Seseorang itu tidak akan berkhayal jika dia sudah mengetahui.

Lihatlah juga di luar jendela hati ini agar pandangan lebih meluas.

Followers

Wednesday, November 12, 2008

Siapa bakal ganti Ayah.

Tiba-tiba ternampak cahaya cerah di tepi jalan. Rupanya inilah satu-satunya tempat untuk berhenti samada untuk solat atau ke bilik air. Lain-lain itu mungkin telah tutup atau aku sendiri tidak perasan kerana tidak biasa dengan perjalanan ini. Kami pun berhenti untuk berihat. Keadaan di sekeliling masih kabus tebal. Terkejut aku yang ustaz kita belum solat Isyak lagi. Sibuk dengan tugas-tugas di tempat ceramah pada malam tadi mungkin. Waktu subuh belum masuk lagi kami mengambil keputasan untuk meneruskan perjalanan agar tidak kelewatan nanti

Ayah duduk di sebelah kanan dalam gambar. Nama penuh Ayah ialah Dato' Raja Abdul Majid Bin Raja Mat Isa.
Sesampainya kami di Kota Bharu terus tercari-cari Hotel Perdana. Kami dijemput bersarapan di hotel tersebut tetapi aku memilih untuk tidur kerana kepala ini sudah berdenyut-denyut semalaman memandu dan tidak tidur lagi. Keduanya tentu sarapan di hotel mahal harganya aku cuba berjimat sedikit. Aku menyuruh Ayah sahaja yang bersarapan dengan rakan-rakan lain. Sayu hati aku bila mendengar Ayah rupanya tidak makan sejak semalam. Memang aku mahu makan bersama dengan Ayah semasa dalam perjalanan seperti selalu. Tetapi kali ini kami tidak berjumpa tempat makan yang sesuai di sepanjang perjalanan ini. Kesian Ayah kelaparan di sepanjang perjalanan.

Ayah memang suka merendah diri, di bilik hotel Ayah membiarkan aku tidur di atas katil sedangkan beliau hanya menggunakan kerusi untuk berihat. Perjalanan kami ke Kota Bharu bersama Ayah membawa banyak pengalaman yang tidak mudah dilupakan. Semasa perjalanan pergi dan balik kami sempat tersempak dengan beberapa kumpulan gajah liar. Ayah memberi pandangan ini satu petanda baik, Ayah memberi salam kepada gajah-gajah itu. Kita akan berjaya besar katanya.

Perjumpaan dengan YAB Menteri Besar memang aku nanti-nantikan kerana ramai rakan-rakan telah menceritakan mengenai akhlak dan santunan beliau yang sangat tinggi. Sebagai seorang ulama' dan Ketua Negeri memang mencontohi sunnah Rasulullah saw. Ayah memilih aku menjadi jurucakap kami memulakan bicara. Aku terima bukan sebab pandai tetapi ini satu penghormatan yang Ayah suka berikan kepada aku. Aku sedang dan perlu banyak belajar. Mungkin cakap dengan orang ramai lain caranya. Tetapi bercakap dengan YAB Menteri Besar ini menjadi pengalaman pertama aku. Apatah lagi beliau juga adalah seorang ulama'. Dengan penuh sopan aku membuka majlis dengan memperkenalkan ahli rombongan kami. Kemudian Ayah pula memberi beberapa penerangan mengenai Gayong. Rasa sangat beruntung dapat bertemu dengan 'Tok Guru'. Paras rupanya jernih dan percakapannya lembut. Tenang rasanya hati ini. Walaupun beliau kurang sihat tetapi masih bersedia melayani kami ini.

Di Kota Bharu Ayah mempunyai ramai anak murid. Kami dilayani dengan begitu baik dan mesra sekali. Kami sempat mengadakan perjumpaan di Yayasan Tok Kenali. Semua memberi tumpuan kepada matlumat yang Ayah sampaikan. Ini kelebihan Ayah dapat mengeluarkan fakta-fakta sejarah dengan bersahaja. Siapa yang dapat mengambil tempat Ayah nanti? Umur Ayah sekarang sudah 69 tahun tetapi tiada yang setanding dengan Ayah di sudut kepimpinan dan ketokohannya. Aku sering tertanya-tanya mana pergi mereka yang seangkatan Ayah dahulu? Kenapa tidak bersama membantu Ayah disaat-saat Ayah memerlukan seluruh sokongan yang ada? Aku sangat bersyukur kerana Ayah sudi mengajak aku bersama beliau dalam misi besar ini.

No comments: