Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Saturday, June 27, 2009

Belum Berpisah Kerinduan Sudah Terasa


Keluargaku; kanan dari atas adikku Seliha, ibuku Ummi Salamah, aku, isteriku Rahidah, Adikku Zarinah dan bawah dari kakan, anak keduaku Nurhidayah, anak saudara Nana, anak ketigaku Nursyuhadah, anak keempatku Muhammad Sobri dan anak sulongku Mohd Saiful Nizam.

Agak lama aku tidak menulis di laman blogku ini. Maaflah banyak perkara harus dilihat dahulu. Namun aku cuba beri komen di blog sahabat-sahabat yang lain. Bukan sibuk sangat cuma sekadar mengurus anak-anak yang akan ke IPT. Nurhidayah akan masuk semester tiga di Kolej Politeknik Mara Ipoh dan Nursyuhadah insyaAllah akan ke Politeknik Johor Baharu, di Pasir Gudang pada awal bulan Julai ini. Sudah tentu banyak persiapan yang sukar dan juga yang remeh-temeh perlu diurus dengan segera. Pemeriksaan doktor yang paling menyulitkan kerana jika hospital kerajaan kenalah datang awal dan sudah tentu keputusannya pula memakan masa beberapa hari pula. Telah berulang beberapa kali Nursyuhadah pergi akhirnya kami mengambil keputusan ke kelinik swasta sahaja. Bayar RM50 dapat keputusan hari itu juga walaupun mungkin di hospital kerajaan cuma RM5 sahaja.

Walaupun mereka belum pergi aku mula merasa gelisah. Rasa tidak puas di dalam ruang waktu yang sedia ada. Jika kedua-dua anak remaja perempuan ini tiada di rumah tentu akan sunyilah kami. Along akan pergi bekerja macam biasa waktu pejabat, malam kadang-kadang keluar dengan kawannya. Manakala Muhammad Sobri sekolah petang tingkatan dua dan sebelah malam dengan aktivitinya sendiri. Akan tinggal aku dan isteriku di rumah pada waktu-waktu jika tiada program luar

Ada masanya bersama seketika dan ada masanya berpisah sementara sahaja. Ini lumrah kehidupan, tetapi yang pastinya, esok lusa kita akan berpisah selama-lamanya hingga dibangkitkan kembali di alam akhirat. Maka masa itu tiada pertolongan ibu ayah, tiada pertolongan adik-beradik dan tiada pertolongan rakan taulan. Hanya diri yang tenang dengan amalan sendiri yang baik atau sebaliknya.

Agar kita dapat teruskan segala amanah dan tanggung-jawab kita terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, jamaah dan agama kita ini. Walau sedikit tetapi berterusan.

Ampunilah dosa-dosaku Ya Allah.

Tuesday, June 16, 2009

Soleh diri, rakan dan persekitaran.

Berpertubuhan dan berjumpa pada musim cuti memberi satu nikmat bersilaturahim yang bukan sahaja menyegarkan badan malah minda kita. Sambil bersantai dapat juga berbincang sesuatu untuk dakwah seterusnya.

Inilah lumrah hidup. Kekadang senang kekadang susah. Ini kehendak Allah SWT yang mengatur semua perjalanan hidup kita ini. Walau bagaimana pun Allah telah menetapkan sebab-musababnya. Dia telah menetapkan jika kita tanam pokok maka pokoklah yang akan tumbuh. Dia juga telah menetapkan jika pokok itu kita baja dan siram dengan baik, pokok itu akan subur dan boleh mengeluarkan hasil. Dia juga telah menetapkan pokok yang subur ini harus diawasi dari serangan rumput-rampai dan serangga perosak yang akan menggangu ketumbuhan pokok tadi.
Beriadah mendaki bukit tidak mengira lelaki atau wanita, Jika baik dan terkawal aktiviti ianya perlu disokong dan diperkembangkan. Amalan hidup yang baik.

