik untuk meninggalkan sesebuah organisasi. Walaupun kita boleh menerima alasan supaya diberi peluang kepada generasi muda namun perjuangan ini terlalu banyak bidang perlu dibereskan. Carilah bidang-bidang yang sesuai dengan kemampuaan dan tenaga tua kita. Tugas tidak mungkin akan selesai jika semua golongan tua itu mengundur diri. Berilah pandangan dan nasihat kepada yang memerlukan. Ambil tahu sudah cukup mengambarkan yang kita tidak terkebelakang.

Mereka yang telah berada di zon selesa tentu tidak mahu bersusah-payah memikirkan soal-soal organisasi. Mereka merasa sudah cukup dengan apa yang ada. Kononnya mereka telah banyak memberi bakti. Lega, mereka boleh ke surau dan masjid. Boleh bersantai bersama keluarga tercinta pada bila-bila masa tanpa kongkongan sesiapa. Balik kerja boleh beristirehat dan membuat jadual mahu ke mana pada malam nanti. Mungkin mereka merasa gembira dengan sikap ini. Tetapi saya yakin tidak semua mereka akan gembira melihat sahabat-sahabat lain bertungkus-lumus merancang, melaksanakan dan bersusah-payah untuk menghidupkan dakwah dan kebajikan yang telah diamanahkan oleh organisasi dan orang ramai.

Tidak ramai yang sudi meneruskan perjuangan dakwah ini. Namun bagi sahabat-sahabat yang istiqamah dengan organisasi, mereka akan terus dengan perjuangan ini hingga akhir hayat. Walaupun ada ketika terpaksa berjalan tempang dengan sebelah kaki. Walhal pada satu ketika dahulu pernah berlari dengan kedua kaki. Kasihan beliau kerana sebelah kakinya sudah ‘memencil diri’.

Thursday, February 19, 2009

Bersama untuk maslahat dakwah.

Barisan Pimpinan JIM Negeri dan daerah di Kursus Pengurusan Pertubuhan pada 4 November 2006
Secara umumnya program atau aktiviti dibuat ialah untuk maslahat dakwah tidak kira apa sahaja nama yang diberi. Cuma majlis dan sasarannya agak berbeza mengikut fokus semasa. Tujuan kita ialah untuk membawa semula kesemuanya kembali ke jalan Allah SWT beribadah kepadaNya, berbakti kepada manusia dan Alam. Samada kita ini berkumpulan ataupun individu perlulah kembali bersama ke dalam satu barisan dengan ketaatan yang satu. Bukan dua atau tiga.

Ketua dilantik untuk ditaati dan beliau telah diamanahkan untuk memimpin dan selayaknya menerima ketaatan daripada semua pihak. Mengujudkan kumpulan lain adalah amat dilarang. Tidak ada kumpulan di dalam jamaah. Ini akan merosakkan dan merugikan. Marilah kita letakkan iman, taqwa dan ukhuwah di hadapan segala-galanya.

Maka dengan itu perlulah diperkasakan kepimpinan agar sentiasa dihormati dan dipatuhi. Pimpinan bertanggung-jawab untuk membina hubungan yang kukuh dengan semua ahli dan institusi yang sedia ada. Memastikan semua ajk dan ahli berfungsi serta mempunyai bidang tugasan tertentu. Bila ada kerja barulah sibuk dan bila sibuk tentu tidak sempat untuk mencari kesalahan orang lain.

Sesuatu kumpulan atau individu.”Bila sudah letih bekerja, makan roti sekeping pun sudah cukup dan kemudian pasti tertidur “. Dalam ertikata lain kita tidak sempatlah hendak mencari kelemahan atau kesalahan orang lain. Memperbaiki diri dan melengkapkan segala kemahiran amat perlu untuk terus maju ke hadapan. Perancangan dan maklumat yang rapi diperlukan dan sikap untuk bekerja keras mestilah sentiasa diamalkan

Medan dan peluang dakwah bagi kita mamang terbuka luas. Mari kita berusaha memanfaatkannya. Semua tenaga ahli amat diperlukan untuk menyebar luaskan dakwah ini. Mereka yang bersifat memencil diri juga merupaka suatu penyakit. Insya Allah kita tunggu penerbitan yang akan datang.

Monday, February 9, 2009

Sebutir Mutiara Akan Menyinari Sarawak.

Dari kanan Rahimi dan Ahmad begitu tekun membancuh simen dalam gotong-royong membuat kerja amal.
Saudara Rahime Che Yen, AJK JIM SPT, aktivis Kelab Remaja JIM, Tadika Amal RINTIS dan beberapa lain jawatan dalam masjid dan masyarakat setempat akan ditugaskan ke Sarawak. Beliau akan melapor diri di tempat kerja yang baru bermula 1 Mac 2009 di Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Cawangan MIRI Sarawak. Beliau akan ke sana dahulu sementara keluarganya akan masih di SPT buat masa ini.

Warga JIM SPT ingin merakamkan jutaan terima kasih di atas segala bakti yang beliau curahkan kepada daerah SPT khasnya dan Pulau Pinang amnya. Sayu juga dikenangan Rahimi seorang aktivis yang banyak memberi sumbangan kepada JIM dan masyarakat.

Semoga beliau dan keluarga akan terus beristiqamah dengan kerja-kerja dakwah dan kebajikan. Kita doakan Allah akan sentiasa memberi perlindungan dan kesihatan yang terbaik untuk beliau sekeluarga.
Selamat berjuang dan selamat bertugas.

Monday, February 2, 2009

Perjalanan

Alhamdulillah. Perjalanan ini kekadang mudah kerana sentiasa didampingi mereka yang tersayang. Membimbing. membantu, menghulur tangan pada saat-saat perlu. Dari datok, opah, abah, mak, kaum keluarga dan kini sahabat-sahabat.
Tidak dapat dinafikan sahabat-sahabat merupakan orang yang amat penting di dalam perjalanan ini. Merekalah pengganti datok, opah, abah dan mak kita. Jangan sesekali diabaikan hubungan ini. Saling bekerjasamalah agar masing-masing mendapat kemanisan bersilaturrahim.
Namun kekadang hidup ini sangat sukar lantaran dugaan-dugaan yang mendatang. Ada yang disebabkan daripada kita sendiri dan ada yang datang dari persekitaran kita. Allah SWT yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Carilah bekalan di dalam perjalanan ini. Bak bahtera yang mendarat di sebuah pulau. Penumpangnya diminta mendapatkan segala bekalan perlu untuk menyambung pelayaran. Bagi yang lalai akan terlupa bahawa perlayaran sudah hampir sedangkan bekalan mereka tiada.
Mari kita peringatkan diri dan sahabat-sahabat, solat itu wajib, berbuat baik itu wajib, berdakwah itu wajib dan melaksanakan yang Allah suruh itu wajib. Allah berfirman di dalam Al Quran "Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu hanyalah untuk beribadah kepadaKu." Semua tindak-tanduk kita hendak dibawah naungan ibadah kepada Allah. Bagaimana caranya carilah guru atau ustaz untuk menjelaskannya. Tumpang bahtera kita masih belum kembali belayar.