Maka begitulah dengan hidup kita ini. Anak yang kita lahirkan itu adalah bermula dari pemilihan isteri atau suami yang baik. Kedua-duanya harus mempunyai asas agama yang kukuh dan dipraktikan. Jangan abaikan untuk belajar atau mencari ilmu. Di sepanjang penghidupan ini binalah suasana yang soleh dimana semua kehendak agama dijaga dan dipenuhi sebaik mungkin. Buat yang disuruh tinggal yang dilarang.

Bermasyarakat adalah satu tuntutan kerana selain dari hubungan kita dengan Allah kita juga perlu mempunyai hubungan sesama manusia. Maka suasana di sekeliling hendaklah dikawal rapi agar masyarakat tidak rosak dengan anasir-anasir yang tidak diingini. Ujudkan aktiviti-aktiviti alternatif yang baik agar kanak-kanak, remaja dan orang dewasa sentiasa penuh dimanfaatkan. Daripada diri yang soleh, rakan-rakan yang soleh dan juga persekitaran yang soleh akan terbina negara yang aman makmur.

Untuk memudahkan perjalanan ini cari dan sertailah kelab-kelab, persatuan atau pertubuhan yang dapat kita bernaung dan mencurah bakti. "Jangan buat kerja sorang-sorang".

Tuesday, June 2, 2009

Masa lahir sudah pakai Selepang.

Along juga meminati aktiviti outdoor dan silat seperti aku juga. Mana kan tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi juga.

Hari ini 2 Jun adalah hari ulang tahun kelahiran Along. Maka genaplah usianya 22 tahun. Sebelum beliau dilahirkan aku dan isteriku Ida telah merancang jika lelaki akan kami namakan Mohd Saiful Nizam dan jika perempuan Nurmashitah. Lantas kami dikurniakan anak lelaki. Mohd Saiful Nizam, nama itu amat sesuai baginya. Semasa lahir tali pusatnya melilit di badannya. Kata Tok Bidan beliau bakal menjadi panglima bila dewasa nanti. Lahirnya di rumah sahaja kerana arwah Ibu Mertua aku pun pandai di sudut kebidanan dan melarang aku membawa Ida ke hospital. Maka aku pun sendiri berkesempatan melihat dua anakku lahir, satu pengalaman yang tidak semua bapa berkesempatan.

Along kami besarkan dalam suasana yang agak baru maklumlah anak pertama. Kasih sayang, persekolahan dan segala yang harus seorang anak kecapi kami laksanakan semampu boleh. Membesarkan beliau tidaklah menjadi sebarang masalah besar bagi kami Alhamdulillah. Cuma Along semasa kecil sering terkena sawan tangis. Hampir setiap senja beliau akan menangis dengan berterusan. Macam Ahmad Albab. Jika deman panas Along mudah diserang sawan tarik. Pernah sampai aku terpaksa bergegas ke hospital dua kali. Tetapi selepas berumur 6 tahun penyakitnya itu pun hilang Alhamdulillah. Beliau merupakan cucu kesayangan kedua orang tua ku. Maklumlah cucu pertama mereka.

Mohd Saiful Nizam B Rusli

Sekarang Along seorang pemuda yang mempunyai masa depan yang cerah insyaAllah. Dengan kelulusan sijil dari Politeknik Seberang Perai beliau telah diberi tugas bekerja di Kejuruteraan Tenggiri sebagai kerani dan kadang-kadang membantu juruteknik dalam beberapa tugasan. Menjadi harapan majikannya kerana mampu melaksanakan berbagai kerja-kerja.
Dari kiri Cikgu Rusli Hashim, Cikgu Saiful Nizam dan Cikgu Ismail Bainun.

Beliau aktif di dalam persilatan dan telah dilantik sebagai gurulatih bengkong hitam. Kerap membantu aku mengajar silat di beberapa gelanggang. Semoga Along akan berjaya di dalam kehidupannya. Itu doa aku dan emaknya yang sentiasa berharap juga akan semua anak-anak kami menjadi insan yang berguna di dunia dan di akhirat InsyaAllah.
Amiin.

Thursday, May 28, 2009

Akan aku dodoikan hati ini.

Lihat dua bilah keris kesayangan ku. Nyaris akau jual bukan kerana tidak minat tetapi untuk jadikan bekalan penyelamat.

Malam kepanasan, mengapa? Entahlah, kata orang hari nak hujan nanti. Aku masih di hadapan laptop cuba mencari kekunci yang samar-samar kelihatan. Jarum pendek jam dindingku telah melepas angka dua. Ini batas kemampuanku. Jika aku teruskan juga maka tentu akan kedapatan ejaan-ejaan baru yang terbit daripada penulisanku nanti dan belum ada di dalam Kamus Dewan. Ejaan 'sahabat' akan jadi 'sabahat' silap-silap mungkin jadi 'sarabat'. " Oh ya siapa dapat bezakan diantara ais manis dengan ais serbat?" Bahagian ini sahabat aku Hj Atan memang pantai.

Eh ! Apa yang aku melalut nie. Sebenarnya malam ini aku mahu mencuba mencari mengapa kebelakangan ini hati ku merasa terlalu sensitif. Tidak boleh salah sedikit pasti aku akan terasa. "Menjadi pemimpin kenalah berjiwa besar". Itu satu saranan dan nasihat yang aku terima daripada kenalan rapat yang bertahun-tahun berkecimpong di dalam parti politik negara.

Memang aku ini jarang akan mengalah di dalam perkara-perkara yang aku fikir betul. Tidak kira naqib ke bukan naqib, jika aku merasakan aku betul tentu aku akan bersuara. Bersuara bukan membangkang tetapi memperbetulkan. Teringat aku ketika zaman kanak-kanak, kadang-kadang aku dimarahi dan pukul kerana selalu menjawab. Itu memang pantang abah aku bila siapa menjawab. Semoga Allah SWT tempatkan beliau di kalangan orang yang diampuni dosa.
Jika aku memiliki keris yang sebegini tentu lain halnya.

Kadang-kadang rasa bosan jika selalu sangat berdebat tetapi kadang-kadang jika tiada orang untuk berdebat rasa sunyi pula.Jadi bertengkar ini juga merupakan suatu nikmat. Tetapi bertengkar di atas dasar rasa kasih-sayang bukan membenci. Mana boleh kita ini sebagai pemimpin tentu sahaja harus selalu berinteraksi dengan orang lain. Tetapi kita juga insan biasa yang mempunyai masalah yang tersendiri.Tetapi kadang-kadang kala sahabat tidak perasan atau buat tidak perasan.

Kaji punya kaji, renung punya renung rupa-rupanya aku ini amat risau memikir anak ketiga aku yang akan masuk Politeknik di Pasir Gudang Johor. Aduuh jauhnya. Dahulu ketidak kakaknya ke Ipoh kami (aku dan isteri) telah bergolok bergadai. Ini ke Johor golok dah habis digadai yang tinggal pisau-pisau kecil untuk memotong sayur sahaja. Namun semangat aku tinggi selagi Allah izinkan aku akan berusaha agar anak aku yang ketiga ini tidak akan dapat mendaftar dan belajar dengan sempurna insyaAllah.

Pernah aku terfikir ingin saja ku jual dua bilah keris kesayanganku yang terlekat di dinding ruang tamu ku itu. Itu bukan keris perhiasan tetapi keris hidup (boleh di bawa bertempur) tetapi Along anak sulongku melarangnya. Orang silat tentu perlu ada keris pakaian kelengkapannya.
Ya Allah murahkanlah rezeki ku dan permudahkan segala urusan di dunia dan akhirat.

Mungkin kereta unser aku akan bertukar milik ?

Friday, May 22, 2009

Bela Diri Untuk Wanita

Bela diri untuk wanita perlu atau tidak itu bergantung kepada jaminan keselamatan yang mampu disediakan. Adakah kita akan selamat jika keseorangan da dalam suasana yang terasing?

Mari kita fikirkan apa akan berlaku apabila seorang remaja lelaki menemui seorang remaja perempuan? Jawaban ringkas secara umum dari sudut tabiat manusia yang normal dan sihat nalurinya ialah sudah tentu mereka ingin berkawan. Seterusnya mungkin ke tahap yang lebih rapat iaitu berkasih dan lebih mesra lagi, akhirnya berkongsi hidup dengan mengambil jalan baik iaitu berkahwin. Di dalam perkara ini seseorang wanita itu perlu berhati-hati dengan pasangannya kerana tiada jaminan sepenuhnya beliau selamat dari kemungkinan-kemungkinan yang akan diinayakan atau diambil kesempatan oleh pasangannya sendiri.

Ummu Hidayah bersama rakan-rakannya membuat persembahan silat di sbuah hotel terkemuka di Ipoh, Perak.

Bagaimana pula dalam situasi lain iaitu keadaan bahaya dan melampau? Sudah tentu pula seorang wanita itu akan dicederakan mungkin seterusnya dirogol dan tidak mustahil dibunuh. Melihat hakikat keadaan sekarang tiada siapa yang selamat. Di mana-mana sahaja kita dengar kes-kes ragut dan samun sedang berleluasa. Kebanyakannya melibatkan kaum wanita. Jangan sekali-kali terdedah atau cuba terlibat dalam situasi bahaya ini cuba hindari sejak dari mula. Berkawan dan berkasih ada batas pergaulan dan waktunya.

Perkara yang perlu diingati ialah pencegahan lebih baik dari berubat. Maka dengan itu jangan sekali-kali berpakaian yang menjolok mata yang akan mengundang keghairahan. Elakan berjalan bersendiri dan pergi ke tempat sunyi dan terasing. Cuba carikan dan dapatkan alat-alat yang akan membantu seperti alat semburan (minyak wangi) dan alat penggera (mini alarm unit) yang mudah dibawa ke mana-mana. Jika rajin telitikanlah, ada berbagai alat-alat pencegahan dan keselamatan di pasaran umum.

Paling akhir sekali, pelajarilah seni mempertahankan diri dengan bersungguh-sungguh. Tiada ruginya kerana disamping mempelajari seni mempertahankan diri kita juga dengan tidak lansung dapat beriadah bersenam untuk sihatkan badan dan seterusnya berkawan dengan ramai orang yang sealiran. Paling tidak belajarlah tiga teknik menyelamatkan diri dalam posisi kebiasaan orang penyerang. Pertama penyerang yang memeluk dari belakang. Keduanya penyerang memeluk dari posisi hadapan dan ketiganya penyerang menindih dari atas. Apa harus dibuat dalam situasi akhir yang paling mencemaskan? Ini dapat dipelajari di dalam kelas-kelas khas seni bela diri. Bertanyalah kepada yang mahu berkongi ilmu dan kemahiran.

Pelajarilah daripada mereka yang arif dan pakar tentang teknik-teknik ini dan tentukan kita benar-benar mahir menggunakannya. Hadirilah bengkel-bengkel beladiri yang berkenaan agar apa yang kita pelajari itu memberi manfaat kepada diri kita sendiri. Wang ringgit tidak seberapa jika dibandingkan dengan ilmu yang dicurahkan atau padah yang sungguh mengerikan yang bakal menimpa. Belajar bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau membuktikan siapa yang kuat. Tetapi ianya untuk berkongi sedikit ilmu, petua dan kemahiran yang ada bersama. Gunakannya bila perlu.

Tuhan sahaja yang Maha Pelindung dan Maha Perkasa.